Kredit foto: Instagram Syafinaz Selamat & Instagram Akademi Fantasia

Juri tetap AF Megastar, Syafinaz Selamat terkejut melihat keputusan undian peminat untuk program AF Megastar.

Menurut Syafinaz, dia berasa bimbang kerana perbezaan yang ketara antara carta kedudukan pilihan juri dan penonton di rumah.

Meskipun kuasa undian penonton hanya melibatkan 40 peratus daripada markah keseluruhan, namun ia tetap mempengaruhi nasib peserta yang bertanding.

Saya terkejut melihat keputusan AFUNDI yang jauh berbeza daripada markah juri kepada bintang AF Megastar. Bila melihat markah keseluruhan, apa yang saya boleh kata ia sangat berbahaya. Markah diberikan penonton boleh menggugat markah keseluruhan. Jika kami tidak hati-hati, markah penonton boleh menyebabkan bintang yang tak sepatutnya tersingkir. Jadi tugas kami adalah untuk menyelamatkan bintang yang layak mendapat markah tertinggi dalam persembahan mereka.
Sumber: Astro Gempak

Terdahulu, konsert mingguan pertama AF Megastar menyingkirkan dua penyanyi sekaligus iaitu Adira dan Azhar kerana berada di dua kedudukan terendah.

Pemarkahan adalah berdasarkan format 60 peratus penilaian juri profesional dan 40 peratus undian penonton di rumah melalui SMS dan laman web.

Dalam pada itu, meskipun Syamel dipilih menjuarai persembahan terbaik mingguan hasil undian penonton, namun Syafinaz beranggapan tiga peserta yang menjadi pilihannya pada malam itu adalah Marsha, Bob dan Idayu.

Saya boleh kata Marsha, Bob dan Idayu antara yang bagus pada malam ini. Idayu cuba melakukan sesuatu yang berbeza yang mana saya sendiri tidak menjangka tapi saya rasa dia boleh beri lebih lagi daripada malam ini. Sebagai penyanyi kadang-kadang kita boleh bawa banyak genre tapi dia perlu mengkhususkannya.
Sumber: Astro Gempak

Minggu hadapan bakal menyaksikan pertarungan 10 peserta yang tinggal. Mereka adalah Syamel, Bob, Idayu, Shahir, Marsha, Amir Jahari, Indah Ruhaila, Ewal, Sufi Rashid dan Amir.

AF Megastar bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.




Hakcipta iluminasi.com (2017)