Kredit foto: Instagram Akademi Fantasia

Konsert Suku Akhir AF Megastar menyaksikan persaingan hebat lapan peserta berlangsung di Royale Theatre Shah Alam pada Ahad lalu.

Membawakan tema 'Ikon' (Mash Up), penyanyi Amir Jahari dipilih sebagai juara mingguan hasil undian penonton di rumah, sekaligus melayakkannya membawa pulang eGiftCard daripada GoShop berjumlah RM2,000 dan trofi.

Namun nasib tidak menyebelahi penyanyi Indah Ruhaila yang disingkirkan di hujung program selepas mengumpul markah keseluruhan tercorot.

Dua lagi penyanyi yang berada di kedudukan tiga terbawah ialah Shahir dan Syamel.

Penyingkiran Indah sekaligus melayakkan tujuh peserta beraksi di peringkat separuh akhir.

Selain Syamel dan Shahir, mereka yang kekal adalah Marsha, Bob, Amir Jahari, Idayu dan Amir.  

Pemarkahan dibuat berdasarkan format 60 peratus penilaian juri profesional dan 40 peratus undian penonton melalui SMS dan laman sesawang.

Di sini kami sertakan markah keseluruhan bersama kedudukan bintang dan imbas kembali komen-komen juri malam konsert.

1. Bob, 57.3% - Balqis, Nirmala (Datuk Siti Nurhaliza)

"Saya masih tetap sukakan Bob dari Akademi Fantasia 2 hingga kini. Jadi Bob buktikan kebolehan awak dalam dua minggu sahaja lagi sebelum final ini," - Syafinaz Selamat

2. Marsha, 56% - Akhirnya Kini Pasti, Seksis (Anita Sarawak)

"Saya rasa ini persembahan kesukaan saya di antara yang lain. Persembahan awak sangat memukau dan awak ada pakej sebagai seorang penghibur, terbaik!" - Tiara Jacquelina

3. Idayu, 55.3% - Sangkar Cinta, Syurga Di Hati Kita, Menadah Gerimis (Ziana Zain)

"Awak ada suara yang bagus tapi ada beberapa perkara perlu diperbaiki. Selain itu, saya mahu awak fikir seperti pemuzik kerana tak semestinya semua perlu loud tapi keseluruhan bagus," - Syafinaz Selamat

4. Amir, 53.2% - Sepi Sekuntum Bunga Mawar, Pengemis Cinta (Ella)

 "Awak ada bakat yang besar sebagai seorang penyanyi tapi saya mahu lihat yang lebih lagi daripada ini di peringkat suku akhir," - Tiara Jacquelina

5. Amir Jahari, 52.2% - Kau Di Hati Ku, Orak Arek (Zainal Abidin)

"Good job! Susunan muzik yang baik kerana lagu mash-up begini sebenarnya susah hendak dibawakan. Syabas sebab awak berfikir sebagai seorang pemuzik," - Syafinaz Selamat

6. Syamel, 46.3% - Umpan Jinak Di Air Tenang, Gelisah (Ahmad Jais)

"Lagu pertama meriah tapi kedua tidak pula. Joget perlu ceria manakala keroncong feel yang berbeza tapi saya akui memang susah nak bawakan lagu-lagu ni," - Ramli MS

7. Shahir, 34.4% - Jeritan Batinku, Di Mana Kan Ku Cari Ganti (P. Ramlee)

"Key awak menyanyi tadi tak sampai dan bila kamu terkehel dalam nyanyian pun saya boleh dengar tapi keseluruhan bagus lah," - Ramli MS

8. Indah, 22.6% - Gelora, Mari Jalan Bersama, Bila Larut Malam (Saloma)

"Gemersik suara Saloma tu ada. Nak sampaikan lagu dengan aura penyanyi asal itu sangat besar cabarannya dan awak perlu beri lebih lagi,"- Tiara Jacquelina

Sumber: Astro Gempak

AF Megastar ke udara setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)