masih tak tahu apa jenis muzik boleh bawa syafinaz komen sufi

Kredit foto: Instagram Syafinaz Selamat & Instagram Sufi

Rezeki tidak berpihak kepada penyanyi Sufi Rashid yang disingkirkan daripada Minggu Ketiga AF Megastar semalam, di Royal Theater.

Juri kelihatan tidak berpuas hati dengan persembahannya menerusi lagu Izinku Pergi (nyanyian asal Kaer) meskipun dalam masa sama, penyanyi itu meraih trofi juara mingguan hasil undian penonton.

Penilaian keseluruhan adalah gabungan 60 peratus markah juri profesional dan 40 peratus undian peminat melalui SMS dan laman web.

Tiga juri yang terlibat adalah dua juri tetap, pengarah muzik Datuk Ramli MS dan guru vokal Syafinaz Selamat bersama juri jemputan, penyanyi Faizal Tahir.

Konsert Minggu Ketiga AF Megastar membawa tema 'Mahakarya'.

Dalam pada itu, Syafinaz menyifatkan Sufi sebagai seorang penyanyi yang masih tidak tahu hala tuju muziknya yang sebenar.

Apatah lagi Juara Akademi Fantasia 2015 itu sudah membuat persembahan dalam pelbagai genre, namun tetap tidak dapat memberikan persembahan yang terbaik.

"Saya hairan sebab dia ada suara tapi tak boleh menyanyi dalam beberapa genre dan masih tidak tahu apa jenis muzik lagu yang dia boleh bawa," luahnya.

Sementara itu, penyingkiran Sufi telah memberi ruang kepada lapan peserta lain untuk meneruskan perjuangan di minggu seterusnya.

Mereka adalah Amir Jahari, Bob, Idayu, Marsha, Indah Ruhaila, Syamel, Amir dan Shahir.

AF Megastar ke udara di saluran Astro Ria, jam 9 malam, setiap Ahad. Dihoskan oleh Datuk Aznil Haji Nawawi.


tags : , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)