Kredit foto: Instagram Akademi Fantasia & keehuachee.blogspot.my

Juri tetap AF Megastar, Syafinaz Selamat pada mulanya tidak percaya apabila mengetahui Syamel berada di kedudukan tiga terbawah dalam konsert suku akhir yang berlangsung Ahad lalu.

Bagaimanapun penyanyi yang juga merupakan guru vokal itu mempunyai alasan tersendiri mengapa Syamel layak menjadi peserta dengan markah terendah.

"Pada mulanya saya agak terkejut juga dengan keputusan itu kerana mengikut markah yang saya berikan kepada Syamel dia bukan tersenarai dalam tiga penyanyi yang mendapat markah terendah.

"Namun, dalam masa yang sama saya juga tidak terkejut kerana saya akui persembahan Syamel pada minggu ini agak kurang daripada bintang-bintang lain yang memberikan persaingan lebih hebat," katanya memetik laporan portal Astro Gempak.

Selain itu, Syafinaz beranggapan Syamel bukanlah seorang penyanyi lagu irama tradisional yang baik. 

"Selain undian, penyingkirannya adalah kerana lagu asli bukan forte Syamel dalam nyanyian.

"Sebagai penyanyi memang dia boleh menyanyi pelbagai genre tapi lagu asli bukan untuk Syamel.

"Tapi saya tak kata persembahan dia malam ni terlalu teruk cuma saya boleh kata bukan forte dia sahaja," katanya lagi.

Syamel mempertaruhkan lagu-lagu ikon pilihannya, Ahmad Jais berjudul Umpan Jinak Di Air Tenang dan Gelisah.

Kedudukan tiga terendah antara lain diduduki penyanyi Shahir dan Indah Ruhaila.

syafinaz dedah punca syamel layak kedudukan 3 tercorot 2

Kredit foto: Instagram Akademi Fantasia

Peringkat suku akhir itu menyaksikan penyingkiran Indah berdasarkan markah keseluruhan tercorot hasil gabungan 60 peratus oleh juri profesional dan 40 peratus undian penonton melalui SMS dan laman sesawang.

Juri profesional terdiri daripada dua juri tetap, pengarah muzik Datuk Ramli MS dan guru vokal Syafinaz Selamat bersama juri undangan, aktres Puan Sri Tiara Jacquelina.

Konsert separuh akhir minggu hadapan bakal menyaksikan persaingan antara tujuh bintang yang masih kekal iaitu Idayu, Bob, Marsha, Amir Jahari, Syamel, Amir dan Shahir.

AF Megastar ke udara setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)