Kredit foto: Instagram Akademi Fantasia

Konsert Kelima Minggu Ketiga AF Megastar semalam menyaksikan pertarungan sengit antara sembilan peserta yang bertanding.

Berlangsung di Royale Theatre Shah Alam, persembahan minggu ini membawa tema 'Mahakarya' yang menuntut para peserta untuk menyanyikan lagu-lagu yang pernah mendapat pengiktirafan sebagai karya terbaik.

Di penghujung konsert menyaksikan penyanyi Sufi meraih gelaran anugerah persembahan terbaik, Star Of The Week buat kali kedua selepas minggu lalu.

Ia sekaligus melayakkan penyanyi kelahiran Singapura itu untuk mendapat ganjaran eGiftCard daripada GoShop bernilai RM2, 000 bersama sebuah trofi.

Bagaimanapun, dalam masa sama, Sufi juga adalah peserta dengan jumlah markah tercorot sekaligus membawa kepada penyingkirannya di hujung konsert.

Keputusan dinilai berdasarkan markah hasil gabungan 60 peratus daripada juri profesional dan 40 peratus undian penonton melalui SMS dan laman web.

Juri yang mengadili pertandingan terdiri daripada dua juri tetap, Datuk Ramli MS dan guru vokal Syafinaz Selamat, bersama juri undangan mingguan, penyanyi Faizal Tahir.

Berikut kami kongsikan kedudukan peserta, markah keseluruhan dan imbas kembali kritikan juri profesional di konsert kelima.

1. Idayu, 54.7% - Lelaki Teragung

"Nyanyian awak tiada masalah. Saya harap awak boleh pergi jauh lagi selepas ini," - Ramli MS

2. Marsha, 54.5% - Terlalu Istimewa

"Malam ini awak beri sesuatu lebih lembut dan beremosi serta menusuk kalbu. Saya terkesan dengan persembahan awak malam ini," - Syafinaz Selamat

3. Syamel, 47.5% - Hanya Namamu

"Saya rasa awak perlu betulkan sebutan awak, supaya ia didengari seperti bahasa Melayu sebenar," Syafinaz Selamat

4. Bob, 46.5% - My Heart Will Go On

"Awak dah tukarkan lagu tu sepenuhnya dan nampak seperti awak tidak menghormati karya ini. Awak ada merdu yang cukup cuma awak tak tahu kemana nak pergi lagi”, - Ramli MS

5. Indah, 44.6% - Lelaki

“Awak perlu capai tenaga lagu band yang besar. Bagaimanapun, persembahan awak okay," - Ramli MS

6. Amir Jahari, 43.4% - Viva La Vida

"Satu persembahan yang bertenaga. Tapi harap lepas ni awak boleh menyanyi lagu yang orang senang nak faham," - Faizal Tahir

7. Amir, 42.1% - Lagu Untuk Mu

"Dari segi keseluruhan produksi saya harus beri markah penuh atas usaha anda. Ia seperti satu persembahan konsert," - Faizal Tahir

8. Shahir, 36.1% - Pencuri Hati

"Bagi saya persembahan awak sangat ‘fun’ dan saya bagi markah penuh. Cuma saya nak beritahu awak kalau nak menyanyi kena sepenuh hati sebab tadi macam nak tak nak," - Syafinaz Selamat

9. Sufi, 18.8% - Izinkan Ku Pergi

"Saya harapkan sesuatu yang lain sebenarnya. Saya tak dapat rasa dari nyanyian awak tadi. Saya boleh kata ia hanya persembahan yang baik," - Faizal Tahir

AF Megastar bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)