Kredit foto: Instagram Akademi Fantasia & Kosmo Online

Konsert Ketiga AF Megastar yang berlangsung di Royal Theater Ahad lalu menyaksikan penyingkiran dua penyanyi, Azhar dan Adira daripada persaingan pertandingan.

Adira yang mempertaruhkan lagu Ikut Rentakku terpaksa berpuas hati dengan kutipan markah 29.3 peratus, manakala Azhar memperoleh 17.1 peratus menerusi persembahan lagu Dalam Gerimis.

Keputusan diadili daripada gabungan markah 60 peratus juri profesional dan 40 peratus undian penonton melalui SMS dan laman web.

Juri profesional terdiri daripada pengarah muzik Datuk Ramli MS dan guru vokal Syafinaz Selamat, bersama juri jemputan minggu ini, Datuk Norman Abdul Halim.

Sementara itu, penyanyi Syamel memperoleh kutipan markah keseluruhan yang tertinggi iaitu sebanyak 58.6 peratus sekaligus membawanya kepada gelaran juara mingguan.

Para peserta diberi tugasan untuk membawakan sebuah lagu yang pernah dinyanyikan oleh mana-mana pelajar Akademi Fantasia sepanjang keseluruhan musim yang berlangsung.

Dalam pada itu, menerusi sebuah kenyataan yang dikeluarkan Syafinaz, dia mengakui Adira dan Azhar adalah penyanyi yang tidak mampu dipertikaikan lagi kebolehan vokal mereka.

Bagaimanapun, dua peserta itu disingkirkan atas sebab kelemahan persembahan yang diberikan pada konsert sulung.

Barisan juri membuat penilaian berdasarkan apa yang mereka persembahkan kepada kita. Adira dan Azhar adalah penyanyi yang baik dan itu tidak boleh dinafikan cuma kegagalan mereka memberikan persembahan bertenaga pada malam ini menyebabkan mereka tersingkir.
Sumber: Mstar

Dedah Syafinaz lagi, dia membuat kesimpulan persembahan para peserta secara keseluruhan berjaya mencapai piawaian yang diletakkan oleh pihak juri.

Selain mengagumi persembahan Bob, Idayu dan Syamel, Syafinaz juga tertarik dengan gaya persembahan Marsha yang disifatkan berlainan kerana tidak hanya mengetengahkan mutu vokal semata-mata.

Marsha berjaya memberikan kelainan dengan menampilkan elemen drama sekaligus menyerlahkan persembahannya daripada para peserta lain.

Marsha adalah contoh terbaik kerana saya pada awalnya bimbang apabila dia mendendangkan lagu Asmara tetapi sangkaan saya meleset apabila dia menampilkan kelainan dalam persembahannya. Pada tahap ini kita semua tahu semua peserta boleh menyanyi dengan baik tetapi apakah kelainan yang mampu dilakukan untuk menarik perhatian juri dan penonton.
Sumber: Mstar

Dengan penyingkiran Adira dan Azhar membawa 10 peserta yang tinggal untuk mara ke persaingan minggu hadapan. Mereka yang layak adalah Bob, Idayu, Marsha, Shahir, Amir Jahari, Indah Ruhaila, Ewal, Sufi Rashid, Syamel dan Amir.

AF Megastar bersiaran di saluran Astro Ria, jam 9 malam, setiap Ahad.




Hakcipta iluminasi.com (2017)