Kredit foto: In Trend & Mstar

Kesemua peserta yang terpilih untuk menyertai persaingan mingguan AF Megastar tidak sewajarnya dipertikaikan.

Jelas Datuk Ramli MS yang bertindak sebagai juri, pemilihan adalah berdasarkan kemampuan mereka untuk menyertai persaingan, selain mempunyai potensi bintang yang layak diketengahkan.

Namun pengarah muzik itu tidak menafikan kesemua 24 bekas pelajar yang berentap sepanjang Konsert Homecoming juga mempunyai bakat yang baik.

Sejujurnya mereka semua bagus, namun yang terpilih ini mempunyai keupayaan untuk bersaing dan boleh dibawa ke depan. Saya kira ini peluang kedua kepada mereka untuk menyerlahkan semula bakat dan kemampuan mereka dalam bidang nyanyian. Selepas ini yang akan membezakan mereka hanyalah kreativiti dan gaya persembahan nyanyian sahaja.
Sumber: Mstar

Ramli membuat kenyataan tersebut di Konsert Homecoming AF Megastar Minggu Kedua yang berlangsung di Royal Theater Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Penghujung program itu menyaksikan 12 peserta yang layak bertanding di konsert mingguan diumumkan.

Mereka ialah Syamel, Adira, Indah Ruhaila, Bob, Ewal, Idayu, Marsha, Amir Jahari, Shahir, Amir, Sufi dan Azhar.

Bagaimanapun 12 lagi bekas pelajar terpaksa meninggalkan pentas iaitu Adam, Rosma, Ara, Faizal Ramly, Zahid, Anding, Firman, Nubhan, Amylea, Faizul Sany, Mila Jirin dan Aril.

Dalam pada itu, guru vokal Syafinaz Selamat meramalkan sebuah pertandingan yang sengit bakal berlangsung bermula minggu hadapan.

Ini susulan barisan peserta yang dipilih mempunyai kriteria "megastar" yang dicari, serta telah membuktikan keupayaan mereka ketika proses saringan.

Justeru, penyanyi yang juga bertindak sebagai juri tetap program itu meminta agar semua pihak berhenti membuat pertikaian terhadap keputusan yang telah dibuat.

Saya berani kata mereka ini semua memiliki aura sebagai megastar dan menjangkakan satu persaingan hebat akan ditonjolkan dalam persembahan mingguan selepas ini. Mereka perlu tunjukkan bakat nyanyian dan serlahkan kemampuan diri kerana ini adalah pentas besar yang mempertaruhkan penyanyi berpengalaman. Harapan kami para peserta menggunakan platform ini sebaiknya dan bukan untuk mengejar populariti semata-mata.
Sumber: Mstar

Konsert AF Megastar disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria, setiap Ahad, jam 9 malam.

Juara AF Megastar bakal merangkul wang tunai RM100,000 dan trofi, serta hadiah-hadiah daripada penaja.




Hakcipta iluminasi.com (2017)