Selain Nike, jenama Adidas dan Puma adalah 2 jenama barangan sukan yang sangat popular di seluruh dunia. Jenama-jenama ini memonopoli beberapa kategori sukan antaranya sepak dan lumba lari melalui tajaan atlit-atlit profesional seperti Usain Bolt (pemegang rekod 100m dunia) dan Paul Pogba (pemain bola sepak Perancis).

Tahukah anda, terdapat  sejarah menarik mengenai asal-usul jenama Adidas dan Puma?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adik-beradik Dassler

Sekiranya anda tidak tahu, jenama Adidas diasaskan oleh Adi Dassler manakala jenama Puma pula diasaskan oleh Rudolf Dassler. Pada 1920, Adi dan abangnya Rudolf telah bekerjasama menubuhkan sebuah syarikat membuat kasut di sebuah pekan kecil di Jerman yang dipanggil Herzogenaurach.

kilang kasut

Syarikat mereka dikenali sebagai Gebrüder Dassler Schuhfabrik (Syarikat Kasut Adik Beradik Dassler). Adolf Dassler mempelajari kemahiran membuat kasut daripada bapanya yang juga bekerja di sebuah kilang membuat kasut. Gabungan kedua-dua adik beradik ini adalah sesuatu yang menarik memandangkan Adi merupakan seorang pembuat kasut yang bagus sementara abangnya Rudolf pula seorang jurujual yang cekap.

Perniagaan mereka melonjak naik setelah atlit tajaan mereka Jesse Owens berjaya memenangi 4 pingat emas pada Sukan Olimpik 1936.

Perang Dunia ke 2

Ketika Adolf Hitler meluaskan penguasaannya ketika Perang Dunia ke 2 sekitar tahun 1933, kedua-dua adik beradik Dassler ini menyertai pasukan askar Nazi. Ketika Perang Dunia ke 2 inilah terjadinya beberapa salah faham antara kedua beradik ini yang menyebabkan keduanya mengambil keputusan untuk berpisah dan membawa haluan masing-masing.

Pada tahun 1948, kedua-duanya telah mengambil keputusan untuk membubarkan syarikat yang mereka tubuhkan. Aset syarikat dan pekerja-pekerja yang dimiliki syarikat dibahagi sama rata antara keduanya.

Penubuhan Jenama Adidas dan Puma

Setelah membawa haluan masing-masing, Adi telah menubuhkan syarikat Adidas, hasil kombinasi namanya "ADI DASsler". Rudolf turut mengambil pendekatan serupa dengan menamakan syarikatnya "Rudo" (sempena namanya Rudolf Dassler) sebelum ditukar kepada Puma.

Kedua-duanya membina kilang kasut berhampiran sungai Aurach, bertentangan antara satu sama lain. Ketika itu, sebahagian besar penduduk di bandar Herzogenaurach bekerja di kedua-dua syarikat ini.

kasut adidas terawal

Kedudukan kedua kilang ini yang dipisahkan oleh Sungai Aurach, dan ditambah pula persengketaan antara Adi dan Rudolf dikatakan telah menyebabkan pekerja daripada kedua-dua syarikat ini tidak sebulu dan memusuhi antara satu sama lain.

Antara perkara pelik yang berlaku adalah pekerja daripada syarikat Adidas adalah dilarang untuk bergaul dan mengahwini seseorang yang bekerja di syarikat Puma dan begitulah sebaliknya. Malah, layanan terhadap seseorang itu juga akan berbeza mengikut jenama kasut yang mereka pakai.

Kedua-dua syarikat ini juga mempunyai kelebihan masing-masing. Puma yang diketuai oleh Rudolf lebih bijak menjual produk manakala Adidas pula lebih mahir menghasilkan kasut daripada segi teknikal dan mempunyai hubungan baik dengan ramai atlit, seterusnya memudahkan mereka menghasilkan kasut yang berkualiti.

Kredit:

  1. Time.com
  2. Fortune
  3. Newsweek
  4. WikiPedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)