gambar sekadar hiasan. Kredit Sparkle Sister

Setiap hujung tahun, satu masalah sama akan kembali menghantui ibu bapa dalam mempersiapkan kelengkapan anak mereka untuk persekolahan. Ekoran kos barangan yang semakin tinggi setiap tahun, banyak pasangan terpaksa mengikat perut dalam memastikan anak mereka dapat bersedia untuk ke sekolah.

Bagaimanapun, masalah itu menjadi semakin besar ekoran pengaruh sebuah jenama yang masih boleh dikatakan baru di negara kita bernama 'Smiggle.' Apakah itu 'Smiggle' dan mengapa ibu bapa sangat takut, seandainya anak mereka mahukan 'Smiggle' untuk ke sekolah?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jom kita lihat.

Sejarah Smiggle

pengurusan smiggle

Walaupun jenama ini baru saja popular di kalangan masyarakat kita, nama Smiggle sebenarnya sudah berusia hampir 15 tahun. Dua orang rakan baik, Stephen Meurs dan Peter Pausewang mendapat idea untuk menghasilkan set kelengkapan alat tulis yang berbeza berbanding alat tulis yang biasa dijual.

Mereka berdua merasakan tidak ada dalam pasaran alat tulis yang membawa konsep seronok serta mampu menjadi satu fesyen bagi kanak-kanak dan remaja, jadi Stephen mula mereka beberapa kelengkapan alat tulis yang bakal dipasarkan bermula tahun 2002.

Konsep alat tulis yang mereka bangunkan, menampilkan warna yang terang serta rekaan yang unik dijenamakan sebagai 'Smiggle' hasil gabungan dua perkataan yang mereka mahukan, sebagai reaksi kepada produk mereka - 'smile' dan 'giggle.'

Bagi mencipta ruang untuk mula berniaga, Stephen dan Peter memberanikan diri menyertai satu ekspo perniagaan di Sydney. Sambutan yang diterima semasa ekspo itu sangat menggalakkan dan mereka pun memberanikan diri mengambil seorang lagi pekerja yang akan bertindak sebagai pengurus pemasaran.

Memulakan perniagaan jualan

produk smiggle

Stephen dan Peter merasakan untuk produk mereka berjaya, mereka perlu membezakan jenama mereka dengan jenama alat tulis lain yang biasanya dijual secara tidak eksklusif.

Bagi memenuhi matlamat itu, mereka berdua memilih untuk membuka sebuah premis jualan jenama Smiggle yang pertama pada bulan Mac 2003, di Chapel Street, South Yarra, Melbourne. Lokasi itu dipilih berikutan kedudukannya yang strategik, dipenuhi dengan warga Melbourne membeli belah, berdekatan dengan beberapa sekolah khasnya sebuah sekolah persendirian bagi pelajar perempuan.

Berikutan permintaan yang tinggi dan hasrat memperkembangkan perniagaan mereka, dalam tempoh beberapa tahun selepas pembukaan kedai pertama mereka, Stephen dan Peter membuka beberapa cawangan lagi di Brighton, Melbourne Central dan Hawthorn.

Berkembang ke pasaran luar Australia

kanak kanak suka smiggle

5 tahun selepas jenama Smiggle dimulakan, Stephen dan Peter bersetuju untuk menerima tawaran sebuah kumpulan perniagaan bernama Just Group, sebuah konglomerat perniagaan yang turut sama berasal dari Australia yang mempunyai banyak jenama pakaian di bawah kendalian mereka.

Mereka berdua menjual jenama yang mereka bangunkan sendiri dengan harga sekitar RM150 juta, menjadikan Smiggle jenama alat tulis pertama di bawah Just Group. Ketika bertukar tangan, Smiggle baru saja mempunyai 18 cawangan kedai di seluruh Australia.

Setahun berikutnya, sekitar Ogos 2008 sebuah lagi firma perniagaan bernama Premier Investments mengambil alih Just Group, menukarkan hak milik Smiggle sekali lagi. Langkah inilah yang mencetuskan fenomena Smiggle di seluruh dunia.

Pada Disember 2008, Just Group di bawah kelolaan Premier Investments membuka kedai jualan Smiggle pertama di luar Australia iaitu di New Zealand dan memperbanyakkan lagi kedai jualan Smiggle di negara asal mereka, sehingga mencecah 65 buah kesemuanya pada September 2009.

Smiggle mula melangkau lebih jauh, masuk ke pasaran Singapura pada tahun 2011, Indonesia pada tahun 2013 dan negara kita pada tahun 2016. Setakat ini, terdapat tujuh buah kedai jenama Smiggle menghantui ibu bapa kesemuanya dan syukurlah, hanya terdapat di kawasan sekitar Lembah Klang.

Kritikan terhadap Smiggle

smiggle jenama orang kaya

Sekiranya anda rajin menelaah media sosial, pasti anda akan terbaca banyak kritikan terhadap produk-produk Smiggle.

Salah satu kritikan terhadap produk ini yang paling kerap diungkapkan adalah harganya yang terlampau tinggi, sehingga mengakibatkan ramai pelajar muda di sekolah kita sudah mula membandingkan kelengkapan sekolah sesama mereka. Sekiranya anda belum tahu, produk Smiggle memang mahal-mahal belaka.

Bukan setakat di Malaysia yang nilai matawangnya lebih rendah, di Australia pun sama ramai ibu bapa merungut tentang kualiti produk Smiggle tidak sepadan harganya. Kami agak terperanjat jugalah bagaimana ada orang Malaysia sanggup membelanjakan hampir RM70 ke RM80 hanya untuk bekas pensil.

Produk-produk Smiggle dikritik tidak berkualiti, dengan perbandingan di antara produk yang jauh lebih murah tidak menampakkan wujud perbezaan besar di antara produk Smiggle dengan produk jenama lain. Pemadamnya tidak berkesan memadam kesan pensil, botol airnya pula mudah bocor dan banyak barangannya didakwa cepat rosak.

Kritikan paling keras terhadap Smiggle adalah berkaitan model perniagaan mereka yang dikatakan sengaja mencipta 'trend' atau 'fad' hanya untuk melariskan jualan, mengambil peluang ke atas sifat kanak-kanak yang mudah terikut-ikut dengan sesuatu yang baru.

Membaca kisah ibu bapa terpaksa berhadapan dengan anak-anak yang dikutuk 'miskin' hanya kerana tidak memiliki Smiggle adalah sangat menyedihkan. Kes seperti itu mungkin adalah kes-kes terpencil, tetapi perniagaan Smiggle nampaknya semakin berkembang dalam tempoh 2 tahun mereka bertapak di negara kita.

Ini bermakna ada ramai yang membelinya. Semakin ramai yang membeli, akan semakin tinggilah peluang penulis untuk diminta membeli produk Smiggle satu hari nanti, rasanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)