Semenjak penulis kecil dan sehingga kini, setiap kali ke kedai kasut Bata pasti penulis akan membelek kasut sukan jenama Power yang ada dipamerkan di semua kedai jenama tersebut.

Tidak dapat dinafikan kasut itu mempunyai rekaan yang agak menarik namun ada ketikanya seakan-akan diinspirasikan daripada jenama lain yang lebih besar, daripada segi rekaan serta corak yang digunakan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

sejarah kasut bata power

Jenama Power merupakan antara kasut sukan mampu milik yang menawarkan produk berkualiti dengan harga yang rendah. Bagaimanapun, penulis selalu tertanya-tanya; kenapa jenama ini selalu dipandang rendah berbanding jenama lain seperti jenama N, A atau R?

Sejarah jenama Power

kasut power bata

Rasanya kita semua tahu kasut jenama Power memang hanya dijual melalui cawangan-cawangan kedai Bata. Berbeza dengan jenama-jenama sukan yang lebih gah, Power tidak mempunyai cawangan butik sendiri melainkan di beberapa negara tertentu.

Ini kerana memang sejak mula lagi jenama Power dibangunkan sebagai salah satu cabang syarikat Bata meluaskan perniagaan mereka, cuba mengeluarkan produk sukan.

kasut larian jenama power bata

Pada awalnya, Bata International, syarikat induk kepada jenama Bata merancang untuk mengeluarkan kasut sukan dengan penubuhan Power Athletics pada tahun 1971. Bagaimanapun, kasut keluaran Power Athletics ketika itu tidak menggunakan jenama 'Power' tetapi menggunakan nama yang berbeza iaitu 'Flash.' Lihat logo jenama Power yang ada sekarang - mungkin sekarang anda boleh faham dari mana datangnya logo tersebut.

Boleh dikatakan mendapat sambutan, Power Athletics merasakan mereka perlu melakukan penjenamaan semula produk mereka, dengan jenama 'Flash' dirasakan agak terhad dan kurang sesuai bagi membina identiti jenama itu. Pada tahun 1979, Power Athletics secara rasminya mula memasarkan produk dengan menggunakan jenama Power, seiring dengan nama asal syarikat mereka.

Menaja Piala Dunia

piala dunia maradona iklan bata

Produk kasut sukan keluaran Bata sebelum adanya Power sebenarnya sudah dikenali ramai, dengan beberapa produk mereka seperti Bata Wilson, kasut bola keranjang yang menjadi kegilaan ramai serta kasut berbasikal Bata Biker mendapat sambutan menggalakkan.

Jenama Power dicipta bagi meneruskan kesinambungan yang telah dibina sekian lama dan kasut-kasut keluaran Power mula mendapat tempat di kalangan atlit serta olahragawan, berikutan fungsinya yang baik, berkualiti dan yang lebih penting harganya yang jauh lebih murah berbanding jenama lain.

iklan kasut bola jenama power lama

Penerimaan orang ramai semakin menggalakkan khasnya kasut bola sepak sehinggakan Bata dan Power menjadi antara 13 penaja rasmi kasut sukan untuk digunakan semasa temasya bola sepak Piala Dunia di Mexico pada tahun 1986.

Rasa malu dengan kasut Power?

bata heritage kurt cobain

Seandainya anda berbual tentang kasut, pasti ramai yang menyimpan stigma bahawa kasut Power tidak sebaik jenama-jenama lain. Realitinya kita semua tidak mengamalkan penggunaan yang sama dan sudah pastilah setiap orang mempunyai daya ketahanan kasut yang berbeza.

Bagi penulis, kasut Power merupakan antara produk yang penulis yakini sehingga kini dan beberapa pasang kasut yang dibeli, tidak banyak bezanya dengan jenama lain daripada segi ketahanan. Tak dapat dinafikan, pemasaran jenama lain berjaya membuatkan wujudnya kasta di antara jenama-jenama itu dengan jenama seperti Power yang jarang dipopularkan.

Walaupun jenama Power di Malaysia boleh dikatakan sebagai 'kasut sukan untuk budak sekolah', di India lain pula kisahnya. Jenama Power mendapat sambutan hangat dengan Power menjadi antara jenama kasut paling terkenal di sana. Ini turut sama dibantu dengan pembukaan kilang yang mengeluarkan kasut jenama tersebut di sana.

butik pertama jenama power di india

Berikutan kedudukan India sebagai pasaran terbesar jenama Power, Bata mengambil keputusan melancarkan tiga siri baru produk Power di India pada tahun 2018 seterusnya merasmikan pembukaan butik eksklusif jenama Power di Uttar Pradesh pada bulan Mac 2018.

Adakah pembukaan butik eksklusif seperti ini dapat membantu meningkatkan keyakinan orang ramai yang Power bukan sekadar jenama kasut sukan budak sekolah? Kita tungguh dan lihat kelak.




Hakcipta iluminasi.com (2017)