Kejuruteraan Jerman mempunyai persepsi yang sangat baik di seluruh dunia. Kenderaan-kenderaan yang membawa jenama Jerman dikatakan antara jentera-jentera terbaik yang terhasil daripada tradisi kecemerlangan kejuruteraan dan tradisi pembuatan yang cemerland serta tidak meminggirkan kualiti.

Atas sebab itulah jenama Jerman mampu meletakkan harga yang agak tinggi berbanding jenama-jenama keluaran negara lain serta kerap dikategorikan kereta mewah, bukan untuk kegunaan semua orang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda sejarah jenama-jenama kenderaan Jerman yang popular di Malaysia? Berikut adalah sejarah ringkas bagaimana 5 jenama terkenal kenderaan Jerman mendapat nama.

1. BMW

karl friedrich rapp pengasas bmw

Jenama BMW mempunyai sejarah bermula daripada tahun 1916. Nama BWM berkait dengan 3 sejarah syarikat yang berbeza di Jerman ketika itu iaitu Rapp Motorenwerke, Bayerische Flugzeugwerke dan Automobilwek Elsenach.

Pada mulanya Rapp Motorenwerke yang ditubuhkan oleh Karl Friedrich Rapp, adalah sebuah pembuat enjin kapal terbang. Selepas Karl melepaskan saham dalam syarikat tersebut kepada pemilik barunya, Rapp Motorenwerke dinamakan semula sebagai Bayerische Motoren Werke atau nama singkatannya BMW dan terus mengeluarkan enjin dibawah jenama BMW.

kilang kereta zaman dulu

Pada tahun 1922, hakcipta penggunaan nama BMW dibeli dan ditukar menjadi hak milik pemegang saham terbesar Bayerische Motoren Werke, seorang hartawan bernama Camillo Catiglioni. Camillo adalah salah seorang pelabur terbesar sebuah syarikat pesaing BMW, yang bernama Bayerische Flugzeug-werke atau BFW.

Pada tahun 1922, Bayerische Motoren Werke diletakkan di bawah kawalan BFW namun nama BMW dikekalkan untuk digunakan dan nama Bayerische Motoren Werke AG kekal digunakan sehingga kini. Bayerische Motoren Werke dalam bahasa Inggeris membawa maksud 'Bavarian Motor Works' dan AG itu membawa singkatan kepada 'syarikat milikan awam terhad.'

2. Mercedes

mercedes jellinek

Nama Mercedes mempunyai sejarah dengan beberapa jenama kenderaan terkenal lain di dunia. Dua nama berkait rapat dengan Mercedes adalah jenama Daimler dan Maybach, dengan sejarah dan warisan Mercedes ketika ini, berpunca daripada Gottlieb Daimler sebagai pengasas kenderaan Daimler dan William Maybach sebagai pengasas jenama Maybach.

William adalah jurutera kepada syarikat milik Daimler dan kenderaan rekaannya banyak dibeli oleh seorang hartawan Austria bernama Emil Jellinek. Emil adalah seorang peminat kereta tegar dan kerap menyumbangkan dana untuk penambahbaikan kejuruteraan kereta perlumbaan waktu itu. Berikutan kematian Gottlieb Daimler pada 1900, Emil lebih banyak bekerjasama dengan William membincangkan idea dan konsep dalam membangunkan kenderaan berprestasi tinggi untuk digunakan dalam perlumbaan dengan bantuan anak kepada Gottlieb Daimler iaitu Paul.

mercedes 35 hp kereta pertama jenama

Hasil kerjasama mereka bertiga, pada tahun 1901 kilang Daimler mengeluarkan kereta pertama yang digelarkan kereta moden pertama dunia, iaitu Mercedes 35. Emil menamakan model itu sempena nama anak perempuannya iaitu Mercédès Adrienne Jellinek.

Dengan penggabungan syarikat Daimler dan sebuah syarikat lain bernama Benz dilakukan pada tahun 1926, mereka memilih untuk mengekalkan nama Mercedes sebagai nama jenama menjadikan 'Mercedes-Benz' digunakan, dengan nama syarikat mereka bertukar menjadi Daimler-Benz.

Mercedes meninggal dunia ketika berusia 39 tahun di Vienna, Austria pada tahun 1929 tiga tahun selepas kelahiran jenama Mercedes-Benz. Nama tersebut kekal digunakan sehingga ke hari ini.

3. Porsche

ferdinand porsche dan anak ferry porsche

Porsche adalah sebuah syarikat pengeluar kereta kebal perang yang beribu pejabat di Stuttgart, Jerman. Diasaskan oleh seorang ahli perniagaan bernama Ferdinand Porsche dan didaftarkan dengan nama Dr. Ing. h. c. F. Porsche GmbH, syarikat Porsche adalah syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan Volkswagen Beetle, kereta pertama di dunia yang direka untuk praktikaliti orang ramai.

Bertindak sebagai jurutera yang dilantik oleh kerajaan Jerman dalam membina Beetle, Ferdinand banyak belajar daripada pengalamannya membina Beetle. Namun kekalahan perang membuatkan Ferdinand dipenjarakan dan kilang Volkswagen jatuh ke tangan British. Anaknya, Ferry Porsche mula memikul impian ayahnya dan membina kereta sendiri kerana merasakan ketiadaan kereta yang mampu menarik minatnya. Ferry mengambil alih tugas ayahnya dalam pengurusan syarikat lalu berjaya mengeluarkan model kereta pertama mereka, Porsche 356.

Selepas Ferdinand dibebaskan pada tahun 1947, Dr. Ing. h. c. F. Porsche GmbH mengambil alih tugas pengeluaran model 356 dan mula menambah baik model mereka.

kereta porsche pertama

Walaupun model 356 adalah model pertama yang dikeluarkan secara besar-besaran, Porsche sebenarnya sudah mengeluarkan 3 unit kereta pertama mereka untuk perlumbaan yang dinamakan model Type 64, namun kenderaan tersebut tidak digunakan berikutan perlumbaan tersebut dibatalkan. Nama Porsche terus dikekalkan penggunaannya sehingga ke hari ini dan rekaan Porsche yang unik, diinspirasikan daripada 2 model paling awal mereka, terus menjadi asas kepada semua rekaan Porsche moden.

4. Volkswagen

hitler berbincang tentang volkswagen beetle

Volkswagen adalah projek yang datang daripada idea pemimpin kerajaan Nazi Jerman, Adolf Hitler. Mempunyai idea untuk mencipta kereta yang murah serta mampu dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat Jerman, kerajaan Jerman melantik Ferdinand Porsche yang mempunyai pengalaman luas dalam mereka bentuk kenderaan.

Spesifikasi kenderaan itu perlulah murah serta mempunyai keluasan yang baik. Kenderaan tersebut perlu memuatkan empat orang penumpang serta mempunyai kelajuan 100km/j. Apa yang lebih penting bagi kerajaan Jerman ketika itu, kadar penggunaan minyaknya haruslah munasabah dengan kadar 7 liter digunakan untuk setiap perjalanan 100 kilometer.

volkswagen the peoples car model pertama

Oleh kerana tidak ada syarikat kereta mahu membuat kenderaan berkos rendah ketika itu, kerajaan Jerman menubuhkan sendiri syarikat pembuatan kereta yang dinamakan Volkswagen, yang membawa maksud 'kereta orang ramai.' Hasil rekaan Ferdinand Porsche digunakan dalam rekaan kenderaan keluaran Volkswagen dan dinamakan dengan beberapa nama lain seperti kdF-Wagen, sebelum Beetle dipilih berikutan bentuknya yang mirip dengan kumbang.

5. Audi

august horch dengan audi type c

Kisah bagaimana jenama Audi mendapat nama agak panjang juga kisahnya. August Horch adalah pengasas kepada syarikat A.Horch & Cie di Cologne, Jerman sebelum berpindah ke Saxony. Selepas perpindahan dan penggabungan dengan syarikat lain, nama syarikat beliau ditukarkan kepada August Horch & Cie. Motorwagenwerke AG.

Krisis yang berlaku memaksa August keluar dan menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu August Horch Automobilwerke GmbH, namun syarikat lamanya mengambil tindakan saman kerana menggunakan nama syarikat mereka (yang asalnya daripada nama August Horch sendiri). Mahkamah memutuskan agar August tidak lagi menggunakan nama beliau sebagai nama syarikatnya.

kereta pertama audi type a

Pada mesyuarat tidak rasmi yang berlaku dalam apartmen rakan kongsi beliau bernama Franz Fikentscher dan abangnya Paul, August cuba untuk mencipta satu jenama baru. Anak Franz yang sedang belajar dan berkemahiran berbahasa Latin mendengar perbincangan mereka dan memberitahu nama 'Horch' dalam dalam Bahasa Jerman bermaksud 'mendengar' atau 'audi.'

Remaja itu mencadangkan supaya mereka menggunakan perkataan latin itu yang membawa makna yang sama dengan maksud nama 'horch' namun dalam bahasa yang berlainan.

Pada 25 April 1910, August mendaftarkan Audi Automobilwerke GmbH Zwickau sebagai nama syarikat baru beliau, untuk terus mengeluarkan sendiri model kereta mereka. Kereta pertama mereka, Audi Type A dikeluarkan pada tahun tersebut.




Hakcipta iluminasi.com (2017)