Oleh pada 09 Sep 2018 kategori

Anda peminat kereta atau motorsikal? Sekiranya ya pasti anda adalah seorang yang cukup teliti dalam pemilihan jenis tayar kerana tayar merupakan salah satu komponen terpenting sesebuah kenderaan berikutan peranannya yang cukup besar.

Membeli tayar merupakan satu pelaburan jangka panjang yang memerlukan kita mengeluarkan kos yang agak besar. Tidak hairanlah jenama-jenama tayar sanggup melakukan promosi yang gah, sebagai usaha memastikan kita yakin akan kelebihan produk yang mereka keluarkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jenama sangat memainkan peranan dalam pemilihan tayar kerana tidak ada sesiapa pun berani memperjudikan nasib, membeli tayar tanpa menilai terlebih dahulu. Oleh sebab itu, mari kita belajar serba sedikit dari mana datangnya nama-nama tayar yang unik dan kerap kita jumpai. Sedap sikit nak sembang kalau ada orang tanya tayar apa kita pakai, kan?

1. Bridgestone

bridgestone berasal dari jepun

Bridgestone bunyinya seperti sebuah syarikat barat namun realitinya, syarikat tayar Bridgestone berasal daripada Jepun. Pengasasnya adalah seorang warga Jepun bernama Shojiro Ishibashi, yang menubuhkan Bridgestone Corporation pada tahun 1930. Dari mana datangnya nama Bridgestone ini?

tayar bridgestone asal usul nama

Perkataan Inggeris 'Bridgestone' menjadi pilihan Shojiro kerana nama keluarganya iaitu 'Ishibashi' membawa maksud 'jambatan batu.' Sekiranya diterjemahkan, Ishi membawa makna 'batu' sementara 'bashi' bermaksud 'jambatan.' Oleh kerana sebutan 'Stone Bridge' kurang menarik, Shojiro menukarnya menjadi 'Bridgestone.'

2. Goodyear

charles goodyear asal usul jenama tayar

Ditubuhkan oleh Frank Seiberling pada tahun 1898 di Ohio, Amerika Syarikat, Goodyear kini merupakan salah satu jenama tayar terbesar di dunia. Terkenal dengan penggunaan Goodyear Blimp pada awal abad ke 20 sebagai salah satu cara promosi jenama tersebut, nama Goodyear dipilih daripada nama Charles Goodyear.

tayar goodyear sejarah jenama

Charles adalah seorang ahli kimia Amerika Syarikat yang melakukan ujikaji sendiri sehingga berjaya menemui kaedah merawat getah dengan sulfur, menjadikan getah bahan yang kukuh untuk dijadikan bermacam jenis produk. Sebagai menghormati sumbangan Charles pada dunia, Frank mengambil nama keluarga Charles untuk dijadikan jenama tayar basikal keluarannya.

3. Michelin

pengasas michelin asal usul jenama

Michelin merupakan jenama tayar yang banyak digunakan pada kereta-kereta mewah, berikutan harganya yang agak tinggi di negara kita. Jenama Michelin ketika ini bukan saja mengeluarkan tayar kenderaan, malahan turut sama mengeluarkan tayar untuk kapal terbang serta kapal angkasa.

tayar michelin untuk motogp perancis asal usul jenama

Nama jenama ini datang daripada nama keluarga adik beradik Edouard dan Andre Michelin dari Perancis, yang menemui kaedah untuk memasang tayar pada rim tanpa perlu menggunakan gam. Selain itu adik beradik Michelin juga menemui kaedah penghasilan tayar yang strukturnya membolehkan pemanduan secara perlahan, walaupun tayar tersebut bocor. Tayar jenis radial yang digunakan kita sekarang, adalah ciptaan mereka juga.

4. Pirelli

pirelli tayar asal usul

Berasal dari Milan, Itali, Pirelli ketika ini memfokuskan kepada penghasilan tayar untuk pengguna selain dari menjadi pembekal tayar rasmi untuk perlumbaan Formula 1. Pada tahun 1872, syarikat ini ditubuhkan untuk mengeluarkan produk berasaskan getah elastik dengan peralatan menyelam menjadi produk utama mereka. Semua itu dimulakan atas usaha seorang usahawan bernama Giovanni Battista Pirelli.

pirelli jenama tayar sejarah asal usul

Kilang getah Pirelli mula menghasilkan tayar pada tahun 1885 untuk kegunaan kereta kuda sebelum mula mengeluarkan tayar kereta pada tahun 1901. Berikutan perkembangan teknologi tayar radial yang diperkenalkan Michelin, Pirelli menjadi pengeluar pertama dunia berjaya menghasilkan tayar radial untuk kegunaan motorsikal pada tahun 1980-an.

5. Dunlop

dunlop john boyd pengasas dunlop

Nama 'Dunlop' berasal daripada nama John Boyd Dunlop, seorang pereka dari Scotland yang mereka tayar jenis pneumatik bagi kegunaan basikal. Pengasas syarikat Dunlop pula adalah seorang ahli perniagaan bernama Harvey du Cros yang melihat potensi ciptaan Dunlop lalu mewujudkan kerjasama mereka berdua dengan penubuhan syarikat tayar.

KIsah bagaimana mereka berkenalan agak menarik. du Cros ketika itu bertindak selaku presiden kepada persatuan basikal Ireland. Selepas anaknya tewas kepada seorang pelumba bernama Willie Hume dalam beberapa siri perlumbaan, du Cros mendapati Hume menggunakan sejenis tayar rekaan baru belum pernah ditemuinya. Selepas berjaya menemui Dunlop dan mengetahui bagaimana tayar tersebut terhasil, du Cros mengajak Dunlop bekerjasama dengan permohonan hak cipta dilakukan bersama.

sejarah tayar dunlop

Walaupun pada awalnya setuju dengan pelawaan du Cros, Dunlop tidak nampak potensi ciptaannya lalu menarik diri daripada perjanjian serta bersetuju menerima pampasan yang kecil jumlahnya.

Akhirnya, Dunlop sendiri yang kerugian besar setelah Dunlop Pneumatic Tyre Company mula berkembang menjadi antara syarikat multinasional pertama dunia. Walaupun namanya terkenal, tetapi Dunlop tidak dapat merasai hasilnya atas kegagalan melihat sendiri peluang hasil ciptaannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)