Di Malaysia, kita mungkin jarang sekali melihat kereta jenama Jeep di atas lebuh raya. Hal ini mungkin disebabkan faktor harganya yang tinggi dan kesukaran membeli dan membuat servis berkala menyebabkan tidak ramai yang memilikinya.

Walaupun jenama ini kurang popular di Malaysia, jenama Jeep ini yang berasal dari Amerika Syarikat sebenarnya sangat popular di seluruh dunia. Tidak dinafikan rekabentuknya yang unik juga menarik minat orang ramai terutamanya peminat kereta pacuan 4 roda.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkah anda mengetahui sejarah penciptaan jenama Jeep ini? Kali ini Iluminasi ingin berkongsi sedikit sebanyak sejarah ringkas jenama ini serta beberapa fakta menarik mengenai jenama ini.

Kegunaan anggota tentera Amerika Syarikat

Ketika zaman Perang Dunia ke 2, kerajaan Amerika Syarikat sangat memerlukan sebuah jentera pengangkutan pacuan 4 roda untuk menggantikan jentera lama mereka yang semakin usang. Jentera baru itu sangat diperlukan bagi menyayingi kekuatan ketenteraan milik pihak Nazi. Jentera baru yang dihasilkan itu perlulah bersaiz kecil, mempunyai 3 tempat duduk dan jenis pacuan 4 roda.

Pada tahun 1940, Karl Probst, seorang jurutera telah memulakan rekabentuk kenderaan tersebut melalui syarikat miliknya yang diberi nama Bantam. Menariknya, rekabentuk kenderaan tersebut berjaya disiapkan dalam masa hanya 2 hari! Beliau kemudian telah menghantar kertas cadangan rekabentuk serta anggaran kos untuk menghasilkannya kepada pihak tentera Amerika Syarikat.

demonstrasi jeep

Walaupun rekabentuk tersebut diterima, syarikat Bantam tidak mempunyai kemampuan dan kepakaran untuk menghasilkan jentera tersebut dalam kuantiti yang banyak dalam masa yang singkat. Oleh itu, pihak Amerika Syarikat telah mendapatkan kerjasama syarikat Willys dan Ford untuk turut sama menghasilkan jentera tersebut.

Malah, rekabentuk gril pada bahagian hadapan jentera Jeep juga sebenarnya merupakan idea asal Ford. Model pertama Jeep yang dihasilkan diberi nama Willys MB. Ia secara rasminya dibangunkan untuk kegunaan tentera Amerika Syarikat pada tahun 1941.

Asal-usul nama Jeep

Terdapat beberapa teori berkaitan asal-usul nama Jeep ini. Antara teori yang popular ialah sebutan "jeep" itu berasal daripada GP, singkatan untuk perkataan "Government Purposes" atau "General Purpose".

Selain itu, terdapat sebuah teori lain yang mengatakan nama Jeep ini diambil dari sebuah watak kartun Popeye yang bernama Eugene the Jeep yang popular pada ketika itu. Malah ada yang mengatakan pada awalnya perkataan Jeep itu bukanlah sebuah jenama, sebaliknya hanya sebuah perkataan yang merujuk kepada sebuah jentera pacuan 4 roda yang bersaiz kecil.

Kira-kira 2 tahun selepas dihasilkan, syarikat Willy-Overland selaku pemilik rekabentuk Jeep ini telah memfailkan hakcipta terhadap jenama Jeep ini.

rekabentuk asal kereta jeep

Kereta Jeep untuk kegunaan komersil

Pasca peperangan, kereta Jeep ini telah dihasilkan untuk kegunaan komersil dan diberi nama CJ, singkatan kepada "Civilian Jeep". Dengan kelebihannya sebagai sebuah kenderaan pacuan 4 roda, ianya tetap mendapat permintaan terutamanya daripada pemilik dan pengusaha ladang.

toyota jeep

Mungkin kerana rekabentuknya yang unik, maka banyak syarikat yang telah meniru rekabentuk asal Jeep. Toyota misalnya, pernah menggunakan perkataan "Jeep" untuk mempromosikan kenderaan keluaraannya sebelum diperintahkan mahkamah supaya menukarnya kepada jenama lain. Maka, terhasillah Land Cruiser, model kereta keluaran Toyota yang mengambil inspirasi daripada rekabentuk asal Jeep.

Selain Toyota, beberapa jenama lain seperti Mitsubishi dan Ford juga turut menghasilkan jentera yang diinspirasikan daripada rekabentuk Jeep.

Kredit:

  1. Jeep.com
  2. WikiPedia
  3. AutoWeek
  4. Thrillist



Hakcipta iluminasi.com (2017)