Membina imej dan pengaruh dalam sesuatu perniagaan, adalah satu langkah penting dalam meletakkan asas yang kukuh kepada jenama perniagaan tersebut. Identiti yang dikenali serta gambaran pertama yang baik mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam mendorong seseorang individu itu meletakkan persepsi terhadap sesebuah produk atau jenama yang ada.
Ini kerana jenama yang baik, adalah jenama yang berjaya membina dan membentuk persepsi orang ramai secara automatik, tanpa perlu seseorang itu belajar mengenai produknya. Proses ini memakan masa bertahun-tahun untuk dibentuk dan mampu runtuh sekelip mata sekiranya berlaku sesuatu skandal, kejadian atau insiden yang tidak diingini.
BESARKAN TEKS A- A+
Cuba sebutkan beberapa jenama yang anda rasakan mempunyai kesan besar pada anda. Adakah anda rasakan jenama itu mampu diletakkan ke dalam kategori jenama paling berpengaruh di dunia? Berikut adalah 10 jenama paling berkuasa dan berpengaruh di dunia, bagi tahun 2017.
10. McKinsey & Co (89.8)
Syarikat konsultansi pengurusan yang mempunyai banyak cawangan antarabangsa ini, banyak dijadikan rujukan ekoran banyak penerbitan penyelidikan yang dijalankan mereka. Semua penerbitan yang dikeluarkan firma ini memberikan impak serta pengaruh besar kepada masyarakat dunia dalam usaha memperbaiki dan menambahbaik sistem pengurusan sesebuah organisasi, malahan sesebuah negara.
9. Johnson & Johnson (90.1)
Beribu pejabat di New Jersey, Johnson & Johnson rasanya tidak lagi perlu diperkenalkan di kalangan pembaca Iluminasi, sebagai pengeluar produk perubatan dan farmasi. Mempunyai beberapa jenama terkenal di bawahnya selain jenama sendiri, seperti Band-Aid, Neutrogena, Clean and Clear serta kanta sentuh Acuvue.
8. Price Waterhouse Coopers (90.9)
PricewaterhouseCoopers atau PWC yang berpengkalan di London merupakan salah sebuah badan audit terbesar dunia. Banyak melakukan analisa yang membantu memacu ekonomi di masa depan serta ramalan-ramalan tentang perubahan dunia, PWC menjadi sebutan ramai selepas meramalkan negara China, Russia, Mexico, India, Indonesia, Turkiu dan Brazil yang mereka gelarkan E7 bakal menggantikan negara G7 pada tahun 2050.
7. NBC (91.3)
NBC atau National Broadcasting Company berpengkalan di New York cukup terkenal dengan logo burung merak berwarna-warni yang mudah dikenali. Menjadi tuan rumah kepada banyak siri-siri komedi yang masih terkenal sehingga sekarang seperti Friends, Frasier, Seinfeld, Cheers, The Office serta 30 Rock. Kini NBC terkenal sebagai penyiar utama America's Got Talent dan The Voice.
6. Disney (91.3)
Mempunyai lonjakan besar selepas berjaya membawa masuk Marvel dan Lucas Arts ke dalam barisannya, pengaruh Disney pada ketika ini kelihatan akan semakin kukuh berikutan rancangan penggabungan dengan 21st Century FOX, yang akan membuatkan Disney layak bergelar raja media dunia.
5. Visa (91.5)
Berjaya mendahului pesaing utamanya Mastercard, tidak meletakkan Visa sebagai organisasi pendahulu dalam jumlah transaksi pembayaran secara kad. Tempat itu dipegang oleh syarikat milik China, Union Pay yang beroperasi secara majoritinya di China. Untuk negara-negara lain selain China, Visa menjadi pilihan ramai pengguna.
4. Ferrari (91.9)
Impian memandu atau memiliki kereta Ferrari mungkin hanya mampu digapai oleh sekelompok kecil individu di dunia, namun kekuatan jenama Ferrari itu bukan sekadar hanya bergantung dengan industri keretanya. Mula melebarkan penggunaan jenama kepada pembuatan produk rasmi, permainan dan kemunculan secara maya dalam permainan video.
3. Nike (92.1)
Antara jenama paling berkuasa yang mempunyai rekaan logo paling ringkas, kekuatan jenama Nike rasanya tidak boleh dipertikaikan. Melantik nama-nama besar dalam sukan sebagai duta membantu Nike menjadi pendahulu kepada produk sukan. Mengalami kejatuhan pada 2016 memaksa Nike merangka semula strategi dan hasilnya - Nike menjadi pengeluar pertama memperkenalkan kasut yang mampu diikat secara automatik. Kasut tersebut mula dijual bermula Februari 2018.
2. Google (92.1)
Google mendahului syarikat-syarikat lain pada tahun 2016 dengan pengenalan banyak produk baru seperti siri telefon Pixel, siri peranti maya Daydream, pengenalan kemaskini kepada perisian Android yang konsisten serta pelbagai produk berasaskan maya yang menambahbaik produk-produk mereka yang lain. Dilihat akan terus kekal sebagai kuasa besar selama beberapa tahun lagi, amat sukar untuk kita melihat apa yang berlaku pada Yahoo boleh berlaku pada Google, sekiranya Google terus mengekalkan momentum mereka dalam berinovasi.
1. LEGO (92.7)
Hampir bankrap pada tahun 2000 ekoran pengurusan yang kelam kabut, sehinggakan banyak produk LEGO dijual di bawah harga kos serta pengenalan siri baru yang tidak mendapat sambutan, LEGO berada dalam keadaan tenat dan hanya bergantung dengan jualan siri Bionicle dan LEGO Star Wars. Pada tahun 2003, LEGO membuat keputusan merombak semula organisasi dan banyak divisyen dalam LEGO ditutup. Rombakan semula itu mengambil masa yang agak panjang untuk benar-benar memberi kesan namun LEGO mula memperluaskan produk mereka ke dalam filem, siri televisyen, permainan video dan hasilnya, LEGO dinobatkan sebagai jenama paling berkuasa di dunia bagi tahun 2017.
Rujukan