Malaysia dan Singapura adalah 2 buah negara yang sebenarnya berasal daripada satu rumpun yang sama. Namun, disebabkan perbezaan ideologi politik, kedua-duanya terpaksa berpisah, sejak 53 tahun yang lalu.

Hari ini, kedua Malaysia dan Singapura menjadi antara 2 buah negara yang paling digeruni di Asia Tenggara, menjadi contoh kepada kebanyakan negara-negara jiran.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejarah Pembentukan Malaysia

sejarah negara malaysia

Pada 16 September 1963, sebuah negara yang dinamakan Malaysia telah dibentuk, terdiri daripada 14 buah negeri, termasuklah Singapura. Penyatuan ini membolehkan Singapura untuk akhirnya bebas daripada cengkaman kolonial British. Tanpa sebarang sumber asli, Singapura melihat gabungan dengan Malaysia sebagai langkah kritikal bagi memastikan kesinambungan wilayahnya untuk berkembang maju.

Seorang ahli politik berpengaruh di Singapura pada ketika itu, Lee Kuan Yew (LKY) percaya bahawa gabungan ini akan menghasilkan perdagangan yang lebih bebas dan luas buat wilayah tersebut, memberikan negeri kepulauan itu pasaran yang lebih luas untuk produk dan servis mereka. Penggabungan tersebut juga akan menguatkan lagi perlindungan keselamatan dan ketenteraan Singapura, khususnya dalam pertempuran melawan komunis.

Ketakutan terhadap ancaman dan pengambilan Singapura oleh komunis menggesa pemimpin utama Malaya pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (TAR) untuk mempertimbangkan idea penggabungan Singapura dan Malaya, walaupun terdapat cabaran terhadap keseimbangan kaum dalam entiti gabungan tersebut. Singapura mempunyai majoriti kaum Cina, manakala Malaya mempunyai majoriti kaum Melayu.

Hubungan Antara Kerajaan Malaysia dan Negeri Singapura Mulai Retak

lee kuan yew dari people s action party

Kegembiraan awal gabungan itu hanyalah sementara. Perbezaan ideologi telah menyebabkan berlakunya beberapa konflik politik. Di Singapura, People's Action Party (PAP) yang menerajui kerajaan negeri itu percaya akan kesaksamaan untuk semua bangsa, tidak kira Melayu, Cina dan India, serta turut menggunakan slogan Malaysian Malaysia, yakni Malaysia untuk semua bangsa.

Kerajaan persekutuan pula mempunyai ideologi yang berbeza, lebih mengutamakan agenda Pro-Melayu, yakni lebih mengutamakan penduduk asal Malaya, termasuklah kaum Bumiputera yang lain. Hak istimewa Bumiputera akan diberikan kepada kaum berkenaan dalam bidang perkhidmatan awam, pendidikan dan perniagaan. Antara perbezaan lain antara kedua kerajaan adalah dari segi penubuhan pasaran dan sistem percukaian.

pilihan raya di singapura

Hubungan Singapura dan Malaysia semakin tercabar, melalui apa yang dilihat sebagai pelanggaran perjanjian untuk tidak menyertai dalam politik wilayah masing-masing. Sebuah parti paling dominan di Malaysia pada ketika itu, United Malays National Organisation (UMNO) telah melanggari perjanjian bersama apabila terlibat dalam sebuah pilihan raya di Singapura pada tahun 1963, di bawah sepanduk Singapore Alliance Party.

PAP pula turut melanggari perjanjian sama apabila mereka menyertai Pilihan Raya Persekutuan di Malaysia tahun berikutnya. Ramai orang dilihat telah menyertai perhimpunan PAP, dan parti tersebut telah menghantar sebanyak 9 orang wakil untuk bertanding bagi kerusi parlimen, namun hanya berjaya memenangi satu kerusi, iaitu di Bangsar.

Hubungan Antara PAP dan UMNO Semakin Kritikal

hubungan pap dan umno semakin renggang

Kedua-kedua PAP dan UMNO mempromosikan visi ideologi masing-masing dalam politik, agenda Malaysian Malaysia oleh parti PAP dan agenda pro-bumiputera oleh parti UMNO. Pada Julai dan September 1964, beberapa siri rusuhan kaum telah berlaku di Singapura, menyebabkan beberapa kematian. Para ekstremis telah disalahkan kerana telah mengeluarkan berita angin yang menyebabkan ketegangan antara kaum, menyebabkan berlakunya insiden tersebut.

Keadaan yang tegang itu berjaya ditangani apabila jawatankuasa muhibah tempatan bersama ahli-ahli politik melawat kawasan-kawasan sensitif dan memohon agar semua pihak untuk bertenang. Lee Kuan Yew terus melakukan kempen Malaysian Malaysia untuk parti PAP, dengan manifesto untuk memberikan hak dan peluang sama rata kepada semua rakyat.

lee kuan yew pap malaysian malaysia

PAP adalah antara penggerak utama Melayu dalam persidangan solidariti yang berlangsung pada Mei 1965, yang dilihat oleh kebanyakan ahli UMNO sebagai sebuah konspirasi bimbingan kaum Cina, untuk mencabar hak istimewa kaum Bumiputera melalui sebuah perancangan menentang kerajaan persekutuan. Dalam persidangan tersebut, LKY berucap:

Kami sedikitpun tidak mempunyai sebarang niat untuk menarik diri dan memaksa 'kelampauan' mereka, serta meninggalkan rakan-rakan kami, rakan senegara kami, rakan se-Malaysia kami kepada belas kasihan 'kelampauan'.

Perpisahan Singapura Daripada Malaysia

singapura berpisah daripada malaysia

Tunku Abdul Rahman, yang merupakan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu yakin bahawa perpisahan Singapura adalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah perbezaan ideologi tanpa sebarang pertumpahan darah. Pengumuman perpecahan kedua wilayah ini telah dibuat secara siaran langsung pada 9 Ogos 1965, di mana TAR berucap:

Kadangkala, terdapat perbezaan pendapat antara kerajaan pusat dengan pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Singapura, dan perbezaan ini datang dalam pelbagai bentuk, dan sudah banyak kali ianya gagal untuk diselesaikan. Jadi, kami membuat keputusan bahawa kita (Malaysia dan Singapura) perlu berpisah.

Dalam sebuah temuduga bersama LKY selepas perpisahan dengan Malaysia, beliau berkata:

Setiap kali kita melihat kembali, kepada ketika di mana kita menandatangani perjanjian ini yang memutuskan Singapura daripada Malaysia, ianya menjadi sebuah waktu kesedihan, bagi saya ianya adalah waktu kesedihan kerana sepanjang hidup saya, saya sentiasa percaya akan gabungan dan perpaduan kedua-dua wilayah ini.

lee kuan yew dan tunku abdul rahman

Dalam sekelip mata, segala usaha keras untuk menubuhkan sebuah negara Malaysia yang bersatu sudah hancur, dan Singapura tiada lagi peneman untuk bergantung, dan terpaksa berusaha sendiri. Masa depan Singapura suram, dengan ketiadaan pasukan ketenteraan dan keselamatan sendiri, dan tiada sumber asli untuk menjana ekonomi negara, sendiri tanpa sebarang sokongan.

Negara yang baru merdeka itu perlu bangkit daripada kesedihan dan penderitaan, demi membangunkan negara yang mereka idamkan. Pimpinan generasi pertama Singapura tidak mempunyai banyak masa untuk berehat, kerana mereka perlu mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan penempatan untuk rakyat, dan memberikan pendidikan kepada populasi yang semakin berkembang.

Kesimpulan dari kisah sejarah ini

hak bumiputera mesti dipertahankan

Isu hak keistimewaan kaum Bumiputera adalah sebuah isu yang sangat sensitif di Malaysia, namun isu ini seharusnya diselesaikan secara berhati-hati dan bijaksana. Kerajaan baharu sekarang perlu memainkan peranan dalam mengekalkan hak kaum Bumiputera, namun dalam masa yang sama perlu turut memastikan bahawa hak lain-lain kaum tidak dinafikan.

Malaysia dan Singapura adalah daripada sebuah rumpun yang sama, namun jika dilihat hari ini, Singapura lebih jauh maju berkembang dari segi ekonomi, sedangkan mereka tidak mempunyai sumber asli seperti Malaysia. Untuk mencapai kejayaan seperti itu, para pemimpin negara harus menguruskan sumber yang ada dengan bijak, dan rakyat marhaen juga perlu memainkan peranan dalam membangunkan Malaysia.

Jika bukan kita, jadi siapa yang harus membina Malaysia?

Rujukan:

Singapore separates from Malaysia

Why did Malaysia and Singapore split up?

Behind the scenes Singapore Malaysia

Tunku Abdul Rahman Singapore split




Hakcipta iluminasi.com (2017)