Pada tahun 2015, Jun Wei Yeo atau Dickson Yeo ketika itu baru saja menyertai kursus program Kedoktoran di Lee Kuan Yew School of Public Policy, di bawah kendalian National University of Singapore atau NUS.

Gembira hati beliau selepas tesisnya yang berkaitan dengan dasar luar China mendapat pengiktirafan, sehinggakan dia dijemput untuk hadir ke Beijing bagi membentangkan dapatannya di depan kumpulan ahli akademik di situ.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selesai pembentangan, Dickson didatangi beberapa orang ahli akademik yang bertugas dalam kumpulan pemikir di China, menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama. Kumpulan pemikir itu bersetuju untuk menyalurkan apa saja yang diperlukan Dickson dalam kajiannya termasuklah wang ringgit.

Dengan syarat Dickson juga bersetuju untuk melakukan beberapa perkara yang akan disampaikan kemudian hari.

Menjalinkan kerjasama dengan agensi risikan China

dickson yeo spy china

Selepas persetujuan berjaya dicapai, pegawai-pegawai risikan seramai empat orang mula merancangan pergerakan Dickson, khasnya melibatkan hubungan antarabangsa, ekonomi dan hubungan diplomatik yang tidak dibuka kepada orang awam di negara Asia Tenggara.

Untuk beberapa lama, Dickson mula menyelinap masuk pada mulanya menerusi hubungan dengan rakan-rakan yang dikenali serta kenalan rapat, dalam usaha mendapatkan desas-desus dan khabar angin tentang apa yang berlaku dalam pentadbiran negara-negara Asia Tenggara.

Namun tugasan Dickson mula berubah, selepas arahan baru dikeluarkan bagi mengarahkan Dickson mula menumpukan perhatian kepada maklumat tentang Amerika Syarikat, khasnya apa saja informasi berkait dengan bidang kepintaran buatan serta hubungan ekonomi antara Amerika Syarikat dengan China.

Bermula pada tahun 2018, dengan bantuan agensi risikan China - Dickson Yeo mula 'membuka' operasi sebuah firma konsultansi yang menawarkan peluang pekerjaan kepada warga Amerika Syarikat yang berpengalaman dalam bidang ketenteraan dan sekuriti.

Iklan yang dipaparkan menerusi rangkaian media sosial profesional Linkedin berjaya menarik minat 400 pemohon, 90% daripadanya pernah terlibat dalam bidang ketenteraan dan sekuriti Amerika Syarikat.

Kesemua resume yang diterima dihantar terus kepada agensi risikan yang mengendalikan beliau. Agensi itu pula akan menapis individu mana yang perlu dijadikan sasaran lanjut, dengan senarai itu akan diserahkan kembali kepada Dickson bagi membolehkan dia meneruskan langkah seterusnya.

Ciri-ciri mangsa yang dicari

dickson yeo warga singapura perisik china

Salah satu faktor paling penting yang menjadi keutamaan utama mana-mana mangsa yang bakal dijadikan sasaran Dickson, adalah individu yang tidak berpuas hati dengan karier mereka ketika itu.

Selain itu, agensi itu juga menekankan agar Dickson cuba mensasarkan golongan yang menghadapi masalah kewangan serta berdepan tekanan membesarkan keluarga.

Jelas sekali taktik mereka adalah untuk menggunakan kelemahan-kelemahan ini, agar mudah untuk disogok dengan habuan atau jalan keluar membolehkan kesetiaan mereka dibeli dengan wang ringgit.

Taktik ini sebenarnya sama seperti apa yang berlaku pada Dickson. Seorang anak yang lahir dalam keluarga kurang berkemampuan, Dickson seringkali mengeluh berdepan dengan desakan hidup. Besar kemungkinan kelemahan itulah yang digunakan sebaik mungkin untuk merekrut Dickson.

Bagi membina kepercayaan, individu yang dipercayai menyimpan informasi tersembunyi dan dijadikan sasaran akan dibayar sebanyak $2,000 hanya untuk menyiapkan sebuah laporan tentang perkara yang berkait dengan minat atau bidang mereka.

Semua laporan yang disiapkan akan terus disalurkan kepada agensi risikan China, untuk tujuan-tujuan lain yang belum kita ketahui.

Selepas kepercayaan berjaya dibentuk, Dickson akan terus memainkan peranan menjadi koresponden kepada mangsa, agar informasi-informasi lebih sulit dapat dikeluarkan - sama ada disebabkan rasa percaya atau sekadar tipu daya.

Silap langkah Dickson Yeo

dickson yeo china spy singaporean

Pada bulan November 2019, Dickson mula menumpukan perhatiannya kepada seorang petugas tentera yang ketika itu berkhidmat di Pentagon.

Usaha beliau cuba untuk mendapatkan dan mengorek maklumat sulit tentang angkatan tentera serta Pentagon menimbulkan tanda tanya petugas tersebut, yang mula curiga dengan 'keakraban' Dickson.

Apatah lagi ketika itu, berita tentang taktik China menggunakan jaringan perisik serta pencurian maklumat melibatkan perdagangan dikatakan sedang berlaku dengan meluas di Amerika Syarikat. Akibat daripada 'amaran' ini, Dickson mula diletakkan di bawah pengawasan tanpa dia sendiri menyedari helahnya semakin lama semakin kelihatan.

Selepas bukti yang mencukupi diperolehi, Dickson Yeo dibawa ke muka pengadilan pada 24 Julai 2020, atas tuduhan bertindak menjadi ejen risikan China di Amerika Syarikat.

Mengaku bersalah menjadi perisik negara lain

mengaku bersalah agen risikan china dickson yeo

Dalam kertas pertuduhan, Dickson bukan sahaja mengaku dia terlibat dalam usaha menyamar sebagai sebuah konsultan bagi membolehkan maklumat sulit diperolehi malahan dia juga telah berjaya mewujudkan jaringan risikan yang lebih besar, hasil daripada kepercayaan yang dibentuk dengan mangsa-mangsanya; yang kini bekerja untuk agensi serupa.

Bertindak sepenuhnya atas arahan agensi risikan, Yeo mengakui dia sedar apa yang dia lakukan, tidak menafikan semua yang dilakukan berlaku secara paksa atau tanpa kerelaan dirinya.

Setakat ini, pihak FBI dan Peguam Negara Amerika Syarikat sedang mengenalpasti mana-mana individu lain yang telah direkrut oleh Dickson Yeo atau mempunyai tugasan sama seperti beliau.

Taktik China menggunakan warganegara asing sebagai ejen risikan mereka dikritik hebat kerajaan Amerika Syarikat, kerana nyata tidak beretika serta mampu menyebabkan pertikaian diplomatik timbul.

Lee Kuan Yew School of Public Policy mengesahkan status Dickson Yeo sebagai pelajar mereka telah ditamatkan serta merta dan dia tidak lagi boleh menyambung pengajian yang telah ditangguhkan, pada awal tahun 2019.

Hukuman terhadap beliau akan dibacakan pada 9 Oktober 2020. Dickson Yeo Jun Wei diramal bakal berdepan hukuman penjara 10 tahun atas tindakannya menyalahgunakan kedudukannya, demi membantu China.

Rujukan

Singaporean National Pleads Guilty to Acting in the United States as an Illegal Agent of Chinese Intelligence




Hakcipta iluminasi.com (2017)