Oleh pada 13 Aug 2022 kategori

Tiap-tiap hari akan ada rakyat Malaysia merungut tentang beban kos sara hidup, akan membandingkan situasi kita dengan Singapura.

Perbandingan biasa berkisar kepada betapa seronoknya nilai matawang di sana yang tinggi serta kemampuan berbelanja rakyat Singapura yang dikatakan lebih mewah berbanding kita.

Sebagai rakyat Malaysia - adakah tindakan sebegitu wajar? Walaupun tidak dinafikan nilai matawang kita kecil namun kita masih ada banyak kelebihan. Berikut adalah lima perbezaan ketara di antara corak hidup kita dan Singapura.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Harga kereta yang terlalu mahal

kereta singapura terlalu mahal harga

Singapura mempunyai nilai matawang yang lebih tinggi berbanding kita, namun mereka dibebankan dengan harga kereta yang tertinggi di dunia.

Di negara itu - kenderaan adalah sesuatu yang dianggap barang mewah walaupun mereka mempunyai kuasa membeli lebih tinggi. Kenapa?

Ini disebabkan keluasan tanah yang terhad. Kerajaan Singapura perlu meminimakan jumlah kenderaan di atas jalan - dengan pengenalan bermacam jenis cukai dan caj yang bukan saja meninggikan harga kenderaan, malahan menyebabkan rakyat Singapura perlu menanggung bermacam jenis caj tambahan seperti tol waktu puncak trafik.

Anda mungkin mengeluh tentang kemampuan kita, tetapi kita tak boleh nafikan rakyat Malaysia mudah membeli kereta peribadi. Kita punya banyak pilihan dari semurah-murah kereta sehinggalah yang paling mahal; yang menentukannya hanya kemampuan kita.

Adakah anda merasakan model yang digunapakai Singapura membataskan pemilikan kenderaan dan mempopularkan penggunaan pengangkutan awam, sebagai model lebih baik berbanding kita?

Malaysia mempermudahkan pemilikan kenderaan, tetapi prasarana pengangkutan awam kita juga ada banyak kekurangannya bagi menyokong jualan kenderaan. Tetapi mustahil untuk kita menggunakan model Singapura untuk kita aplikasikan kepada kita.

2. Masalah populasi yang meruncing

masalah populasi singapura

Singapura mempunyai jumlah keluasaan tanah sekitar 728 km persegi.

Negeri terkecil Malaysia, Perlis pula mempunyai luas 819 km persegi. Jumlah populasi Perlis? 254,500 orang. Singapura? 5.68 juta orang.

Nampak tak isunya di situ?

Walaupun kadar kelahiran Singapura semakin menurun - jumlah populasi Singapura diramalkan akan terus menaik sehingga 6.9 juta orang dalam tahun 2030, hasil daripada kempen kerajaan republik itu mahu meramaikan lagi kumpulan migran menetap di Singapura.

Dalam tempoh tersebut, diramalkan warganegara Singapura hanya akan merangkumi 55% daripada keseluruhan populasi yang ada.

Adakah itu sesuatu yang kita mahu berlaku di Malaysia? 

Disebabkan oleh isu ini, Singapura dinobatkan sebagai antara negara paling padat di dunia bakal berhadapan masalah ketiadaan tanah.

Projek-projek di Singapura ketika ini sedang dirangka untuk dibina secara bawah tanah sambil menara-menara setinggi yang menempatkan kediaman sudah perlu jadi kebiasaan.

Kita memang ada masalah kehadiran pendatang asing, namun kami yakin sekiranya kerajaan Malaysia memperkenalkan dasar yang membenarkan populasi kita dipenuhi golongan migran - ramai yang akan turun ke jalan raya bagi membantahnya.

3. Dasar perumahan yang tak mesra pemilik

pemilikan rumah sementara di singapura

Walaupun ramai di kalangan ahli masyarakat mengeluh tentang kurangnya kadar kemampuan kita mendapatkan kediaman sendiri, kadar pemilikan kediaman rakyat kita sangat baik.

Malaysia jauh mendahului negara maju seperti Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom - pada kadar lebih 70%. Bagaimanapun, Singapura lebih baik berbanding kita.

Mereka antara negara di mana orang ramai berdepan harga rumah yang terlalu tinggi - tetapi kadar pemilikan kediaman mereka juga antara tertinggi di dunia, pada kadar 82.5%.

Statistik ini datang dari dasar yang diperkenalkan mendiang Lee Kuan Yew lebih 50 tahun dahulu, di mana dia mahu rakyat Singapura menjadi 'negara pemilik rumah.'

Kerajaan Singapura memperkenalkan program perumahan HDB atau Housing and Development Board, memulakan projek perumahan awam atas tanah kerajaan bagi membolehkan orang ramai memiliki kediaman.

Secara statistiknya - lebih 80% pemilik rumah di Singapura adalah pemilik unit-unit HDB ini - membantu menaikkan kadar pemilikan kediaman Singapura.

Namun dasar tersebut hanya memberikan hak pemilikan berkala selama 99 tahun, tanpa peluang untuk sambungan. Tidak ada sebarang pampasan akan diberikan kepada bekas pemilik selepas kontrak pajakan 99 tahun itu tamat.

Selepas kumpulan warga Singapura pertama diarahkan keluar daripada unit kediaman mereka pada tahun 2020 tanpa sebarang rayuan dibenarkan, isu ini mula menjadi antara isu besar yang mengeruhkan kepercayaan warga Singapura dengan kerajaan mereka.

Bayangkan - anda dah bayar rumah bertahun, tiba masanya anda dihalau keluar kerana kerajaan mahu membangunkan lot-lot komersial di atas tapak bekas kediaman anda.

4. Tak rasa pengalaman puas memandu

plaza tol erp singapura

Mengkritik kelemahan sistem pengangkutan awam negara sendiri, menjadi antara rutin harian sesetengah individu.

Namun kita belum pernah merasai situasi di mana nak memandu pun kita tak cukup jalan.

Setiap hujung minggu khususnya selepas reda era pandemik, kenderaan-kenderaan berdaftar di Singapura kembali membanjiri lebuhraya kita memecut pantas; disebabkan oleh kekangan had laju di sana yang sangat ketat.

Penguatkuasaan saman had laju di Singapura dikatakan sangat efisien oleh mereka yang pernah memandu di sana, dengan had laju 50km/j dilaksanakan di kawasan-kawasan bandar dan 90km/j maksima di kawasan pesisir bandar.

Tidak ada kawasan berhad laju 110km/j diwujudkan di mana-mana jalan di Singapura.

Kita? Bersyukurlah kita punya banyak kawasan di mana 110km/j menjadi had laju. Itupun kadang-kadang rasa perlahan, kena juga tekan sampai 160km/j walaupun kereta yang dipandu dah bergoyang macam sampan.

5. Kurang kebebasan bersuara dan kebebasan berpolitik

singapore protest public order bill getty

Selama anda duduk di Malaysia beberapa dekad kebelakangan ini, pernah tak anda rasa takut nak mengutuk dasar-dasar kerajaan?

Memang ada, khususnya di kalangan penjawat awam - namun bagi kaki troll, netizen dan geng borak kedai kopi, mengkritik kerajaan adalah rutin harian yang harus dipenuhi.

Kita di Malaysia juga sudah biasa dengan corak tunjuk perasaan yang agak bebas, tetapi tetap terkawal - melihat penganjuran himpunan-himpunan protes atas tindakan atau dasar kerajaan yang kurang kita persetujui.

Di Singapura, kerajaan negara itu masih mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA yang sangat kontroversi kerana membenarkan tahanan dilakukan tanpa dakwaan.

Dengan pengekalan itu, mana-mana individu yang dikhuatiri mampu mencetuskan kebimbangan kepada keselamatan awam boleh dikenakan bermacam jenis kekangan tanpa sebarang pembuktian.

Oleh sebab itulah protes-protes jalanan yang berlaku secara mega di Malaysia, jarang sekali berlaku di republik itu ekoran kebimbangan orang ramai yang ada.

Dalam kes tahun 2021, seorang anak muda India berusia 16 tahun beragama Kristian Protestan ditahan kerana didakwa sedang merancang untuk melakukan siri-siri serangan ke atas komuniti Muslim di Sembawang dan Woodland.

Bercakap tentang aspek kebebasan politik, tahukah anda berdasarkan kepada kajian yang dijalankan oleh Freedom House bagi tahun 2022 - proses demokrasi yang dijalankan di negara kita mendapat skor lebih tinggi iaitu 6/12 berbanding skor 4/12 diperolehi Singapura?

Ini menunjukkan walaupun kita masih sebuah negara membangun dan matawang kita rendah, proses pemilihan kerajaan yang kita lakukan sebenarnya lebih telus berbanding jiran kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)