Salah satu persepsi yang sangat kerap dimainkan di kalangan penduduk kita, adalah bagaimana hebatnya jiran kita iaitu Singapura - menguruskan dasar-dasar kerajaan, tanpa meletakkan kepentingan sesuatu kaum sebagai dasar.

Singapura kerap dipuji rakyat kita sendiri kerana berjaya melahirkan masyarakat majmuk yang senantiasa berdaya saing serta tidak memerlukan apa yang kita gelarkan 'tongkat'; bantuan-bantuan dan dana kerajaan yang seringkali menjadi isu di Malaysia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kerajaan Singapura digambarkan adil dan saksama, tidak meletakkan kepentingan kaum utama iaitu Cina malahan berjaya membawa kaum India dan khasnya kaum Melayu sama-sama berdiri sama tinggi, duduk sama rendah - menjadikan warga Singapura masyarakat contoh yang dikatakan patut menjadi aspirasi warga Malaysia.

Namun semua sangkaan ini, kerap kali tidak membincangkan tentang dasar SAP atau 'Special Assistance Plan' Singapura - yang dikatakan sebenarnya sangat mirip dengan dasar kedudukan Bumiputera, yang diamalkan oleh kita.

Apa itu dasar SAP Singapura?

dasar budaya tradisi cina singapura

'Special Assistance Plan' yang dirangka kerajaan Singapura, merupakan satu rancangan pendidikan yang diperkenalkan pada tahun 1979 - bagi melonjakkan lagi kemampuan pelajar-pelajar sekolah mereka untuk menguasai pelbagai bahasa.

Ekoran daripada perubahan penerimaan ibu bapa terhadap kepentingan bahasa Inggeris yang diangkat sebagai bahasa utama walaupun secara rasmi Singapura mempunyai empat bahasa rasmi; iaitu bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris.

Ini mengakibatkan penerimaan masyarakat mereka khasnya kaum Cina terhadap penguasaan bahasa Mandarin mula menurun.

Tahap kemasukan pelajar ke sekolah aliran Inggeris mula meningkat dengan mendadak sejak era 1950-an lagi, dengan sekolah aliran Cina yang menjadi fokus mengalami penurunan mendadak; sehingga hanya mewakili 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar pada era 1970-an.

Pada tahun 1978, Lee Kuan Yew (mendiang) mencadangkan agar masalah kekurangan kemasukan pelajar ke sekolah-sekolah vernakular dipertingkatkan kembali dengan fokus mahu mengembalikan minat pelajar kepada pendidikan aliran Cina.

Cadangan ini dikemukakan kerana dibimbangi pendidikan berteraskan bangsa Cina akan pupus di Singapura, seandainya situasi itu dibiarkan berlanjutan.

Apa yang lebih ditakuti, elemen-elemen kebudayaan dan masyarakat Cina serta adat tradisional mereka akan lenyap sekiranya tiada usaha untuk memeliharanya dalam minda generasi akan datang, dilakukan.

Pada 30 November 1978, Kementerian Pendidikan Singapura (MOE) mengumumkan pelaksanaan SAP akan diperkenalkan bermula tahun 1979.

Pelan jangka panjang melindungi identiti orang Cina

budaya cina cina makin dilupakan

Di atas kertas, SAP mempunyai matlamat jangka panjang untuk mewujudkan generasi baru yang mempunyai kemahiran bertutur dalam dua bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan Mandarin.

9 buah sekolah menengah dipilih sebagai projek perintis dasar baru ini, dengan pengenalan kurikulum sekolah yang mendidik kemahiran dwi-bahasa pelajar.

Selain bahasa, pengajian tentang nilai-nilai budaya masyarakat Cina serta disiplin diri berdasarkan identiti bangsa tersebut juga diterapkan. Semua sekolah yang terpilih merupakan sekolah yang telahpun dibangunkan oleh komuniti Cina, mempunyai tradisi bangsa yang utuh dan menunjukkan prestasi yang baik.

Bagi memantapkan lagi pembangunan sekolah di bawah dasar baru ini, kerajaan Singapura akan menyalurkan dana bagi pembinaan fasiliti lebih baik serta menyediakan tenaga kerja terbaik bagi sekolah berstatus SAP.

Sehari selepas pengumuman dasar pelaksanaan SAP, pada 1 Disember 1978 - usaha untuk mewujudkan kumpulan pelajar pertama di bawah dasar baru itu dimulakan.

Surat tawaran dihantar kepada pelajar-pelajar yang mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan PLSE setaraf UPSR di negara kita, bagi menarik minat mereka masuk ke sekolah SAP.

Bermula Januari 1979, seramai 1,445 orang pelajar rintis SAP memulakan pengajian mereka, dengan 90% daripada mereka datang daripada pendidikan rendah aliran Cina sebelum itu.

Secara tak langsung, sistem ini meminggirkan sepenuhnya pelajar berketurunan Melayu dan India, yang tidak berminat untuk belajar bahasa Mandarin dan budaya Cina - walaupun mempunyai keputusan yang baik.

Pemilihan pelajar untuk ke kemasukan sekolah SAP amat ketat, dengan hanya pelajar berkategori 10% teratas dalam peperiksaan PLSE dianggap layak diterima masuk, sebelum syarat ini dilonggarkan pada tahun 1999 kepada 30% yang terbaik.

Keutamaan bagaimanapun tetap diberikan kepada pelajar yang mengambil matapelajaran Bahasa Cina Tinggi dalam PLSE.

Dasar yang membantu ketuanan Cina di Singapura

chinese high school singapura

Visi Lee Kuan Yew dalam membangunkan Singapura memang hebat serta tidak boleh diragui, namun dasar SAP yang diperkenalkan dikritik kerana dilihat mengutamakan kaum Cina di Singapura.

Kuan Yew percaya di sebuah negara kecil seperti Singapura - kepakaran-kepakaran berstatus terbaik, harus dipupuk untuk berkhidmat dalam sektor awam yakni kerajaan - bagi memastikan Singapura terus dibentuk dan dipimpin oleh individu yang mempunyai kemampuan tinggi.

Oleh kerana sistem SAP telah pun memilih dan mengasingkan pelajar-pelajar elit sejak awal lagi, semakin lama kelompok elit dalam masyarakat Singapura dilihat hanya melahirkan golongan Cina elit - dibantu faktor syarat dan keutamaan kepada penguasaan bahasa Mandarin dan pemupukan tradisi masyarakat Cina dalam sistem pendidikan terbaik negara itu.

Skim biasiswa yang ditawarkan kerajaan Singapura kepada pelajar terbaik negara itu merangkumi 90% pelajar berbangsa Cina dengan 30% daripadanya, datang daripada sekolah berstatus SAP.

Bangsa Melayu mengalami nasib paling teruk berikutan pengenalan SAP ini. Daripada tahun 1968 sehinggalah 2012, tidak ada pelajar Melayu ditawarkan sebagai penerima skim Biasiswa Presiden.

Singapura juga tidak pernah mempunyai individu Melayu yang dilantik kepada jawatan-jawatan tertinggi dalam portfolio penting kerajaan - kecuali Presiden mereka ketika ini, Halimah Yaacob yang menyandang jawatan tersebut kerana jawatan itu perlu diberikan kepada calon Presiden berbangsa Melayu, dalam pilihanraya tahun 2017.

perlantikan halimah yacob sebagai presiden singapura

Apa yang melucukan - perpisahan Singapura diberikan kemerdekaan oleh Malaysia berlaku disebabkan oleh isu serupa; isu kaum.

Dasar meletakkan Melayu sebagai identiti bangsa Malaysia menyebabkan Singapura memilih jalan sendiri untuk keluar sebagai usaha mewujudkan sebuah negara yang tidak memilih bangsa.

Malangnya, dasar SAP yang diperkenalkan bukan sahaja mengutamakan sistem pendidikan berteraskan identiti Cina, malahan melahirkan generasi elit orang Cina yang akan diberikan keutamaan dalam penentuan dasar dan hala tuju kerajaan negara Republik ini.

Langkah ini pasti akan terus dikritik sebagai langkah utama memastikan kelangsungan kuasa politik terus kekal dalam tangan orang Cina, dengan tindakan meminggirkan kaum lain khasnya orang Melayu, yang asalnya penduduk asal Singapura pasti hanya akan terus menabur garam ke luka.

Rujukan

Special Assistance Plan schools




Hakcipta iluminasi.com (2017)