Oleh pada 15 Jul 2018 kategori

Kita selalu puji kerajaan Singapura dalam bab larangan gula-gula getah daripada dimakan rakyat mereka.

Pada penulis, itu adalah satu langkah yang sangat baik, kerana gula-gula getah ni memang agak sukar nak dibersihkan sekiranya dibuang ke tempat yang tidak sepatutnya. Sudah beberapa kali juga anak buah penulis meletakkan gula-gula getah ke rambutnya yang menyebabkan dia terpaksa dibotakkan. Nasib baik budak lelaki.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Singapura amat terkenal dengan undang-undang ini di seluruh dunia dan kita selalu memperkatakan tentang larangan unik ini yang hanya wujud di Singapura sahaja. Tahukah anda mengapa pengharaman ini diperkenalkan?

Rakyat Singapura gemar buang gula-gula getah merata-rata

pintu mrt singapura rosak akibat gula getah larangan

Kisahnya bermula pada tahun 1983 apabila Menteri Hal Ehwal Luar dan Kebudayaan Singapura ketika itu, S. Dhanabalan membangkitkan cadangan larangan di Parlimen. Ini disebabkan gula-gula getah menjadi salah satu masalah yang paling sukar ditangani di negara tersebut.

Ketika itu, kerajaan Singapura perlu membelanjakan lebih SGD150,000 setahun hanya untuk membersihkan gula-gula getah yang dibuang. Masalahg terbesar berkaitan gula-gula getah melibatkan gula getah yang telah dimakan; ditampal pada sensor pengesan yang mengawal bukaan dan tutupan pintu sistem keretapi awam MRT mereka.

Oleh kerana gula-gula getah, habis tergendala sistem pengangkutan awam mereka apabila pintu tidak dapat ditutup. Bagi mengawal masalah ini, S. Dhanabalan membuka perbincangan berkenaan larangan menjual dan memakan gula-gula getah pada peringkat Parlimen, serta menyenaraikan sebab-sebab kenapa larangan ini perlu diperkenalkan.

Sebelum memperkenalkan larangan penuh, kerajaan Singapura telah pun cuba menggunakan kaedah pendidikan dalam mengawal tabiat makan warganegara mereka, melalui tayangan iklan yang mengajar tata tertib pembuangan, apa yang perlu dibuat dan tidak boleh dibuat dan pelbagai mesej mendidik lain.

Bagaimanapun, langkah itu didapati tidak berkesan - masalah sama terus berlaku. Pawagam masih lagi penuh dengan gula getah di lantai. Bahagian lif bangunan masih dijumpai gula getah ditampal merata-rata.

Hendak tak hendak, hanya larangan penuh akan memberikan kesan yang diharapkan berlaku. Pada peringkat permulaan kerajaan Singapura melarang penyiaran iklan yang mempromosikan gula-gula getah di kaca televisyen. Di samping itu, kantin sekolah turut mendapat pekeliling melarang jualan gula-gula getah pada pelajar.

Sedikit demi sedikit larangan itu mula dikuatkuasakan melibatkan kawasan-kawasan awam. Pengenalan larangan ini mendapat sokongan pihak yang selama ini terseksa dengan masalah yang timbul seperti pengurusan MRT Singapura, pengusaha panggung wayang dan pekerja-pekerja pembersihan.

Prosesnya diperkenalkan berperingkat dan larangan ini berkuatkuasa sepenuhnya pada 3 Januari 1992.

Tentangan masyarakat Singapura terhadap larangan tersebut

papan tanda larangan makan chewing gum singapura

Usaha ini mendapat tentangan peminat gula getah di SIngapura kerana merasakan larangan ini dijalankan tanpa kajian yang lebih mendalam. Bagi peniaga serta pengedar gula-gula getah pula, mereka mempunyai masalah untuk menghabiskan stok-stok sedia ada yang terpaksa dihabiskan - berikutan larangan penjualan sudah mula berkuat kuasa.

Banyak gula-gula getah terpaksa dijual pada harga yang sangat murah sehingga merugikan peniaga yang tidak lagi dibenarkan menjualnya, melainkan dengan cara jualan bawah meja atau sembunyi-sembunyi.

Bagi pihak kerajaan Singapura, kesan positif larangan gula-gula getah dapat dilihat dalam tempoh yang sangat cepat. Selepas diperkenalkan, jumlah kes melibatkan keperluan pembersihan gula-gula getah menurun secara mendadak.

Jumlah kes harian yang kebiasaannya sekitar 525 kes pembuangan gula-gula getah diturunkan kepada hanya 2 kes sehari. Ini membolehkan pekerja pembersihan memfokuskan pada perkara yang lebih penting dan lebih banyak dana dapat disalurkan pada isu yang lebih besar.

Namun, larangan itu dilonggarkan semula hampir 10 tahun selepas pengenalannya.

Jualan dibuka semula atas tekanan ekonomi syarikat barat

orang singapura makan gula getah chewing gum

Ekoran kerjasama ekonomi dengan Amerika Syarikat yang menjadi rakan dagang terbesar Singapura, kerajaan Singapura mula didesak untuk melonggarkan sekatan ke atas jualan gula-gula getah di republik tersebut. Ini bagi membolehkan syarikat Wrigleys.Co dari Amerika Syarikat dibenarkan membawa masuk produk mereka bagi pasaran tempatan.

Kerajaan Singapura akhirnya akur melonggarkan syarat larangan, merangka rancangan membenarkan semula jualan gula-gula getah yang mempunyai khasiat perubatan di farmasi-farmasi. Untuk membeli gula-gula getah, semua individu perlu mendaftarkan nama dan nombor pengenalan diri mereka bagi mengesahkan pembelian. Mana-mana farmasi yang tidak merekodkan jualan mereka akan dikenakan hukuman penjara serta denda maksima SGD3,000.

Bermula 1 Januari 2004, farmasi di seluruh Singapura kembali menjual gula-gula getah, dengan 19 produk diluluskan untuk jualan daripada syarikat Wrigleys dan Pfizer. Selepas kelonggaran itu berkuatkuasa, rungutan berkenaan sampah hasil daripada bungkusan dan gula-gula getah yang melekat di tempat awam kembali kedengaran.

Apa yang boleh kita belajar daripada sejarah ini adalah semoden mana pun sesebuah masyarakat membangun seperti masyarakat Singapura; ada ketikanya larangan yang menyekat kebebasan sebenarnya perlu diperkenalkan - kerana sifat manusia yang malas memang ada di mana-mana walau maju macam mana pun negara mereka.

Rujukan

HistorySG




Hakcipta iluminasi.com (2017)