Beberapa tahun kebelakangan ini, kira seringkali melihat berita atau artikel mengenai eksplorasi ke planet Marikh. Daripada organisasi-organisasi besar seperti NASA (Amerika Syarikat) dan Roscosmos (Russia) sehinggalah kepada syarikat persendirian seperti SpaceX yang ditubuhkan oleh Elon Musk, semuanya memfokuskan kepada eksplorasi terhadap planet Marikh ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Persoalannya, mengapakah eksplorasi ke planet merah ini penting buat organisasi-organisasi ini? Bukan sahaja teknologi-teknologi dan pelbagai kajian telah dilakukan untuk misi ini, malah NASA juga dikhabarkan telah mempunyai calon yang sesuai sebagai angkasawan pertama untuk dihantar ke Marikh.

Manusia yang terpilih tersebut adalah Alyssa Carson yang kini baru berusia 17 tahun. Selain menjalani kehidupan seperti remaja seusianya yang lain, beliau kini turut menjalani pelbagai latihan insentif bagi merealisasikan perancangan NASA untuk menghantar manusia ke planet Marikh menjelang tahun 2033.

Persoalannya, mengapakah para saintis ini berlumba-lumba hendak ke planet Marikh?

1. Perasaan ingin tahu

gambaran marikh

Sesuatu kajian yang dibuat oleh saintis biasanya untuk menyelesaikan masalah atau berpunca daripada perasaan ingin tahu. Pada tahun 1976, NASA telah melancarkan 2 misi ke planet Marikh iaitu Viking 1 pada 20 Julai 1976 dan Viking 2 pada 3 September 1976. Kedua-dua misi ini adalah misi terawal yang berjaya melakukan pendaratan ke planet Marikh.

Kajian-kajian yang dilakukan oleh robot ini berjaya menemui bukti kewujudan air di planet Marikh.Walau bagaimanapun, persoalan sama ada terdapat hidupan yang hidup di planet Marikh masih lagi belum dapat dirungkai.

2. Pencarian tempat tinggal baru buat manusia

koloni manusia di marikh

Bagi Elon Musk, beliau merancang untuk mewujudkan penempatan manusia di planet Marikh bagi memastikan manusia tidak akan pupus sekiranya Perang Dunia Ketiga benar-benar berlaku. Para saintis juga percaya Bumi semakin nazak dengan pelbagai pencemaran dan perubahan iklim yang drastik, menjadikannya tidak selamat untuk diduduki.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksa saintis tidak memfokuskan kepada solusi-solusi penyelesaian kepada pencemaran alam sekitar. Malah, perpindahan manusia ke Marikh juga dilihat sebagai alternatif terakhir sekiranya Bumi hancur pada masa hadapan. 

3. Mendorong penciptaan teknologi baru

cip elektronik

Sekiranya anda tidak tahu, eksplorasi ke angkasa lepas sebenarnya banyak memberi manfaat kepada manusia. Solusi-solusi dan teknologi-teknologi baru yang dicipta bagi menyelesaikan sesuatu masalah telah memberi banyak kebaikan kepada manusia. Misalnya, penciptaan satelit.

Kini, satelit telah digunakan secara meluas dalam bidang komunikasi, penentuan masa dan kedudukan (GPS). Selain itu, misi Apollo oleh NASA satu ketika dahulu juga membawa kepada penciptaan cip mikroelektronik yang kini banyak digunakan dalam kalkulator dan komputer. Tanpa ciptaan cip mikroelektronik ini, kita berkemungkinan masih lagi menggunakan barang-barang elektronik bersaiz besar.

Dalam eksplorasi planet Marikh, kajian menggunakan robot mendapati terdapat kemungkinan hidupan yang hidup di Marikh. Walaupun terdapat beberapa persamaan mengenai ciri rekabentuk dan geografi Marikh dan Bumi, terdapat juga beberapa perbezaan yang ketara antara keduanya. Saintis mungkin boleh membuat kajian mengenai kewujudan hidupan dan evolusi kehidupan di Marikh, kemudian menggunakan dapatan daripada kajian tersebut kepada manusia di Bumi ini.

4. Mewujudkan kerjasama antarabangsa

kerjasama antarabangsa sains

Bagi NASA, eksplorasi ke Marikh bukan sahaja menguntungkan pihaknya sahaja tetapi semua negara atau organisasi yang terlibat. Pelbagai halangan dan kesukaran untuk terbang ke Marikh dan melakukan pelbagai kajian tentang kemungkinan mewujudkan koloni manusia di sana sebenarnya menggalakkan pelbagai organisasi dari seluruh dunia untuk bekerjasama.

Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS) merupakan antara contoh dalam bab ini. Walaupun Amerika Syarikat merupakan negara terawal yang mencadangkan mengenai pembinaan ISS, kini banyak organisasi lain yang turut mempunyai modul mereka di ISS antaranya Russia dan European Space Agency (ESA). Malah, angkasawan pertama Malaysia iaitu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor juga pernah menjejakkan kaki ke ISS pada tahun 2007.

Kredit:

  1. NASA
  2. The Conversation
  3. National Geographic



Hakcipta iluminasi.com (2017)