Dalam bidang eksplorasi angkasa lepas, penjelajahan ke planet Marikh menjadi topik perbualan hangat. Daripada organisasi-organisasi kerajaan seperti NASA dan European Space Agency (ESA) sehinggalah kepada syarikat persendirian seperti SpaceX milik Elon Musk, begitu banyak pelaburan dilakukan untuk menghantar manusia ke planet merah ini.

Mengapakah misi eksplorasi ke planet Marikh ini begitu penting kepada manusia dan sains? Sila baca artikel Sebab-Sebab Eksplorasi Planet Marikh Penting untuk Sains dan Teknologi untuk ketahui sebab-sebabnya.

Perlu diketahui juga bahawa usaha menghantar manusia ke planet ini juga bukanlah perkara baru. Sebaliknya, NASA dan pihak USSR telahpun menghantar kapal angkasa lepas tanpa pemandu ke planet ini sejak tahun 1960-an lagi. Terbaru, NASA telah mengumumkan pemilihan Alyssa Carsson sebagai manusia pertama untuk dihantar ke planet Marikh pada tahun 2033.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Persoalannya, mengapakah para saintis mengambil masa terlalu lama untuk menghantar manusia ke planet Marikh? Apakah halangan-halangan utama yang dihadapi oleh para saintis?

1. Kekangan kewangan

Tidak kira betapa hebat sesuatu projek atau misi, tanpa sokongan kewangan yang kukuh segalanya tidak akan menjadi. Sama juga dengan misi penjelajahan ke planet Marikh ini. Tiada jumlah tepat yang boleh diberikan tetapi dijangkakan misi ini akan menelan belanja ratusan juta hingga puluhan bilion ringgit.

Bagi organisasi kerajaan seperti NASA, duit ini tentulah datangnya daripada cukai yang dibayar oleh rakyat. Bagi mengurangkan kos ini, maka pembabitan syarikat-syarikat swasta seperti SpaceX sangat ditagih bagi menggabungkan kepakaran yang dimiliki oleh mereka.

2. Serpihan di ruang angkasa

bendasing angkasa lepas 239

Sekiranya anda tidak tahu, ruang angkasa juga dipenuhi dengan ratusan ribu serpihan yang terdiri daripada batu, serpihan daripada satelit dan kapal angkasa serta pelbagai bendasing lain yang berada di orbit Bumi. Serpihan-serpihan di angkasa lepas ini bergerak pada kedudukan 28,200 km/j, iaitu kira-kira 7 kali ganda kelajuan peluru.

Serpihan-serpihan ini merupakan ancaman bagi setiap kapal angkasa lepas yang ingin keluar daripada lapisan orbit Bumi. Bagi mengelakakkan serpihan ini, NASA telah mewujudkan panduan navigasi bagi mengelaknya dan juga membangunkan protokol dan langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya dilanggar oleh bendasing ini.

3. Kebosanan melampau dan kesan psikologi terhadap angkasawan

kesan psikologi angkasawan

Para saintis juga mengganggarkan angkasawan yang dihantar ke planet Marikh juga bakal mengalami tekanan kerana kebosanan melampau akibat perjalanan dari Bumi ke Marikh yang terlalu lama. Jarak yang diambil bergantung pada kedudukan semasa Bumi dan Marikh pada paksinya dan dijangka mengambil masa antara 128 hingga 333 hari.

Beberapa kajian psikologi juga telah dibuat bagi mengenalpasti beberapa kesan psikologi terhadap setiap krew kapal yang dihantar kelak. Menyedari bahaya yang timbul daripada ketidakseimbangan psikologi krew kapal, para saintis juga telah memperkenalkan pemeriksaan kesihatan mental dan protokol rawatan untuk perjalanan yang panjang di angkasa lepas.

4. Pendedahan terhadap radiasi berbahaya

radiasi angkasa lepas

Lapisan atmosfera Bumi telah memainkan peranan penting sebagai lapisan perlindungan daripada radiasi angkasa lepas. Ketiadaan lapisan ini di planet Marikh menyebabkan angkasawan bakal terdedah kepada pancaran radiasa berbahaya yang boleh membunuh ini.

Angkasawan di Stesyen Angkasa Antarabangsa dilaporkan menerima 10 kali ganda kadar radiasi daripada manusia yang hidup di Bumi. Saintis menganggarkan angkasawan yang terbang ke Marikh bakal terdedah kepada 100 kali ganda kadar radiasi yang diterima dari Bumi. Pendedahan kepada radiasa ini dikatakan boleh meningkatakan risiko penyakit kanser, masalah neurologikal, masalah penglihatan dan banyak lagi.

5. Komunikasi dengan bumi

komunikasi antara bumi marikh 98

Untuk misi besar dan penting seperti ini, adalah penting bagi memastikan angkasawan yang berada di planet Marikh dapat melakukan komunikasi dua hala dengan Bumi. Secara teorinya, semakin jauh jarak antara angkasawan dengan Bumi, masa semakin lama masa diambil untuk sesuatu pesanan untuk sampai ke Bumi.

Bergantung pada kedudukan semasa kedua-dua planet Bumi dan Marikh, mesej yang dihantar mungkin mengambil masa antara 4.3 hingga 21 minit. Oleh itu, untuk menerima kembali respon terhadap mesej yang dihantar, ianya mungkin mengambil masa sehingga 42 minit.

Kredit:




Hakcipta iluminasi.com (2017)