Misi eksplorasi ke angkasa bukanlah sesuatu yang mudah. Selain pelbagai halangan seperti pendedahan radiasi yang berbahaya, para saintis juga perlu mengkaji beberapa kesan dan perubahan yang di alami angkasawan yang berada lama di angkasa lepas.

Selain pelbagai limitasi seperti masa, wang dan teknologi, badan manusia juga mempunyai limitasi untuk hidup di ruang yang asing di angkasa lepas. Tanpa kewujudan graviti seperti di Bumi dan pelbagai faktor lain, saintis dapati terdapat beberapa perubahan fizikal yang biasa dialami oleh seseorang angkasawan yang berada lama di angkasa lepas.

1. Perubahan DNA

BESARKAN TEKS     A-  A+

Scott Kelly merupakan seorang angkasawan yang telah menghabiskan kira-kira 1 tahun di Stesyen Angkasa Antarabangsa. Tempoh yang lama ini bertujuan bagi mengetahui sama ada manusia mampu hidup lama di angkasa sebelum misi lebih besar seperti eksplorasi ke planet Marikh dilakukan beberapa tahun akan datang.

Beliau merupakan bahan kajian yang terbaik memandangkan beliau juga mempunyai seorang kembar. Ini membolehkan saintis membuat kajian biologi kepadanya. Daripada kajian yang dilakukan, didapati 7% daripada DNAnya telah berubah. Penemuan ini merupakan satu penemuan menarik dan saintis akan mengkaji faktor yang membawa kepada perubahan ini dan kesannya kepada manusia.

Nota: Pihak kami dimaklumkan bahawa info ini adalah tidak benar (hoax). Penjelasan mengenai perkara ini diterangkan dalam artikel National Geographic yang berbahasa Inggeris ini.

2. Perubahan bentuk otak

perubahan otak di angkas lepas

Otak merupakan bahagian tubuh badan manusia yang kompleks. Malah, saintis juga tidak pasti 100% bagaimana otak berfungsi. Menariknya, daripada scan MRI yang dilakukan kepada angkasawan, didapati bahawa bentuk otak berubah setelah berada lama di angkasa.

Dari scan ini, sesetengah bahagian otak didapati mengembang sementara sesetengah bahagian lain pula mengecut. Angkasawan yang hidup lebih lama di angkasa pula menunjukkan perubahan bentuk yang lebih signifikan. Perubahan sesetengah bahagian otak ini dikatakan kerana otak berfungsi keras untuk belajar menyesuaikan diri di tempat yang asing tanpa graviti.

3. Pengurangan kadar penglihatan

pengurangan penglihatan angkasawan

Tempoh yang lama di angkasa lepas sememangnya tidak baik untuk kesihatan mata. Perkara ini dapat dilihat dengan pengurangan kualiti penglihatan angkasawan terutamanya mereka yang hidup di angkasa lepas melebihi 6 bulan.

Organisasi American Academy of Ophthalmology menjelaskan bahawa di angkasa lepas, bahagian mata seperti retina dan saraf optik mengalami sedikit perubahan. Walau pun perubahan ini akan kembali pulih setelah pulang ke Bumi, bagi sesetengah angkasawan perubahan ini kekal buat buat tempoh yang lebih lama walaupun setelah kembali ke Bumi.

Daripada kajian juga, 25% angkasawan yang terlibat dalam misi pendek dan 49% angkasawan yang terlibat dalam misi tempoh yang panjang dilaporkan mengalami masalah penglihatan ini. Ini menimbulkan kebimbang untuk misi ke Marikh yang sangat panjang dimana angkasawan mungkin akan buta. NASA sedang mengkaji punca terjadinya perkara ini dan kemungkinan terdapat solusi untuk mencegahnya.

4. Perubahan fungsi imunisasi tubuh badan

sistem imunisasi badan

Sistem imunisasi badan manusia merupakan satu sistem unik yang membantu manusia melawan pelbagai jangkitan bakteria dan virus. Sama seperti perubahan DNA, tanpa sebab yang diketahui sistem imunisasi badan manusia juga mengalami perubahan apabila berada dalam tempoh lama di angkas lepas.

Contohnya, virus Chickenpox yang sudah lemah mungkin diaktifkan kembali dan menyerang semula seseorang itu. Malah, adalah normal bagi seseorang angkasawan itu mengalami ruam dan alergik yang teruk di angkasa lepas walaupun mereka tidak mengalaminya di Bumi. Saintis percaya perubahan ini mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya pendedahan kepada radiasi, mikrob, perubahan waktu tidur dan kesan graviti sifar.

5. Kurang ketumpatan tulang

kurang ketumpatan tulang

Menurut organisasi Canadian Space Agency, seseorang angkasawan akan kehilangan 2% ketumpatan tulang setiap bulan apabila berada di angkasa lepas. Keadaan ini berlaku kerana di angkasa lepas yang tidak mempunyai graviti. Oleh itu, tubuh badan dan tulang akan menjadi lemah kerana tiada rintangan. Bagi mengelakkan perkara ini, biasanya seseorang angkasawan akan menghabiskan masa berjam-jam untuk bersenam setiap hari.

Kesan pengurangan ketumpatan tulang ini juga membahayakan. 13 angkasawan yang hidup selama 6 bulan di angkasa lepas kehilangan 14% ketumpatan tulang. 3 orang angkasawan pula hilang 30% ketumpatan tulang, hampir sama seperti yang dimiliki oleh seorang pesakit osteoporosis.

6. Pertambahan ketinggian

pertambahan ketinggian 187

Betul, keadaan sifar graviti di angkasa lepas membolehkan tulang seseorang itu untuk lebih relaks dan memanjang. Sebagai contoh, sesorang yang mempunyai ketinggian 6 kaki biasanya akan mendapat pertambahan ketinggian 2 inci.

Walau bagaimanapun, pertambahana ketinggian ini hanya sementara. Oleh itu, apabila kembali ke Bumi, ketinggian seseorang angkasawan itu akan kembali ke ketinggian asalnya. Penemuan ini penting kerana pihak seperti NASA perlu mengambil kira perubahan ketinggian ini dalam merekabentuk sut angkasawan yang dipakai oleh angkasawan.

7. Risiko kehilangan kuku jari

kecederaan angkasawan

Penciptaan sarung tangan merupakan satu isu besar yang biasa dihadapi ketika menghasilkan sut bagi seseorang angkasawan. Dicipta dengan bahan insulasi khas, sarung tangan yang dipakai perlulah fleksibel dan tidak mengganggu pergerakan tangan dan jari-jemari angkasawan.

Kerana sarung tangan ini perlu dipakai setiap masa, banyak angkasawan melaporkan mengalami kecederaan seperti melecet pada jari dan kuku tercabut. Menurut rekod, 47% daripada 352 kes yang dilaporkan adalah berkaitan dengan kecederaan pada tangan. 22 kes daripadanya melaprkan mengalami masalah kuku tercabut.

Kredit:




Hakcipta iluminasi.com (2017)