Mampukah anda mengawal sebuah kapal angkasa memasuki orbit mengelilingi planet Marikh dan pada masa yang sama, menyediakan hidangan untuk lapan orang setiap hari untuk makan pagi dan malam?

Ramai wanita berkerjaya kini yang terlalu sibuk sehingga semakin jarang menjejakkan kaki ke dapur. Tapi bagi BP Dakshayani yang merupakan bekas Ketua Penerbangan Dinamik dan Navigasi Angkasa di Agensi Angkasa India, mempunyai kerjaya sepenuh masa sambil menggalas tugas sebagai isteri/ibu di rumah bukanlah suatu perkara mustahil.

dakshayani pakar angkasa programmer satelit india

Empat tahun lalu, Dakshayani merupakan salah seorang ahli kumpulan wanita memakai sari yang terkenal sebagai "Wanita Roket" atau "Wanita dari Marikh." Gambar mereka bersorak gembira dalam pakaian tradisional itu menjadi tular selepas kejayaan sebuah kapal angkasa India memasuki orbit Marikh sekali gus membuktikan peranan wanita dalam program angkasa lepas negara itu.

Dakshayani mengetuai pasukan itu yang ditugaskan untuk memerhatikan pergerakan satelit. Mereka perlu mengawal laluan dan arahnya serta memastikan ia tidak terlencong ke tempat lain.

salah satu gambar planet marikh yang dirakam satelit yang dikendalikan dakshayani

Tugas mengawal satelit itu digambarkan sebagai membuat cubaan memukul sebuah bola golf dari India untuk dimasukkan ke dalam lubang yang berada di Los Angeles. Lebih mencabar lagi apabila lubang itu sentiasa beralih arah.

Skop kerja seperti itu mungkin kedengaran seperti sebuah tanggungjawab yang amat sukar digalas. Apatah lagi dipikul oleh seorang wanita bergelar isteri di India. Namun, kecekalan Dakshayani itu sudah dapat dilihat sejak begitu lama, ketika beliau masih merupakan seorang gadis yang berminat dengan sains, walaupun dibesarkan dalam sebuah keluarga India yang konservatif, tradisional dan ortodoks.

pasukan dakshayani mengawal pergerakan satelit mengelilingi orbit marikh

Pada tahun 1960an, Dakshayani dibesarkan di Bhadravati, sebuah bandar kecil di selatan Karnataka. Dakshayani mula meminati dan mempelajari sains daripada bapanya. Lama-kelamaan minatnya terhadap ilmu itu semakin mendalam sehingga beliau sanggup ke rumah satu-satunya wanita yang menyambung pendidikan dalam bidang kejuruteraan di bandar itu untuk bertanyakan soalan.

Ketika itu, pendidikan untuk wanita dan kanak-kanak perempuan tidak begitu diberi penekanan. Amat sedikit bilangan wanita yang dapat memasuki universiti. Walau bagaimanapun, bapa Dakshayani yang merupakan seorang akauntan bertauliah yang sangat mahir dengan nombor, ingin melihat anak perempuannya melanjutkan pelajaran. Dakshayani kemudian mendapatkan ijazah dalam bidang kejuruteraan dan menamatkan pengajian dengan cemerlang.

zaman muda dakshayani berkerjaya sambil membesarkan anak

Konflik mula timbul apabila Dakshayani memasang niat untuk meneruskan pengajian di peringkat Sarjana. Menurut bapanya, kelulusan di peringkat Sarjana Muda sudah mencukupi buatnya. Walau bagaimanapun, nasib menyebelahi Dakshayani, beliau berjaya menamatkan pengajian Sarjana Muda dengan sekali lagi keputusan yang cemerlang.

Setelah itu, Dakshayani mula menjadi tenaga pengajar di sebuah kolej dengan mengajar subjek Matematik. Namun, minatnya terhadap angkasa lepas dan satelit semakin mendalam. Pada suatu hari, beliau ternampak sebuah iklan jawatan kosong di Isro, iaitu agensi angkasa lepas India. Dakshayani membuat permohonan dan akhirnya beliau berjaya diambil bekerja.

Beliau memulakan kerjayanya pada tahun 1984 dan tugasan pertamanya adalah berkaitan dinamik orbit. Walaupun hari ini Dakshayani telah menjadi seorang pakar dalam bidang ini namun ketika awal pembabitannya, beliau terpaksa bekerja keras untuk memahami segala ilmu asas berkaitan dinamik orbit.

wanita berpakaian sari kerja di agensi angkasa lepas

Selain itu, Dakshayani juga diperlukan untuk membuat pengaturcaraan komputer. Ini menjadi suatu permasalahan besar kerana Dakshayani tidak pernah melihat atau memegang sebuah komputer. Pada zaman 80-an, itu adalah suatu perkara yang biasa. Tidak semua orang memiliki komputer di rumah. Malah, tablet dan telefon pintar juga masih belum wujud.

Akan tetapi, Dakshayani punya cara tersendiri. Beliau mula menelaah buku. Setiap hari, selepas kerja, Dakshayani akan pulang ke rumah dan membaca buku berkaitan pengaturcaraan komputer untuk belajar dengan cepat.

Tidak sampai setahun bekerja di Isro, tugasan 'rumah' Dakshayani bertambah. Ibu bapanya telah mengaturkan perkahwinannya dengan seorang pakar bedah ortopedik, Dr. Manjunath Basavalingappa. Ini bermakna kerja rumah Dakshayani semakin bertambah dengan hal ehwal rumah tangga pula.

wanita roket dakshayani 2

Apabila berada di pejabat, Dakshayani perlu membuat pelbagai pengiraan yang rumit dan tidak dilupakan pengaturcaraan komputer untuk kawalan satelit. Di rumah pula, Dakshayani harus menjaga sebuah keluarga besar yang merangkumi kedua-dua ibu bapa mertuanya, lima orang adik-beradik suaminya serta dua orang cahaya mata Dakshayani yang dikurniakan selepas beberapa tahun berkahwin.

Kebiasaannya Dakshayani akan bangun seawal jam 5 pagi untuk menyiapkan makanan seisi keluarga. Ia bukan suatu kerja yang mudah untuk dilakukan. Apatah lagi beliau terpaksa memenuhi kehendak tradisi pemakanan yang sudah menjadi kebiasaan keluarga itu iaitu dengan menyediakan capati yang diuli sendiri menggunakan tangan.

Selesai tugasan pagi di rumah, Dakshayani bergegas ke pejabat dan tidak akan berpeluang langsung untuk memikirkan tentang rumah. Beliau hanya dapat mencuri-curi sedikit masa pada waktu tengah hari untuk menelefon rumah dan bertanyakan tentang anak-anak.

Usai memerah keringat di pejabat, beliau pulang ke rumah dan mula memasak sekali lagi untuk keluarga besar itu.

wanita roket dakshayani dan suaminya

Setiap hari Dakshayani terlalu kepenatan sehingga ada saudara-mara yang beranggapan beliau akan melepaskan jawatan di Isro. Walau bagaimanapun, wanita ini bukanlah seorang individu yang mudah patah semangat. Dakshayani sentiasa teringat kata-kata ayahnya supaya jangan mengalah. Malah, apabila menghadapi masalah kerja yang teknikal atau tidak memahami sesuatu berkaitan kerja di pejabat, Dakshayani akan membaca sehingga berulang kali sehingga benar-benar faham.

Dakshayani kebiasaannya tidur pada jam 1 atau 2 pagi. Hanya beberapa jam sahaja waktu merehatkan badan sebelum beliau bangun semula untuk memulakan hari baru.

Walaupun letih membahagikan masa antara keluarga, tugas di rumah dan juga di pejabat, Dakshayani tidak pernah mengeluh. Beliau sentiasa bersemangat bercerita tentang bagaimana beliau mempunyai keseimbangan budaya kerja, keghairahannya terhadap kerjaya dan juga bagaimana setiap penyelesaian masalah membuatkan beliau lebih bahagia.

dakshayani gemar memasak untuk keluarga besar

Menurut Dakshayani, minatnya memasak di dapur juga adalah seakan-akan pengekodan. Satu perubahan kecil dalam kod akan menghasilkan nombor yang berbeza, begitu juga dengan memasak - satu perubahan kecil dalam bahan masakan akan turut mengubah rasa makanan.

Dalam sebuah institusi kekeluargaan tradisional di India, golongan wanita sememangnya perlu menanggung beban kerja yang kadang kala lebih berat daripada pasangan. Namun, mereka tidak pernah mengadu dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Bagi para feminis, situasi ini mungkin kedengaran seperti merendahkan martabat wanita dan tidak adil tetapi bagi wanita seperti Dakshayani, ia adalah lumrah kehidupan di sana.

saintis wanita di agensi angkasa lepas india isro

Kedua-dua anak Dakshayani kini sudah meningkat dewasa. Mereka telah berhijrah ke Amerika Syarikat dan bekerja di sana sebagai jurutera. Walaupun begitu, Dakshayani masih tidak mempunyai hasrat untuk bersara dan tetap meneruskan kegilaannya mengkaji Bumi, Marikh dan angkasa lepas.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)