Oleh pada 31 May 2018 kategori

Dalam kajian sains, eksplorasi ke angkasa merupakan satu cabang yang penting untuk melakukan pelbagai kajian dalam kondisi berbeza yang tidak terdapat di bumi. Maka tidak hairanlah kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat (NASA), China dan Russia berlumba-lumba melancarkan eksplorasi ke angkasa.

Untuk tujuan kajian, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa ada kalanya haiwan juga akan dilancarkan bersama misi ke angkasa tersebut untuk tujuan melakukan kajian tertentu. Kali ini, kami di Iluminasi ingin berkongsi 5 haiwan yang pernah dibawa ke angkasa lepas sebagai bahan uji kaji.

Ada antara haiwan ini yang berjaya kembali ke Bumi dengan selamat dan ada juga yang tidak kembali buat selama-lamanya.

1. Anjing

anjing ke angkasa

Anjing merupakan haiwan yang paling popular dan mungkin sudah diketahui ramai. Malah, anjing juga merupakan haiwan pertama yang dilancarkan ke angkasa lepas demi kajian sains. Antara kisah anjing yang popular adalah Laika, seekor anjing jalanan yang telah dilancarkan ke angkasa oleh pihak USSR.

Sekiranya anda berminat, sila baca artikel kami bertajuk Laika: Binatang Pertama Ke Angkasa dan Mati Berjasa Untuk Perkembangan Sains di mana kami menceritakan secara terperinci kisah Laika yang ditangkap dan dilatih untuk dihantar ke angkasa. Laika tidak dapat kembali ke Bumi dengan selamat dan sebab kematiannya menjadi kontroversi.

2. Katak

katak ke angkasa 701

Haiwan amfibia seperti katak, kodok dan seangkatan dengannya juga banyak kali dibawa ke angkasa lepas untuk kajian sains. Haiwan amfibia yang hidup dua alam merupakan spesis haiwan yang paling sensitif dan terkesan dengan perubahan cuaca, pencemaran dan juga penyebaran penyakit.

Untuk rekod, puluhan katak pernah dibawa ke angkasa dan seekor katak pernah menjadi perhatian media apabila gambarnya seolah-olah terbang akibat letupan roket NASA sebelum sempat ianya dilancarkan ke angkasa. Antara misi terawal yang pernah disertai katak adalah Bion 7 oleh pihak USSR pada tahun 1985. 

3. Monyet

monyet ke angkasa

Monyet merupakan antara haiwan yang paling banyak berjasa dalam bidang sains. Maka, tidak hairanlah ianya juga pernah dihantar ke angkasa lepas sebagai bahan uji kaji. Antara spesis monyet yang pernah dihantar adalah daripada spesis macaques dan rhesus. Rhesus merupakan spesis monyet yang bijak dan merupakan haiwan primate pertama berjaya diklon.

Mengikut sejarah, Albert II merupakan monyet pertama yang berjaya sampai ke angkasa melalui misi Amerika Syarikat. Selain itu, terdapat juga negara lain seperti Argentina, Perancis dan Russia yang turut menghantar monyet ke angkasa lepas. Malangnya, kebanyakannya tidak kembali ke bumi dengan selamat.

4. Ikan

kajian ikan di angkasa

Ikan mungkin merupakan haiwan yang paling pelik sekali dalam senarai ini memandangkan habitatnya yang hidup dalam air. Sekumpulan ikan dari jenis Medaka telah dihantar oleh kapal bantuan Jepun Japanese HTV-3 yang dilancarkan ke Stesen Angkasa Antarabangsa.

Ikan Medaka merupakan haiwan yang ideal memandangkan ianya cepat membiak dan kulitnya yang transparen membolehkan saintis melihat pergerakan organ dalamannya. Walaupun ikan ini hidup dalam air, ia juga turut merasai kesan mikrograviti dan berkelakuan pelik seperti berenang dalam pergerakan putaran berbanding berenang lurus.

5. Tikus

eksperimen ke atas tikus

Adalah tidak menghairankan untuk melihat tikus dalam senarai ini. Antara kajian popular yang pernah dijalankan ke atas tikus adalah satu eksperimen pada tahun 2001 oleh seorang jurutera biomedikal, Ted Bateman dengan kerjasama NASA dan syarikat Amgen.

Tikus telah digunakan untuk menguji sejenis protein bernama osteoprotegerin yang dipercayai mampu melambatkan proses penuaan tulang. Keadaan angkasa yang akan mempercepatkan proses penuaan tulang menjadikannya kondisi yang sesuai untuk menjalankan kajian ini ke atas tikus. Kajian ini juga sangat penting untuk mencari penyelesaian untuk penyakit berkaitan tulang dan penuaan seperti osteoporosis.

Kredit:

  1. The Atlantic
  2. Outer Space Universe
  3. Universe Today
  4. Endeavors - The University of North Carolina

tags : , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)