Walaupun misi penerokaan ke planet Marikh sering diperkatakan sejak kebelakangan ini, ia sebenarnya telah lama bermula. Malah, NASA juga sebenarnya sudah mempunyai kenderaan tanpa pemandu (dikenali sebagai rover) yang dikenali sebagai Curiosity di sana. Turut dipasang pada rover ini adalah kamera berkualiti tinggi yang dipanggil Mastcam (singkatan Mast Camera).
BESARKAN TEKS A- A+
Curiosity telah dilancarkan pada 26 November 2011 dan mendarat di Marikh pada tarikh 6 Ogos 2012. Gambar-gambar yang diambil oleh Mastcam ini sebenarnya sangat penting bagi membolehkan NASA membuat kajian geografi bentuk muka bumi Marikh dan pelbagai lagi kajian sebelum menghantar manusia pertama ke planet Marikh menjelang tahun 2033.
Malah, di laman web NASA juga telah wujud halaman khas diberi nama Mars Curiosity Image Gallery yang memuatkan gambar-gambar yang telah diambil di planet Marikh. Daripada gambar-gambar yang dapat dilihat oleh orang awam ini, maka terdapat teori mengatakan terdapat binaan berbentuk seperti piramid yang terdapat di Marikh.
Apakah benar dakwaan ini?
Gambar yang didakwa sebagai binaan piramid
Video daripada pihak Paranormal Crucible di atas adalah gambar yang mendakwa wujudnya binaan seperti piramid di Marikh. Video ini turut memuatkan penerangan mengapa ianya adalah sebuah piramid.
Gambar tersebut telah diambil oleh kamera Mastcam NASA pada tarikh 7 Mei 2015. Dalam video tersebut, ada diterangkan bahawa binaan seperti piramid tersebut terlalu sempurna dan memerlukan kepakaran teknologi untuk membina. Dalam erti kata lain, adalah mustahil mengatakan ianya wujud secara semulajadi.
Apa kata anda?
Bukti kewujudan hidupan dan tamadun di Marikh
Antara perkara pertama yang ingin dikaji oleh saintis adalah kemungkinan terdapatnya sumber air dan hidupan lain yang hidup di planet Marikh. Sekiranya dakwaan ini benar, tentulah lebih mudah kerana saintis hanya perlu mengkaji struktur biologikal hidupan ini sahaja bagi mengetahui bagaimana mereka mampu hidup di planet Marikh yang tersangat asing itu.
Maka, para penggemar teori konspirasi beranggapan bahawa kewujudan piramid di planet Marikh ini membuktikan telah wujud penempatan manusia dan tamadun di Marikh satu ketika dahulu, sama seperti di Mesir. Walaupun rahsia pembinaan piramid di Mesir masih belum dapat dirungkaikan sepenuhnya oleh para saintis, ramai beranggapan manusia pada zaman dahulu sudah mempunyai teknologi canggih untuk membina piramid.
Selain itu, para peminat teori konspirasi juga cuba mengaitkan persamaan kewujudan piramid di Mesir dan piramid di Marikh. Mereka mendakwa, perkataan Mesir dalam bahasa Arab disebut sebagai al-Qahirah. Perkataan ini jika dialih bahasa ke Bahasa Malaysia membawa maksud "yang berjaya" atau "Tempat Marikh".
Golongan ini juga mendakwa binaan Sphinx di Mesir satu ketika dahulu berwarna merah seperti di Marikh. Lama-kelamaan akibat hakisan warna merah tersebut semakin pudar. Sphinx adalah binaan kepala manusia dengan badan singa yang terdapat berhampiran dengan piramid.
Sanggahan terhadap penemuan piramid di Marikh
Menariknya, jawapan pihak NASA bagi menyanggah kewujudan piramid ini amat mudah. Dr. Jim Bell, iaitu timbalan penyiasat utama program siasatan Mastcam dan Profesor Astronomi di Arizona State University mengatakan itu adalah batu dan bukanlah piramid.
Menurut beliau lagi, batu tersebut berkemungkinan daripada gunung berapi yang terdapat di planet Marikh. Sama seperti batu-batu yang terdapat berdekatan dengan gunung berapi di Bumi, batu daripada gunung berapi di Marikh juga mempunyai bucu yang tajam.
Menurut Dr. Jim Bell lagi, mungkin ianya sekadar kebetulan bahawa ianya mempunyai bentuk seperti piramid. Daripada saiz pula, batu tersebut tidaklah begitu besar sebaliknya mungkin berukur sekitar 4 inci tinggi atau maksimum tinggi sebuah tin minuman.
Menurut rekod, ini bukanlah teori pertama yang dihebohkan mengenai penemuan benda-benda pelik di Marikh. Sebelum ini, terdapat juga pihak mendakwa melihat tengkorak, tulang dan pelbagai benda lain daripada gambar yang dimuat naik oleh NASA.
Kredit: