Sundubu jjigae merupakan sebuah hidangan Korea. Sundubu bermaksud tauhu lembut dan jjigae pula merupakan stew atau sup pedas masam.
Gochujang halal boleh didapati di pasaraya seperti Aeon, Jaya Grocer, Village Grocer, Hero, NSK dan juga Shoppee. Namun, pastikan terdapat tanda Halal kerana versi asli dari Korea mengandungi campuran alkohol.
Sundubu Jjigae
Bahan-bahan:
- Bawang putih (2 ulas)
- Halia (sedikit)
- Daun bawang
- Kiub bilis (2 keping)
- Pes gochujang
- Daging - dihiris nipis
- Tauhu lembut
- Cendawan Enoki
- Minyak bijan
- Garam
Cara-cara membuat:
- Tumbuk bawang putih dan halia. Tumis dengan menggunakan sedikit minyak. Tambahkan dengan 2-3 sudu besar pes gochujang.
- Tambahkan sedikit air sebanyak lebih kurang 2 cawan, mengikut kadar kepekatan yang anda suka. Masukkan 2 batang daun bawang yang dipotong kasar. Rebus seketika.
- Buang daun bawang yang layu dan tambahkan kiub bilis.
- Masukkan daging yang dihiris nipis, tauhu lembut dan cendawan Enoki. Renjiskan sedikit minyak bijan.
- Perasakan dengan garam atau gula mengikut kesukaan anda. Rasanya masam-masam pedas ala tomyam tetapi mempunyai bau kuat kerana gochujang merupakan pes sambal yang dicampur dengan soya yang diperam. Jika di Malaysia, ianya dipanggil tauchu. Namun, cara peraman di Korea mungkin berbeza.
- Tabur sedikit hirisan daun bawang dan biji bijan yang disagai sebagai hiasan.
Nota:
- Gochujang adalah ala pes sambal. Boleh digunakan dalam resepi ayam goreng korea yang pedas dan rangup iaitu Dakgangjeong atau nasi goreng. Nasi goreng ini ada dijual di Secret Recipe. Tumis pes dengan nasi, tambahkan kimchi dan biji bijan.
- JIka belum pernah makan, rasanya ala sup tauhu pedas masam.
- Daging perlu dihiris betul-betul nipis dan masak dengan kadar segera. Jika terlebih masak, daging akan keras.
- Padankan dengan nasi panas dan telur dadar. Untuk nasi, lebih sesuai jika dapat menggunakan beras Calrose (beras jepun). Masak mengikut arahan di paket beras tersebut. Setelah masak, cepat-cepat gaul nasi dengan 3 sudu besar cuka, sedikit garam dan gula. Untuk lebih menarik, pecahkan telur mata di dalamnya dan tutup api.
Resepi ini diambil dengan kebenaran dari 'group' masakan paling popular di Facebook, Masak Apa Hari Ni.