Oleh pada 20 Mar 2019 kategori

Kuih qasidah atau juga dipanggil sebagai kuih hasidah adalah sejenis kuih tradisi yang lemak dan manis. 

Kuih qasidah merupakan kuih tradisional klasik yang gemar dibuat oleh orang zaman dahulu terutamanya ketika bulan Ramadhan.

Terdapat dua versi kuih qasidah, satu versi dari sebelah utara dan satu lagi sebelah pantai timur yang dipanggil sebagai kuih yang berlauk.

Kedua-dua kuih ini mempunyai keunikan yang tersendiri. 

Kuih qasidah Terengganu berbeza sedikit berbanding qasidah negeri-negeri lain kerana ia menggunakan santan menjadikan rasanya lebih lemak dan berkrim. 

Kuih ini dibuat dengan menggunakan campuran tepung, minyak sapi dan gula.

Pada kelazimannya, ia akan dicanai bulat dan diletakkan di atas talam, lalu bunganya dicekit dengan menggunakan pengepit membentuk seperti sekuntum bunga mawar.

Kemudian, bawang goreng akan ditabur pada bahagian atasnya.

 

Kuih Qasidah Utara

 

Bahan-bahan:

  • Tepung gandum (1 cawan)
  • Air (3 cawan)
  • Gula (7 sudu besar)
  • Garam (secubit)
  • Air kapur makanan (1 sudu teh)
  • Minyak masak (3 sudu besar)*
  • Bawang (4 ulas)* - dimayang dan digoreng garing

 

Cara penyediaan:

1. Satukan semua bahan-bahan (kecuali berhuruf condong) dan masukkan dalam periuk. Masak sehingga kental dan berkilat.

2. Tuang dalam loyang dan tabur bawang goreng dan minyak tadi. Siap.

 

Kuih Qasidah Terengganu 

  

kuih qasidah terengganu

 

Bahan-bahan: 

  • Tepung gandum (1/2kg) - disangai, digoreng tanpa minyak dan disejukkan
  • Gula pasir (400g)
  • Santan (700ml)
  • Telur ayam (8 biji) - dikacau sehingga rata
  • Daun pandan (sehelai)
  • Minyak sapi (2 sudu makan)
  • Bawang merah (10 ulas) - dimayang halus dan digoreng sehingga kuning

Nota: Simpan minyak bekas menggoreng ini

 

Cara membuat: 

1. Goreng tepung dahulu supaya bau wangi. Dalam 10 minit apabila telah sejuk, campur gula, santan, telur dan garam. Kacau sebati. Adunan seperti kuih dadar dan tapiskan. 

2. Kacau atas api perlahan dan adunan akan berketul.

3. Masukkan minyak sapi dan kacau lagi sehingga menjadi doh lembut seakan doh kuih semperit.

4. Kacau lebih kurang 20 minit. Setelah siap, boleh dibentuk menggunakan acuan semperit.

5. Hias dengan bawang goreng.

 

Nota: Ketika proses membulat, meleper dan menyepit, buat di atas sekeping plastik supaya ia tidak melekat di tangan. 

 

Sumber:

1. Arianna Rose [1, 2]

2. Shai Anne Ahemed [1, 2]

3. Jes Tham [1, 2]

4. Wikipedia Kuih Hasidah




Hakcipta iluminasi.com (2017)