nasitomato

Kredit foto: Nur Sakinah (Gambar nasi bukan menggunakan resepi dibawah)

Nasi tomato sememangnya sinonim dan menjadi menu kegemaran rakyat tempatan yang dipasangkan dengan ayam masak merah. Menu ini biasanya tidak selalu disediakan. Tetapi, jika dimakan sebulan atau dua minggu sekali, pastinya membuka selera bukan?  

Terdapat pelbagai resepi nasi tomato, contohnya ada yang warnanya garang dan ada yang warnanya bersahaja. Lain orang, lain citarasanya. Bagi kami, warna nasi yang disukai adalah tidak terlalu merah dan bersesuaian dengan kuantiti pes tomato yang dicampurkan pada nasi yang mahu dimasak.

Lazimnya, nasi tomato dihidangkan bersama ayam atau daging masak merah. Salad sampingan adalah kerabu timun nenas bersama kuah kacang. Namun, kami akan berkongsikan resepi jelatah yang jauh lebih ringkas dan cepat untuk disiapkan.

Jika menggunakan beras biasa, nasi akan menjadi tidak berapa cantik. Sebaliknya, dengan menggunakan beras basmathi, ia pastinya lebih cantik, menyelerakan dan baik untuk kesihatan.

Nasi Tomato

nasi tomato

Bahan-bahan:

  • 7 cawan beras basmati (dibasuh dan direndam selama 1/2 jam)
  • 10.5 cawan air biasa
  • 1 tin susu cair
  • 1 tin tomato puree
  • 2 labu bawang holand
  • 4 biji tomato
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 biji bunga lawang
  • 10 biji bunga cengkih
  • Sedikit minyak sapi
  • Sedikit minyak masak biasa
  • Gula dan garam
  • Akar daun ketumbar

Cara penyediaan:

Bahan tumis

1. Panaskan minyak biasa dan minyak sapi.

2. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih.

3. Masukkan bawang holand, tomato dan akar daun ketumbar.

4. Tumis sehingga wangi dan sedikit garing.

5. Masukkan susu dan tomato puree.

6. Masak sehingga mendidih. Tambah gula dan garam.

Alihkan ke dapur elektrik untuk masak nasi

1. Masukkan 10.5 cawan air dan bahan yang telah ditumis sebentar tadi bersama 7 cawan beras yang telah direndam dan kacau sedikit.

2. Tekan cook. Masak seperti biasa.

3. Apabila masak, tabur bawang goreng dan daun ketumbar.

4. Boleh juga tabur kismis jika suka.

Nota:

  • Sila guna cawan yang sama untuk menyukat air dan beras
  • Nisbah 1 cawan beras = 1.5 cawan air

Ayam Masak Merah

Bahan-bahan:

Bahan A

  • 1 ekor ayam
  • 1 labu bawang besar (dipotong gelang atau baji)
  • 2 sudu makan sos tomato
  • Minyak masak secukupnya
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit serbuk kunyit

Bahan B

  • 15 tangkai cili kering (dikisar)
  • 2 inci halia (dikisar)
  • 3 ulas bawang putih (dikisar)
  • 1 labu bawang besar (dikisar)
  • 2 batang serai (dititik)
  • 4 biji tomato (dipotong baji)

Cara penyediaan:

1. Ayam dipotong kecil dan dicuci bersih. Kemudian, gaulkan dengan garam dan kunyit. Goreng sehingga masak. Angkat dan ketepikan.

2. Panaskan minyak dalam kuali.

3. Tumiskan bahan yang dikisar sehingga garing dan harum.

4. Masukkan ayam, sos tomato, bawang besar, garam dan gula secukup rasa.

5. Gaulkan sehingga sebati.

6. Hidangkan bersama nasi tomato atau nasi lain yang sesuai.

Jelatah

jelatah

Bahan-bahan:

  • Timun
  • Bawang
  • Cili masak

Cara membuat:

1. Potong sahaja ikut kehendak.

2. Letak cuka makan sedikit.

3. Perasa gula garam.

Sumber:

1. Mas Salleh [1, 2]

2. Nur Sakinah [1, 2]

3. Maisarah Yahya [1, 2]

4. Blog Hari Hari Masak Makan

5. Blog Norazlita Aziz



Hakcipta iluminasi.com (2017)