Kuih tepung kapur merupakan jenis kuih yang dimasak dalam loyang lalu dihiris nipis-nipis dan disajikan dengan digaul bersama kelapa parut muda (nyiur kulit hidup).

Ia adalah sejenis sajian yang terkenal di Malaysia, terutamanya di sebelah pantai timur.

Nama kuih tepung kapur didapati dari satu bahan untuk menghasilkan kuih ini, iaitu kapur sirih atau juga dikenali sebagai kapur makan.

Kuih tepung kapur lazimnya agak tahan lama disebabkan kuahnya yang manis berfungsi sebagai bahan pengawet, namun kerana kelapa/nyiur yang digunakan mungkin cepat masam.

Justeru itu, untuk memastikan kuahnya tahan lama, kelapa hanya dicampurkan semasa ia mahu dihidangkan.

Selain itu, kuih tepung kapur tahan lebih lama sekiranya disimpan dalam peti ais. Ia selalu dibuat untuk jualan harian, dan juga senang dibuat bagi dimakan sendiri.

Kuih tepung kapur lazimnya dibuat sebagai sajian makan petang dan senang untuk disajikan disebabkan ia tidak berkuah.

Justeru itu, kuih ini ada disediakan sebagai menu pejabat, contohnya ketika mesyuarat.

Antara jenis-jenis kuih lain yang menyamai kuih tepung kapur adalah kuih kasui, namun kuih tepung kapur menggunakan lebih banyak kapur yang membuatkan rasanya lebih kenyal sedikit berbanding kuih kasui.

 

Kuih Tepung Kapur Terengganu

  

 

 

Kredit foto: Iza Haliza Mohd Zaid (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah)

 

Bahan-bahan:

  • Tepung gandum (3 cawan)
  • Air (2 cawan)
  • Manisan (1/2 keping) - keping besar dan tebal atau gula melaka (1 cawan)
  • Kapur makan (1 sudu)
  • Garam (secukup rasa )
  • Kelapa parut

 

Cara-cara membuat:

1. Masakkan manisan atau gula melaka dengan air sehingga cair dan sejukkan.

2. Masukkan air manisan atau air gula melaka ke dalam tepung gandum. Masukkan sedikit demi sedikit. Adunannya tidak terlalu cair dan tidak pekat dan likat. Masukkan sekali kapur makan yang dibancuh dengan sedikit air dan masukkan garam.

3. Tapiskan dalam loyang yang telah digris dengan minyak atau mentega.

4. Kukus dalam masa 30-45 minit.

5. Apabila masak, sejukkan. Kemudian, potonglah kuih ini mengikut citarasa.

6. Gaulkan kelapa parut dengan sedikit garam. Kemudian, gaulkan kuih yang telah dipotong tadi dengan kelapa parut.

  

kuih tepung kapur   

 

Tips:

✔ Jika adunan masih tidak gelap, tambah sedikit air bancuhan kopi dan sedikit gandum. Jika gula melaka tersebut sudah gelap, memadailah.

✔ Kuih tepung kapur ini bukan kuih kaswi atau kasui. Kelihatan sama tetapi berbeza.

 

Sumber:

1. Achik Ita Jsd Kelantan [1, 2]

2. Wikipedia Kuih Tepung Kapur




Hakcipta iluminasi.com (2017)