Oleh pada 26 Dec 2018 kategori

Kuih tepung gomak atau juga dieja sebagai buah gomok, atau gomok atau turut dikenali sebagai kuih buah beluru adalah sejenis kuih yang terkenal di pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu.

Ia adalah sejenis kuih yang dibuat daripada tepung pulut dan mempunyai bentuk bulat getel dengan inti kelapa manis. Di bahagian luar kuih ini dilumur dengan tepung pulut atau tepung kacang hijau bagi mengelakkannya daripada melekat sesama sendiri.

Kuih tepung gomak ini terkenal di seluruh Malaysia dan dijual di mana-mana sahaja setiap hari. Ia sangat sedap, senang dibuat dan turut dijual dengan harga yang berpatutan.

Nama kuih ini diberikan barangkali bersempena bentuknya yang bulat gemuk bersalut debu tepung gandum putih berintikan kelapa. Namun, ia tidak dapat dipastikan sama ada betul atau tidak.

 

Bagaimanapun, kuih tepung gomak kurang diminati di kalangan golongan muda. Ini disebabkan ia merupakan sejenis kuih yang manis.

Tepung pulut yang digunakan untuk menyalut bahagian luarnya juga melekit pada jari si pemakan dan mudah lerai. Oleh itu, anda perlu berhati-hati sewaktu menjamahnya dan membasuh tangan selepas itu.

Tepung Gomak

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung pulut
  • Sedikit garam
  • 2/3 cawan air

Cara penyediaan:

1. Campurkan tepung pulut dan garam. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga adunan tidak melekat di tangan. Adunan tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembik.

2. Bulatkan adunan ini. Saiznya 2 kali lebih besar dari onde-onde gula melaka.

Bahan-bahan inti kelapa manis:

  • 1 biji kelapa parut / kelapa segera / kelapa kering (guna sedikit air panas untuk lembapkannya)
  • 1 biji gula melaka
  • 3/4 cawan gula pasir
  • 1 sudu besar tepung gandum (dibancuh dengan sedikit air sahaja)
  • Daun pandan (disimpul)

Cara penyediaan:

1. Masak gula melaka, 3/4 cawan gula pasir daun pandan dengan sedikit air. Masak sehingga gula melaka hancur. Kemudian, tapis.

2. Masukkan kelapa parut tadi. Jika tiada kelapa parut, guna kelapa kering yang ditambah sedikit air panas untuk lembapkannya. Masak sebentar atas dapur. Agak-agak sudah kering, masukkan bancuhan tepung gandum tadi. Masak sehingga ia lembap-lembap. Kemudian, sejukkan.

3. Bulat-bulatkan inti tersebut.

4. Salutan luaran tepung gomak (homemade). Jika mahu yang siap, boleh beli tepung kacang hijau di kedai.

5. 1 cawan kacang hijau

✔ Dibersihkan dan digoreng sebentar sahaja. Jangan hangit.

✔ Kisar kacang ini sehingga hancur.

✔ Tapis atau ayak dan boleh dijadikan serbuk tepung untuk tepung gomak. Lebihan tepung boleh disimpan.

Caranya:

1. Masukkan inti kelapa yang dibulatkan ke dalam adunan tepung dan bulatkan.

2. Sementara itu, panaskan air.

3. Rebus adunan ini. Nampak terapung, angkat dan toskan.

4. Salutkan adunan ini dengan tepung kacang hijau yang diayak tadi. Siap.

tepung gomak 2

Sumber:

1. Tahrunnisah Jali [1, 2]

2. Wikipedia Kuih Tepung Gomok




Hakcipta iluminasi.com (2017)