Oleh pada 11 Feb 2019 kategori

Sejak akhir-akhir ini, kuih tepung boko ubi kayu telah menjadi tular di media sosial. Mungkin stok ubi kayu sangat banyak di musim tengkujuh.

Adakah kuih tepung boko ini sama dengan kuih talam ubi kayu. Jawapannya, ia hampir sama. Bahagian bawahnya adalah ubi kayu dan bahagian atasnya adalah santan (kepala santan).

Perbezaannya ialah kuih talam ubi kayu mempunyai tekstur yang firm dan boleh dipotong dengan kemas menggunakan pisau. Manakala, tekstur kuih tepung boko pula adalah sedikit lembut.

Ia dimakan secara diceduk menggunakan sudu atau skop dengan senduk dan dituang kepala santan.

Jika anda mempunyai anak-anak yang masih kecil, ia boleh dibuat dalam bekas kecil supaya senang untuk dimakan terus tanpa perlu kotorkan pinggan mangguk.

Secara tradisionalnya, kuih tepung boko dikukus dalam 'boko' iaitu sebuah istilah bahasa Kelantan klasik yang bererti 'talam/dulang angkat hidang'.

 

Nota: Maklumat di atas adalah merujuk kepada resepi tepung boko ubi kayu kuning.

 

Kuih Tepung Boko Ubi Kayu Gula Merah

 

Lapisan bawah (untuk 10 bekas yang pemilik resepi gunakan) 

 

Bahan-bahan:

  • Ubi parut (1kg)
  • Gula melaka (1 ketul)/gula merah (50g)
  • Daun pandan (1 helai) - dikisar
  • Gula pasir (12 sudu besar)
  • Air

 

Cara-caranya:

1. Masak sehingga larut bahan-bahan di atas kecuali ubi parut.

2. Apabila telah larut, tapis dan ketepikan.

3. Kemudian, masukkan sedikit demi sedikit larutan yang dimasak tadi ke dalam ubi parut. Jangan sehingga adunan tersebut terlalu cair atau terlalu pekat.

4. Masukkan dalam bekas dan kukus selama 10 minit.

 

Lapisan atas (untuk 10 bekas yang pemilik resepi gunakan)

 

Bahan-bahan:

  • Kelapa parut (1 biji) dikisar bersama air (8 cawan)
  • Tepung beras (1 1/4 cawan) - cawan yang sama untuk sukatan air tadi
  • Sedikit garam

 

Cara-caranya:

1. Masak kesemua bahan dengan api sederhana besar sehingga adunan santan tadi meletup-letup dan likat.

2. Tutup api dan tuang ke atas adunan ubi yang dikukus.

kuih boko ubi kayu gula merah 1

 

Nota: Resepi ini merupakan sumber pendapatan pemilik resepi. Terdapat 3 perisa iaitu original, pandan dan gula merah.

 

Sumber:

1. Abd Rahman [12]

2. Teratak Mutiara Kasih (linapg.blogspot.com) [12]




Hakcipta iluminasi.com (2017)