Apam kampung gula merah ini sememangnya gebu dan sangat lembut sehingga keesokan paginya. Mengikut cara pemilik resepi, yis kering dilarutkan terlebih dahulu dalam air suam untuk pastikan ianya aktif atau tidak. Ia juga untuk mengelakkan pembaziran jika yis yang dicampur terus dalam tepung walhal yis itu sebenarnya sudah rosak. 

Terlebih gula merah akan membuatkan kuih menjadi pahit. Bergantung kepada jenis gula yang digunakan. Jika gula merah jenis timbang digunakan, anda dinasihatkan untuk mengurangkan sedikit jumlah penggunaannya dan dilebihkan pula jumlah penggunaan gula pasir.

Contohnya, 1/4 cawan gula merah dan 3/4 cawan lagi gula pasir. Amaun akhir gula adalah 1 cawan. 

Apam Kampung Gula Merah

apam kampung gula merah

Bahan-bahan:

  • Tepung gandum (3 cawan)
  • Gula merah/gula melaka (1/2 cawan)
  • Gula pasir (1/2 cawan)
  • Air (1 1/2 cawan) - untuk buat air gula
  • Air suam (1/2 cawan) - untuk larutkan yis
  • Yis kering (1/2 paket)
  • Gula (1 sudu kecil) - untuk yis
  • Daun pandan (beberapa helai) - disimpul
  • Kelapa parut dan garam - dicampurkan

Cara-cara membuat:

  1. Buat air gula (campuran gula merah, gula pasir, air dan daun pandan). Masak sehingga kesemua gula larut. Tapis dan sejukkan.
  2. Larutkan yis dalam 1/2 cawan air suam. Tambah 1 camca kecil gula juga. Tutup dan tunggu sehingga yis berbuih-buih (bermaksud yis dalam keadaan baik).
  3. Masukkan tepung gandum dalam 1 bekas besar. Campurkan air gula dan yis tadi. Kacau menggunakan hand whisker supaya tepung tidak berketul-ketul. Tidak perlu kisar.
  4. Peram selama 3 jam.
  5. Panaskan kukusan. Tunggu air betul-betul mendidih.
  6. Oles loyang dengan sedikit minyak. Tuang adunan dalam loyang, tunggu adunan naik balik dan kukus selama 25-30 minit dengan api besar.
  7. Kelapa parut dicampur dengan sedikit garam. Kukuskan sebentar supaya kelapa tidak cepat basi dan garam boleh rata.
  8. Kuih sudah masak boleh dipotong. Gaul dengan kelapa tadi. Ia sedap dimakan suam-suam.

apam kampung gula merah 1

Resepi ini diambil dengan kebenaran dari 'group' masakan paling popular di Facebook, Masak Apa Hari Ni.

Kredit resepi: Marlia Lia [12]



Hakcipta iluminasi.com (2017)