Pertandingan adalah sesuatu aktiviti di mana dua pihak atau lebih bersaing untuk mendapatkan tujuan yang sama. Terdapat pelbagai jenis pertandingan yang wujud dalam dunia.
Anda mungkin pernah mendengar beberapa pertandingan unik seperti pertandingan makan cili paling banyak, pertandingan menarik teh atau pertandingan lumba kura-kura. Namun, ada satu pertandingan yang lebih pelik berbanding pertandingan lain.
BESARKAN TEKS A- A+
Di bandaraya Seoul, Korea Selatan, terdapat satu pertandingan pelik di mana pesertanya tidak perlu bekerja keras atau mempunyai kecergasan tinggi. Peserta hanya perlu duduk diam dan tidak melakukan apa-apa selama mungkin. Bagaimana pertandingan seperti ini boleh menjadi popular di salah sebuah bandar paling sibuk dan pesat berkembang di dunia ini?
Walaupun pelik, itulah peraturan utama pertandingan yang popular di tahap kebangsaan ini. Jika anda boleh termenung panjang tanpa bergerak mungkin ada berpeluang untuk memenangi "sukan" pelik ini.
Pertandingan yang diberi nama Space Out ini diadakan di Taman Ichon Hangang di Seoul sekali dalam setahun. Secara puratanya, seramai 70 peserta akan bertanding dalam pertandingan tahunan ini.
Individu yang bertanggungjawab mencipta pertandingan pelik ini adalah seorang artis visual bernama WoopsYang. Dia mencipta pertandingan ini sejak 2014 untuk mengetengahkan isu di mana ramai orang membebankan otak mereka dengan kerja dan bagaimana berehat boleh memberikan manfaat penting.
Menurut WoopsYang, dia sendiri menderita akibat sindrom burnout (terlebih penat) tetapi masih berasa cemas jika duduk diam tanpa melakukan apa-apa. Perasaan bahawa dirinya adalah seorang yang tidak produktif menghantui walaupun berasa terlalu penat.
Dia juga sedar bahawa bukanlah dia seorang sahaja yang berasa begitu. Ramai lagi penduduk bandar Seoul mengalami masalah yang sama. Akhirnya Woopsyang mendapat idea bahawa adalah lebih baik jika semua orang bergabung untuk tidak melakukan apa-apa berbanding seorang diri.
Pemandangan ketika pertandingan diadakan mungkin kelihatan janggal di mana semua para peserta hanya termenung panjang. Pemandangan puluhan orang tidak memegang atau melihat telefon pintar juga mungkin sesuatu yang pelik pada masa kini. Walaupun kelihatan senang dilakukan, ia mungkin tidak semudah yang disangka.
Untuk memenangi pertandingan pelik ini, para peserta perlu termenung selama yang boleh tanpa hilang tumpuan atau tertidur. Peserta tidak dibenarkan bercakap, memeriksa telefon atau waktu.
Bukanlah mudah untuk menyertai pertandingan yang menjadi sangat popular di Seoul ini. Beribu-ribu orang memohon untuk menyertainya tetapi hanya 70 orang sahaja yang akan mendapat tempat untuk bertanding di hadapan para juri.
Pertandingan pelik ini berlangsung selama 90 minit. Kadar denyutan jantung para peserta akan diperiksa setiap 15 minit bagi memastikan semua orang berada dalam keadaan tenang. Peserta yang mempunyai kadar denyutan jantung paling stabil sehingga masa tamat akan dikira sebagai pemenang.
Sekiranya peserta perlu pergi ke tandas atau berasa tidak selesa, mereka perlu mengangkat kad ke arah juri untuk berhenti seketika. Walaupun begitu, majoriti peserta dilihat tidak mahu menggunakan kad mereka ketika pertandingan sedang berlangsung.
Pertandingan Space Out ini bukan sahaja menerima banyak permohonan peserta malah ia juga menjadi tumpuan para penonton seperti sukan terkenal lain. Penonton hadir semata-mata untuk melihat peserta termenung kosong tanpa berbuat apa-apa.
Pencipta pertandingan ini, WoopsYang, percaya bahawa Space Out ini lebih daripada sekadar pertandingan. Dia menganggap bahawa Space Out ini merupakan satu jenis karya seni persembahan.
WoopsYang mengajak para peserta supaya hadir dengan pakaian yang melambangkan pekerjaan mereka. Sebagai contoh, ada peserta yang memakai sut kerja mereka bagi mencerminkan kesibukan seharian bekerja di bandar dan bagaimana mereka sangat memerlukan rehat.
Pertandingan Space Out ini dilakukan pada waktu siang supaya dapat membandingkan kesibukan sebuah bandar maju dengan taman yang dipenuhi orang yang tidak melakukan apa-apa langsung.
Korea Selatan merupakan salah satu bandar paling sibuk dengan penduduk yang paling tertekan di dunia. Perkara inilah yang menjadikan pertandingan Space Out begitu penting kepada penduduk di bandar ini.
Banyak kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa otak manusia sebenarnya memerlukan rehat dan masa yang cukup untuk pulih atau mengurangkan tekanan kerja dan kehidupan sosial kita.
Rehat yang cukup juga dapat membantu otak memproses maklumat yang diterima pada hari itu selain mencipta ingatan. Ia amat bertepatan dengan tujuan utama pertandingan Space Out ini diadakan. Selain Korea Selatan, sukan Space Out yang popular itu turut diadakan di beberapa tempat lain seperti Hong Kong, Taiwan dan China.
Rujukan:
1. Pertandingan tanpa melakukan apa-apa