"Aku tensionlah, aku stress, aku benganglah!" Ayat itu kerap sekali kedengaran disebutkan oleh individu-individu di sekeliling kita. Rungutan berkenaan hidup yang dianggap kurang memuaskan kerap menjadi topik perbincangan individu yang kurang selesa dengan hidupnya.

Persoalannya - adakah hidup kita di Malaysia ini terlalu teruk, sehinggakan ramai yang senantiasa stress? Bagaimana pula dengan masyarakat lain di luar sana? Berikut adalah sedikit perkongsian berkenaan kajian tahap stress di beberapa negara di seluruh dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kajian tahap 'tension' masyarakat

rakyat stress sampai gila

Mungkin anda salah seorang yang percaya Malaysia ini teruk. Semua tentang Malaysia buruk dan memalukan. Anda juga mengidamkan agar ada peluang terbuka kepada anda, agar anda dapat berhijrah ke negara lain yang menawarkan kehidupan lebih bahagia tanpa beban. Mengikut kajian Bloomberg melalui laporan yang dibentangkan melalui kajian yang dijalankan di kesemua negara, berjaya menyenaraikan tahap stress yang dihadapi oleh penduduk negara-negara tersebut.

Dengan menggunakan 7 pembolehubah sebagai ukuran iaitu kadar kes jenayah bunuh, kos sara hidup, ketidak seimbangan pendapatan berdasarkan indeks GINI, kadar korupsi, kadar pengangguran, tahap pencemaran dan jangka hayat penduduk, senarai itu berjaya dilaporkan.

Walau demikian, Bloomberg menetapkan hanya negara yang melaporkan ketujuh-tujuh pembolehubah itu akan disenaraikan menyebabkan hanya 73 negara tersenarai. Malangnya, ini membuatkan Malaysia tidak menjadi antara negara yang dilaporkan.

Negara mana penduduknya paling marah-marah?

individu stress

Berdasarkan informasi yang ada, 5 negara disenaraikan sebagai 5 negara paling stress di dunia dengan Nigeria dinobatkan selaku negara nombor satu di antara kesemua negara, berikutan tahap pendapatan penduduk yang lemah, kadar pengangguran yang tinggi, jangka hayat pendek dan tahap pencemaran yang buruk.

Afrika Selatan menduduki tangga kedua walaupun mempunyai tahap pendapatan lebih tinggi, kerana Afrika Selatan mencatatkan tahap jenayah bunuh yang tinggi serta mempunyai ketidak seimbangan pendapatan penduduk yang amat besar.

El Salvador yang merupakan antara negara paling berbahaya di dunia berikutan kadar jenayah bunuh tertinggi dalam senarai, menduduki tangga ketiga, disusuli Mongolia yang menghadapi masalah pencemaran udara paling teruk dalam kajian dan akhir sekali Guatemala.

Tempat ke enam hingga sepuluh diisi negara Colombia, Pakistan, Jamaica, Macedonia dan Bolivia.

Negara paling rileks dan menenangkan

kucing yang tenang

Dalam membandingkan persamaan di antara kelima-lima negara yang dilaporkan paling baik untuk didiami serta kurang stress pada penduduknya, terdapat beberapa persamaan yang dapat dilihat.

Kesemua lima negara terbaik mempunyai tahap jenayah yang rendah, pendapatan yang tinggi, jurang pendapatan penduduk yang seimbang, kadar pengangguran dan pencemaran yang rendah seterusnya membawa kepada jangka hayat yang lebih panjang.

Norway diletakkan sebagai negara paling baik di antara kesemua negara kajian, dengan kadar jenayah antara yang terendah dalam senarai. Tempat kedua pula dimiliki negara Luxembourg yang jarang kita perkatakan sebagai salah satu destinasi popular. Switzerland menduduki tempat ketiga, diekori Sweden dan akhir sekali Australia yang kerap kali disebut rakyat kita, sebagai salah satu destinasi impian masing-masing. Jadi, apa pula pandangan anda? Adakah anda antara individu yang mengidamkan dapat hidup dengan tenang seperti di negara Norway atau anda merasakan Malaysia sebenarnya 'not bad' juga? Adakah anda salah seorang yang memerlukan stress untuk membuatkan anda bergerak?

Berdasarkan andaian penulis, seandainya Malaysia layak disenaraikan dalam kajian, berkemungkinan besar negara kita akan berada di tengah-tengah senarai tersebut. Walaupun begitu, penulis tetap berpendapat berpeganglah pada pepatah - hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Rujukan

Bloomberg Best and Worst




Hakcipta iluminasi.com (2017)