Mungkin hanya segelintir sahaja daripada kita pernah mengetahui mengenai kewujudan negara Nauru. Ianya merupakan antara negara terkecil di dunia dengan keluasan hanyalah 21 km persegi. Walau bagaimanapun, mungkin tidak ramai yang tahu kisah jatuh bangun negara ini sejak dari dahulu lagi.

Tahukah anda, negara kecil ini suatu ketika dahulu pernah dilabelkan sebagai negara paling kaya di dunia (berdasarkan pendapatan perkapita GDP)?

Pusat perlombongan fosfat dan bauksit

Populasi di Nauru pada masa kini adalah sekitar 9,600 orang. Kawasan lautnya dan pesisir pantai yang cantik menjadikannya satu destinasi menarik untuk percutian pada satu ketika dahulu. Sekeliling pulau ini yang dipenuhi dengan terumbu karang yang cantik sememangnya syurga bagi mereka yang gemarkan aktiviti menyelam.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sekitar tahun 1980, negara Nauru mencapai zaman kemuncak kegemilangan apabila aktiviti perlombongan mula mengambil alih aktiviti ekonomi tradisional di pulau kecil ini. Menurut kajian, dianggarkan 2 per 3 daripada keseluruhan kawasan kepulauan ini mengandungi bahan galian yang sangat bernilai.

Antara bahan galian yang boleh diperolehi disini adalah fosfat dan juga bauksit, iaitu sejenis bijih aluminium. Di Malaysia, perlombongan bauksit boleh dilihat di sekitar kawasan Kuantan. Perlombongan secara rakus tanpa pengawasan di Kuantan telah menyebabkan pencemaran alam sekitar yang serius terutamanya di tempat pengumpulan bauksit di pelabuhan Kuantan sehingga ianya digelar "Planet Marikh".

Di Nauru, sumber galian bauksit yang banyak telah menyebabkan banyak syarikat dari luar datang dan melakukan aktiviti perlombongan di kawasan tersebut. Gambar di bawah adalah gambar sebuah kereta mewah Rolls Royce berlatarbelakangkan kawasan bekas perlombongan fosfat yang dipaparkan dalam majalah National Geographic keluaran September 1976.

bekas kawasan perlombongan nauru

Sepanjang tahun 1980-an, Nauru telah dinamakan oleh Guinness Book of World Records sebagai negara terkaya di dunia (per kapita GDP). Pada tahun 1995, akhbar New York Times telah menerbitkan sebuah artikel yang mengatakan penduduk Nauru adalah yang terkaya di dunia kerana perlombongan fosfat telah memberikan pendapatan puluhan juta dollar setahun.

Kebanyakan fosfat yang dilombong daripada Nauru kemudiannya akan dieksport ke Australia. Untuk info, Australia mempunyai kedaulatan ke atas Nauru daripada tahun 1947 hinggalah 1966.

Kerana kerakusan aktiviti perlombongan pada ketika itu, maka Nauru pada ketika itu boleh dikatakan kawasan paling tercemar di atas muka bumi. Majoriti penduduk Nauru pada waktu tersebut juga sudah menjangkakan bahawa pada masa akan datang mereka terpaksa meninggalkan pulau tersebut akibat kerakusan aktiviti perlombongan yang memusnahkan alam sekitar.

Kerana kawasan kepulauan ini tidaklah begitu besar, maka setelah beberapa ketika maka sumber galian daripada aktiviti perlombongan ini semakin berkurang sebelum diberhentikan secara terus. Akibatnya, penduduk Nauru yang menikmati kekayaan hasil bumi daripada aktiviti perlombongan ini kembali miskin dan terpaksa mengharapkan bantuan makanan daripada pihak luar.

Kini, Nauru bergantung sepenuhnya kepada negara Australia. Malah, pihak Australia juga bersetuju untuk membayar sejumlah pampasan sebagai ganti rugi kerakusan mereka melalui aktiviti perlombongan di Nauru satu ketika dahulu sehingga menyebabkan kemusnahan alam sekitar yang sangat dahsyat.

Nauru pada masa kini

sistem pendidikan di nauru

Setelah beberapa ketika, aktiviti perlombongan dimulakan semula di Nauru pada tahun 2005 walaupun tidak serancak dahulu. Kajian menunjukkan bahawa Nauru masih mempunyai rizab bahan galian yang dianggarkan boleh dilombong untuk tempoh 30 tahun lagi. Nauru juga kini menjadi lokasi penempatan pelarian yang meminta perlindungan daripada kerajaan Australia.

Rakyat Nauru kini hidup dalam kemiskinan. Kadar pengangguran juga sangat tinggi iaitu 90%. Kejatuhan sistem pendidikannya juga seiring dengan kejatuhan ekonominya. Malah, majoriti penduduknya juga menghadapi masalah kesihatan yang serius antaranya diabetes, obesiti, sakit jantung dan depresi.

Sementara itu, kadar jangka hayat bagi seseeorang penduduk juga sangat rendah, iaitu kira-kira 60 tahun. Hal ini berkait rapat dengan kerakusan aktiviti perlombongan satu ketika dahulu yang telah menyebabkan pelbagai pencemaran yang memberikan kesan buruk kepada kesihatan.

Kemusnahan dan pencemaran tanah juga menyebabkan penduduknya tidak lagi boleh bercucuk tanam seperti sebelum aktiviti perlombongan bermula. Akibatnya, banyak penduduk terpaksa bergantung makanan yang sudah diproses berbandinga sayur-sayuran dan buah-buahan yang segar.

Kredit:

  1. ABC News
  2. The Guardian
  3. The Atlantic



Hakcipta iluminasi.com (2017)