Usia karier pemain bola sepak selalunya terlalu pendek, dengan umur lebih 30 tahun sudah biasa dikatakan terlalu tua untuk mengekalkan prestasi dan meneruskan permainan.
Bagaimanapun, ada di antara pemain-pemain bola sepak yang berjaya mengekalkan momentum serta dianugerahkan karier professional panjang yang membuktikan usia bukan penghalang untuk seseorang kekal dalam kondisi terbaik.
BESARKAN TEKS A- A+
Hari ini kami kongsikan 5 orang pemain bola sepak tertua yang masih lagi aktif bermain dalam pasukan atau kelab bola sepak mereka, menjadi contoh kepada kita kepentingan menjaga tubuh badan dan mengawal pemakanan mampu meremajakan tubuh kita agar sihat senantiasa.
5. Magno Alves (42 tahun, 13 Januari 1976)
Masih bermain dengan kelab Gremio Novorizontino di Brazil, nama Magno Alves mungkin tidak sebesar pemain-pemain Brazil lain sezamannya tetapi kemampuannya untuk terus bermain pada usia 42 tahun tidak boleh disangkal.
Zaman kemuncaknya adalah ketika bermain untuk pasukan Fluminense. Magno berjaya menjaringkan 111 gol dalam 265 perlawanan sehingga dipanggil mewakili pasukan kebangsaan Brazil sebanyak 3 kali pada tahun 2001. Pernah bermain di Korea, Jepun dan Arab Saudi sebelum kembali ke Brazil, Magno ditawarkan kontrak dengan kelabnya sekarang bagi musim 2018. (rujukan)
4. Jamie Cureton (42 tahun, 28 Ogos 1975)
Jamie memulakan karier panjangnya bersama kelab Norwich City pada tahun 1994 sebelum bermain dengan pelbagai kelab liga bawahan di England sehingga kini. Beliau juga pernah mencuba nasib di Korea menyertai kelab Busan I'Cons pada musim 2003-2004 namun kembali ke England selepas satu musim.
Pernah menyertai 900 perlawanan dalam 7 divisyen bola sepak England serta telah menjaringkan 300 gol, kini Jamie membahagikan masanya kepada dua tugas - sebagai penyerang kepada kelab Bishop's Strotford dan jurulatih separuh masa bersama kelab gergasi England, Arsenal semua pada usia 42 tahun. (rujukan)
3. Oscar Perez (45 tahun, 1 Februari 1973)
Oscar Perez memulakan karier bola sepak berliau bersama pasukan Cruz Azul, antara kelab terbesar yang bermain dalam liga bola sepak Mexico, Liga MX. Walaupun bermain sebagai penjaga gawang, Oscar pernah menjaringkan dua gol ketika mewakili Cruz Azul dan juga pasukan kebangsaan Mexico bawah 23 tahun.
Menjadi penjaga gol utama Cruz Azul selama 15 tahun, beliau kemudian berhijrah kepada pasukan lain sebelum berjaya menjadi pemain tertua memenangi Liga MX dengan kelab Pachuca pada tahun 2016, sebelum menjaringkan gol ketiga beliau menentang kelab lamanya Cruz Azul pada tahun 2017. Ini menjadikan beliau pemain tertua Liga MX pernah menjaringkan gol.
Dalam karier antarabangsanya, Oscar terpilih mewakili Mexico dalam tempoh 13 tahun, memiliki 56 caps antarabangsa serta pernah bermain dalam kejohanan Piala Dunia 2002 dan 2010. Ketika ini, Oscar masih meneruskan karier bersama Pachuca dan besar kemungkinan ini adalah musim terakhir beliau. (rujukan)
2. Essam el-Hadary (45 tahun, 15 Januari 1973)
Lahir pada tahun 1973, Essam diiktiraf oleh FIFA sebagai penjaga gol paling tua di dunia ketika ini. Masih lagi bermain dengan kelab Al-Taawoun dalam liga professional Saudi, Essam diiktiraf antara penjaga gol terbaik Afrika sepanjang kariernya.
Ketika ini Essam masih lagi memegang jersi nombor 1 pasukannya dan dia baru saja memberitahu hasratnya untuk terus menyarung jersi pasukan kebangsaan Mesir dalam kejohanan Piala Dunia 2018 pada usia 44 tahun. Mesir berjaya melayakkan diri selepas menunggu hampir 3 dekad dan Essam pula adalah kapten pasukan bola sepak kebangsaan Mesir ketika ini. (rujukan)
1. Kazuyoshi Miura (51 tahun, 26 Februari 1967)
Digelar 'King Kazu' oleh peminatnya, Kazuyoshi memulakan kariernya pada tahun 1986. Terpilih untuk mewakili pasukan kebangsaan Jepun serta dianugerahkan pemain terbaik Asia pada tahun 1993, Kazuyoshi masih tetap bermain sehingga kini dan baru saja menyambung kontraknya pada tahun 2018 dengan Yokohama FC.
Menjadi legenda bola sepak Jepun selepas membantu Jepun layak ke Piala Dunia 1998 dengan jaringan 14 gol. Kazuyoshi mengakhiri karier bola kebangsaan dengan 55 gol daripada 89 perlawanan.
Sehingga kini Kazuyoshi masih bermain sebagai pemain penyerang. Ini membolehkan beliau memecahkan rekod dunia berusia 65 tahun yang dipegang oleh Stanley Matthews sebelum ini, sebagai pemain paling tua menjaringkan gol dalam perlawanan kompetitif. (rujukan)