Sekiranya anda antara jutaan peminat bola sepak, pasti anda sedar wujudnya tema-tema tertentu dalam nama pemain-pemain bola sepak mengikut negara.

Sehinggakan ada kalanya, nama semua pemain yang mewakili sesebuah pasukan kelihatan sama sahaja sehingga cukup sukar untuk kita mengenali dan membezakan nama-nama pemain.

Berikut adalah beberapa perkara menarik tentang nama pemain yang kami sedari kerap berlaku dan sedikit penjelasan ringkas mengapa fenomena itu berlaku.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Mengapa pemain Iceland namanya berakhir dengan '-son'?

sigurdsson nama iceland son

Pasti anda menyedari perkara ini sekiranya anda peminat bola sepak tegar. Dengan nama seperti Gunnarsson, Sigurdsson, Finnbogason, Gudmundsson dan majoriti nama yang berakhir dengan 'son', mengapa warga Iceland mempunyai nama yang sedemikian rupa?

Iceland mempunyai sistem nama yang unik dan berbeza dengan sistem nama di negara-negara Eropah yang lain. Dengan menggunakan sistem sama yang diamalkan bergelar patronymic/matronymic, warga Iceland berbeza kerana tidak mengamalkan penggunaan 'surname' atau nama keluarga yang diwarisi seperti majoriti masyarakat barat lain.

Sebagai contoh, sekiranya nama lelaki Iceland adalah Gylfi Sigurdsson -  'Sigurdsson' itu bermaksud 'Sigurds Son' atau 'anak lelaki Sigurds' dengan Gylfi adalah namanya dan Sigurds adalah nama sebenar ayahnya. Bagi perempuan pula sebagai contoh, jika namanya Anna, nama penuhnya pula akan menggunakan gelaran 'dottir' dan menjadi Anna Sigurdsdottir sekiranya ayahnya adalah Sigurds.

Sekiranya Gylfi mempunyai dua orang anak yang bernama Jon dan Joanna, Jon akan mempunyai nama penuh Jon Gylfisson sementara Joanna pula akan diberikan nama Joanna Gylfisdottir.

2. Kenapakah pemain Serbia namanya berakhir dengan 'ic' atau 'vic'?

nama pemain serbia berakhir dengan dic atau ic aleksandar mitrovic

Budaya ini bukan sekadar diamalkan oleh masyarakat Serbia, malahan turut sama dikongsikan oleh masyarakat Croatia dan Bosnia. Disebutkan dengan bunyi 'ich', 'itch,' 'vic' atau 'vitch' tradisi nama keluarga Serbia ini dimulakan oleh masyarakat Slavic sejak awal abad ke 20 bagi menggambarkan hubungan kekeluargaan, sama seperti masyarakat Iceland.

Dengan anggaran 2/3 masyarakat Serbia mempunyai nama keluarga yang berakhir dengan 'ic' atau 'vic' tidak hairanlah memang wujud ramai pemain-pemain bola sepak yang mempunyai nama berbunyi serupa.

Gelaran 'ic' atau 'vic' yang digunakan berbeza caranya dengan Iceland kerana masyarakat Serbia mengambil nama akhir sebagai nama keluarga yang akan diwarisi mengikut generasi. Walaupun begitu, maksudnya sama - membawa makna 'anak kepada.' Sekiranya nama keluarganya Mitrovic, ini bernama dia adalah anak kepada Mitrov yang sudah mewarisi nama tersebut selama beberapa generasi.

3. Mengapakah pemain Denmark namanya berakhir dengan '-sen'?

nama pemain denmark berakhir dengan sen

Sistem nama yang digunakan di Denmark hampir serupa dengan sistem yang diamalkan Serbia cuma di Denmark, gelarannya pula ditukar kepada kepada 'sen' jadi kita boleh nampak banyak nama seperti Rasmussen, Johanssen, Jensen, Christensen atau macam-macam lagi jenis nama. Semua ini diwarisi sebagai nama keluarga.

Maknanya juga serupa dengan Iceland dan Serbia - sebagai contoh 'Rasmussen' bermaksud 'Son of Rasmus' atau 'anak kepada Rasmus.' Sekiranya warga Denmark tinggal di negara luar, sebagai contoh di Amerika Syarikat misalnya, kebiasaannya ejaan kepada nama mereka akan ditukar kepada 'son' jadi Rasmussen akan bertukar menjadi Rassmusson.

Denmark telah pun mewajibkan semua keluarga mengambil satu nama keluarga untuk diwarisi sejak tahun 1828. Semua ibu bapa di Denmark pula wajib memilih nama anak mereka daripada 18 ribu nama perempuan dan 15 ribu nama lelaki yang telah disahkan oleh kerajaan Denmark.

4. Mengapa ramai pemain Korea Selatan bernama Kim atau Park?

park nama pemain korea selatan park lee

Di Korea Selatan pula, sistem nama yang mereka gunakan sangat-sangat bergantung dengan pemerintah mereka sebelum ini dengan anggaran 1/5 daripada keseluruhan penduduk Korea mempunyai nama keluarga Kim. Dianggarkan juga nama Kim, Lee dan Park pula mewakili lebih separuh populasi Korea Selatan. Sekiranya kita lihat senarai nama pemain Korea Selatan kita dapat lihat punyalah ramai Kim dan Park mewakili skuad kebangsaan mereka.

Bagaimanapun, tradisi nama keluarga ini dimulakan oleh pemerintah Korea satu masa dulu. Raja Yuri, pemerintah Korea pada tahun 33CE mula memberikan nama keluarga bagi memudahkan dia mengenali golongan keluarga yang baik dengan kerabat di-raja. Kemudiannya pada tahun 1055, satu peperiksaan awam diadakan bagi menentukan keluarga mana yang layak menggunakan nama keluarga dan nama keluarga ini mula didaftarkan.

Pada abad ke 17, nama Kim, Lee dan Park mula menjadi popular pada mereka yang layak menggunakan nama keluarga diperingkat orang-orang kebanyakan sehingga nama tersebut mula menjadi pilihan majoriti warga Korea. Undang-undang Korea Selatan dilonggarkan lagi pada 1894 apabila secara rasminya semua warga Korea bebas untuk memilih sendiri nama keluarga, namun ramai yang memilih untuk kekal menggunakan nama Kim, Lee dan Park dengan nama Choi dan Jung melengkapkan lima nama teratas paling popular di Korea.

5. Mengapa nama pemain Poland berakhir dengan 'ski'?

lewandowski nama pemain poland ski

Sekiranya anda semak senarai pemain-pemain dari Poland, majoritinya mempunyai nama yang berakhir dengan 'ski' di hujung nama keluarganya, seperti Robert Lewandowski, Lukasz Fabianski atau Piotr Zielinski. Pada mulanya, nama yang mempunyai hujung 'ski' ini dikhaskan untuk golongan bangsawan di bahagian timur Eropah semasa zaman pertengahan dahulu kala.

Gelaran itu pada dahulunya digunakan dengan menggabungkan nama kota, estet atau bandar asal bangsawan itu, sebagai contoh Jan of Tarnow, seorang bangsawan zaman dahulu dikenali dengan nama Jan Tarnowski, kerana dia adalah pemilik warisan estet Tarnow di Poland.

Oleh kerana tidak ada halangan untuk menggunakan nama seperti yang berlaku di Korea Selatan, ramai orang Poland mula menggunakan hujung 'ski' pada nama keluarga mereka sehingga perkara itu menjadi lazim.

Ini menyebabkan berlakunya kekeliruan tentang cara mengenalpasti golongan bangsawan sebenar di kalangan masyarakat Poland. Ekoran daripada itu, sekiranya seseorang itu mempunyai nama keluarga yang berakhir dengan 'ski' - itu tidak lagi semestinya membuktikan dia berketurunan bangsawan seperti zaman dahulu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)