Baru-baru ini, dunia digemparkan dengan berita mengenai kumpulan Taliban yang melakukan rampasan kuasa di Afghanistan. Kejadian itu berlaku kira-kira dua minggu sebelum Amerika Syarikat melengkapkan pengunduran tenteranya setelah dua dekad berperang di negara itu.

Kumpulan pemberontak itu menyerang seluruh negara dan merampas semula semua bandar utama hanya dalam beberapa hari. Pihak tentera Afghanistan yang dilatih dan dilengkapi senjata Amerika pula menyerah kalah dan tidak menentang rampasan kuasa itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kebanyakan rakyat Afghanistan kini berada dalam keadaan cemas dengan keadaan terkini negara mereka. Ketika Taliban memerintah negara itu pada 1996-2001, Afghanistan terjerumus dalam kancah perang saudara dan perebutan kuasa antara panglima perang.

Malah, kaum wanita juga tidak dibenarkan keluar rumah atau menghadiri persekolahan. Kali ini, Taliban berjanji akan melakukan perubahan dan memberikan kelonggaran yang sepatutnya tetapi rakyat masih ragu-ragu dengan janji itu. Sebahagian memilih untuk berhijrah keluar daripada negara itu. 

Masa hadapan yang tidak pasti

Bagi Pasukan Robotik Kebangsaan Afghanistan yang kesemuanya dianggotai oleh wanita, mereka juga berhadapan dengan nasib yang tidak menentu di bawah pemerintahan baru Taliban.

Pasukan yang dinamakan sebagai "Afghan Dreamers" ini khuatir mereka tidak lagi dapat meneruskan minat dan terpaksa melupakan segala pencapaian yang diperolehi.

afghan dreamers 2017

Pada tahun 2017, Afghan Dreamers pernah menjadi tajuk berita antarabangsa apabila permohonan visa mereka ditolak Amerika Syarikat untuk menghadiri pertandingan FIRST Global Challenge di Washington.

Namun, ciptaan mereka dibenarkan bertanding dan pasukan itu hanya mampu melihat melalui Skype sahaja. Apa yang menakjubkan, ciptaan mereka berjaya memenangi tempat kedua bagi kategori Pencapaian Berani.

Selepas menjadi tular, bekas presiden Donald Trump telah campur tangan dan pasukan Afghan Dreamers berjaya mendapatkan visa untuk menerima hadiah di Amerika Syarikat.

Selepas kejayaan itu, mereka menghasilkan pelbagai lagi ciptaan unik termasuklah alat ventilator kos rendah yang boleh dioperasi menggunakan tangan untuk kegunaan pesakit COVID-19. Mereka hanya menggunakan bahagian dan perkakasan terbuang daripada kereta Toyota Corolla lama.

Merayu untuk berhijrah ke Kanada

Wanita-wanita muda ini mempunyai masa hadapan yang cerah tetapi setelah rampasan kuasa oleh Taliban, mereka kini dalam "ketakutan". Mereka kini merayu kepada kerajaan Kanada dan perdana menterinya, Justin Trudeau, untuk membenarkan mereka berhijrah ke negara itu.  

ventilator afghan dreamers

Ventilator ciptaan Afghan Dreamers

Pasukan Afghan Dreamers pernah bertemu dengan Trudeau ketika mereka memenangi satu lagi pertandingan robotik pada tahun 2018. Mereka percaya bahawa Kanada merupakan tempat yang sesuai untuk mengejar cita-cita mereka.

Pasukan itu hanya mahu meneruskan pelajaran di tempat yang selamat. Walaupun kebanyakan ahli pasukan itu lahir setelah Taliban kalah kepada tentera Amerika pada 2001, mereka tahu apakah nasib yang bakal menimpa gadis remaja seperti mereka.

Menurut peguam hak asasi manusia, Kimberley Motley, sejak seminggu yang lalu banyak kejadian di mana tentera Taliban membawa lari gadis dari rumah keluarga mereka untuk dijadikan sebagai pengantin.

Motley telah bekerja selama 13 tahun di Afghanistan dan dia melihat sendiri bagaimana kehidupan belia di negara bergolak itu. Keadaan itu mungkin bertambah sulit di bawah pemerintahan Taliban.

Kini dalam persembunyian

Menurut Motley lagi, pemerintahan Joe Biden perlu sedar apakah implikasi daripada pengunduran tentera Amerika ke atas golongan gadis dan wanita di Afghanistan.

Motley yang mewakili Afghan Dreamers sejak tahun 2017 itu masih berhubung rapat dengan mereka sehingga kini. Dia tidak mahu mendedahkan di mana ahli pasukan Afghan Dreamers dan keluarga mereka berada atas faktor keselamatan. 

pasukan robotik afghanistan

Terdapat laporan bahawa beberapa orang ahli Afghan Dreamers telah berjaya melarikan diri dengan menaiki pesawat ke Qatar tetapi sebahagian besar mereka masih berada di Afghanistan. 

Pasukan Afghan Dreamers mula ditubuhkan pada tahun 2017 oleh Roya Mahboob, seorang pengusaha teknologi Afghanistan yang mengetuai kumpulan Digital Citizen Fund. Kumpulan itu juga mengadakan kelas STEM (Sians, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) untuk golongan pelajar wanita.

Afghan Dreamers yang pada mulanya dianggotai oleh beberapa orang pelajar sahaja kini mempunyai lebih daripada 20 orang ahli.

Pada Forum Kebebasan Oslo yang berlangsung pada 2018, ketua pasukan Afghan Dreamers iaitu Fatemah Qaderyan pernah memberikan ucapan yang dianggap ironik pada hari ini.

"Segala sesuatu pada kanak-kanak itu bermula dengan imaginasi. Selepas beberapa ketika, imaginasi itu akan bertukar menjadi impian. Setelah mempunyai impian, mereka ingin mencapainya menjadi kenyataan.Namun, kanak-kanak yang tinggal di zon konflik sentiasa diberitahu bahawa impian mereka hanya akan tinggal impian."

Fatemah turut menambah, mereka mengejar impian kerana mahu membina masa hadapan yang lebih baik untuk negara. Namun, keadaan Afghanistan kini masih lagi samar buat pasukan robotik itu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)