Sakit jiwa merupakan salah satu penyakit yang sangat misteri. Apa yang lebih menakutkan, majoriti individu yang mengidap penyakit seperti kemurungan atau depresi, tidak pun menyedari mereka mempunyainya.

Tekanan hidup, keperluan pekerjaan serta tekanan menguruskan keluarga kerap kali menjadi punca utama mengapa ramai di kalangan kita mengalami masalah kemurungan. Selain faktor peribadi, suasana serta budaya hidup juga menjadi penentu tahap kesihatan mental seseorang. Apa yang menakutkan, kajian di seluruh dunia mendapati berlaku kenaikan lebih 18% individu yang mempunyai masalah kemurungan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Persoalannya, di negara manakah nisbah penduduk paling ramai mengalami depresi atau kemurungan ditemui? Berikut adalah lima negara paling tinggi kadar kemurungan dan sakit mental di kalangan penduduk mereka.

5. Indonesia

orang china hidup dalam masalah mental

Dengan jumlah penduduk seramai lebih 260 juta orang, ketika ini dianggarkan 3.7% daripada jumlah keseluruhan penduduk Indonesia atau 9 juta orang, mempunyai masalah depresi. Sementara itu, 3.3% daripada penduduk negara tersebut mempunyai masalah kebimbangan melampau atau 8.1 juta orang.

Satu perkara yang menjadi masalah kepada negara tersebut adalah jumlah petugas perubatan yang sangat kecil jumlahnya bagi menangani masalah kemurungan dan kebimbangan. Dengan hanya 773 orang pakar sakit jiwa dan 451 orang pakar psikologi, amat sukar untuk lebih 16 juta orang mendapatkan rawatan yang sempurna. (rujukan)

4. Brazil

brazil negara kemurungan

Negara yang terkenal dengan bola sepak serta kehidupan yang santai ini menyembunyikan realiti sebenar tahap kesihatan mental masyarakat mereka. Dianggarkan lebih 11 juta penduduk Brazil atau 5.8% mengalami masalah kemurungan sementara 19 juta lagi mengalami kebimbangan melampau.

Penyelidik berpendapat faktor sosial dan ekonomi yang tidak seimbang menyebabkan situasi ini berlaku. Kes-kes keganasan serta kemiskinan menjadi punca utama mengapa terlalu ramai rakyat Brazil mengalami masalah mental setiap hari. (rujukan)

3. Amerika Syarikat

rakyat amerika bunuh diri

Amerika Syarikat menduduki tempat ketiga, mencatatkan lebih 17.5 juta orang pengidap masalah depresi dan 18.7 juta orang mengalami masalah kebimbangan. Statistik ini mewakili 5.9% dam 6.3% jumlah keseluruhan populasi negara tersebut.

Satu-satunya negara maju yang terletak dalam kedudukan lima teratas turut tidak membantu, kerana dilaporkan hanya 37% daripada jumlah keseluruhan pesakit berjaya mendapatkan rawatan. Sama seperti Indonesia, Amerika Syarikat turut sama mengalami kekurangan tenaga pakar yang sangat ekstrim - khasnya di kawasan-kawasan pedalaman dengan banyak hospital akhirnya terpaksa menghentikan operasi, kerana ketiadaan pakar perubatan. (rujukan)

2. China

negara yang rakyatnya sangat muram durja 716

Kami sudah melaporkan banyak perkara tentang negara Komunis ini dalam laman kami. Budaya negara China yang dibentuk untuk lebih mementingkan kepentingan ekonomi tanpa mengambil kira tahap kesihatan mental orang ramai, seharusnya diberikan perhatian yang lebih wajar oleh kerajaan negara tersebut.

Dengan jumlah 55 juta orang pengidap kemurungan dan 40 juta orang pengidap kebimbangan melampau, China menjadi negara kedua paling ramai warganegara mempunyai masalah mental. Kerajaan China melaporkan buat kali pertama hasil kaji selidik berkenaan tahap mental masyarakat mereka, mendapati wujud kenaikan ketara tahap pesakit dalam tempoh 30 tahun.

1. India

orang india hadap kemiskinan

Berdepan dengan ketidak seimbangan ekonomi, jurang pendapatan yang besar, masalah fasiliti dan infrastruktur serta isu politik yang seringkali dikaitkan dengan korupsi, negara India menduduki kedudukan pertama dalam jumlah individu yang mengalami masalah penyakit mental berbanding kesemua negara di dunia.

Dengan jumlah 56.7 juta orang atau 4.5% mengalami kemurungan dan 38.5 juta orang atau 3.0% mengalami kebimbangan melampau, statistik yang serupa ditemui tak kira di kawasan bandar atau luar bandar. Negara ini juga berdepan dengan masalah kekurangan tenaga pakar, hanya mempunyai 1 pakar perubatan bagi 100,000 orang yang menyebabkan ramai rakyat mereka memilih untuk tidak mendapatkan bantuan.

Apa yang lebih menakutkan, dengan anggaran 322 juta orang jumlah pesakit yang mempunyai masalah mental di seluruh dunia - separuh daripadanya berada di Asia, dengan India dan China menjadi penyumbang utama.

Di mana Malaysia? Kita pun sebenarnya tak seharusnya berbangga kerana mungkin jumlah pesakit kita kecil, tetapi peratusannya agak tinggi. Negara kita mempunyai hampir 1.1 juta pengidap depresi dan 1.4 juta orang pengidap kebimbangan. Ini bersamaan dengan 3.8% dan 4.9% daripada jumlah keseluruhan penduduk negara kita.

Rujukan

WHO (fail PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)