istana zanzibar dibom

Perang boleh berlaku dalam tempoh waktu yang panjang, sehinggakan ada yang berlangsung selama beratus tahun lamanya. Di satu spektrum lain pula perang yang berlaku di antara pihak Britain dengan wilayah Zanzibar yang terletak di Afrika timur, mencatat sejarah sebagai perang paling cepat tamat dalam sejarah manusia.

Kisah ini bermula selepas termeterai satu perjanjian di antara British dengan pihak Jerman pada tahun 1890, di mana Britain bersetuju untuk menyerahkan kawasan Heligoland di Laut Utara kepada Jerman sementara Jerman pula bersetuju menyerahkan Zanzibar kepada Britain, meluaskan pengaruh Britain di kawasan Afrika timur.

Selepas persetujuan dicapai, British pun mula masuk campur dalam urusan pentadbiran tempatan bagu meluaskan pengaruh mereka. Sehinggalah British mampu meletakkan seorang pemerintah bernama Sultan Sayyid Hamad al-Thuwaini yang terkenal sebagai Sultan pro British, menaiki takhta pada tahun 1893.

Kematian Sultan boneka British

kesultanan zanzibar

Dikritik boneka British, Sultan Hamad memerintah wilayah tersebut selama lebih 3 tahun bermula pada 5 Mac 1893, sehingga dia ditemui mati pada jam 11.40 pagi tarikh 25 Ogos 1896, akibat diracun .

Ekoran kematian itu, sepupu beliau yang bernama Sayyid Khalid bin Bargrash mula memasuki istana, hanya beberapa jam selepas kematian Hamad seterusnya mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan walaupun pengganti yang dipersetujui British, Sayyid Hamous al-Said sudah berada di perkarangan istana.

Tindakan drastik Khalid menyebabkan wujud desas-desus kuat mendakaa Khalid adalah dalang sebenar kematian Hamad. Ekoran cepatnya dia cuba merebut takhta kerajaan Zanzibar, secara tak langsung menunjukkan wujudnya motif untuk kematian Hamad dirancang pihak Khalid. Namun demikian tidak ditemui sebarang bukti yang menunjukkan Khalid adalah individu yang bertanggungjawab terhadap kematian itu jadi semuanya hanyalah sangkaan semata-mata.

Rampasan kuasa yang dilakukan Khalid itu berpunca kerana dia sedar dia berhak menuntut takhta, walaupun dilakukan tanpa mendapatkan persetujuan pemerintah British. Uni membuatkan wakil Britain tidak berpuas hati dan arahan supaya Sayyid Khalid mengosongkan istana tidak diendahkan.

Khalid bertindak mengisytiharkan dirinya pemerintah baru Zanzibar, seterusnya mengumpulkan askar setianya di istana termasuklah pasukan pengawal di bawah Sultan Hamad, dalam usaha melindungi kuasa yang baru diperolehinya.

Siapakah Sayyid Khalid bin Barghash?

kisah perang paling pendek dalam sejarah

Khalid adalah anak kepada Sayyid Barghash, pemerintah kedua Zanzibar yang naik menaiki takhta selepas kematian abangnya yang juga Sultan pertama Zanzibar, Sayyid Majid bin Said. Pada era bapanya, Khalid adalah pewaris takhta sebenar namun British dilihat enggan membenarkan perkara itu berlaku dengan bermacam alasan, kerana Khalid anti British. 

British cuba mencatur perlatikan pemerintah Zanzibar agar segala urusan pemerintahan dapat dilakukan dikawal mereka. Wasiat Sultan Barghash yang menamakan Khalid sebagai pewaris tidak diendahkan dan British menamakan Sayyid Khalifa, pakcik kepada Khalid sebagai Sultan Zanzibar menggantikan Barghash.

Oleh kerana usia yang masih muda, Khalid redha kedudukannya diisi namun dia tidak menyangka British rupa-rupanya mempunyai rancangan berbeza. Perkara sama berlaku bila tiba era pemerintahan Sayyid Ali bin Said, salah seorang pakcik Khalid yang juga dilantik British. Khalid bersabar dan tetap memberikan sokongan sehinggalah tahap kesihatan Sayyid Ali menurun, menyebabkan waris baru diperlukan. 

Bagi menggantikan Sayyid Ali, British menamakan tiga calon - Sayyid Khalid yang lebih berhak ekoran statusnya sebagai pewaris takhta sebenar, Sayyid Hamoud al-Said dan Sayyid Hamed al-Thuwaini.

Sayyid Hamed dipilih berikutan menguasai nilai kekayaan yang besar serta pengaruhnya yang tinggi dalam masyarakat Zanzibar, dilihat dapat digunakan dalam meluaskan penguasaan British menentukan hala tuju pemerintahan Zanzibar.

Silap percaturan Khalid

meriam perang zanzibar

Apa yang tidak diketahui oleh Khalid ketika rampasan kuasanya adalah kewujudan dua buah kapal perang Britain iaitu HMS Philomel dan HMS Rush, yang sudah pun berlabuh bagi mengawal keadaan sekiranya kekecohan tercetus.

Pasukan tentera British ketika itu berada di bawah kendalian konsulat Britain di Zanzibar, Sir Basil Cave. Ekoran kematian Hamad yang berlaku pada waktu pagi, Cave sempat memohon bantuan sebuah lagi kapal perang HMS Sparrow yang berada berdekatan bagi memperkuatkan armada perang.

Arahan rasmi yang diterima membolehkan Cave mengambil sebarang bentuk tindakan bagi memastikan kedudukan Britain di Zanzibar terjamin. Amaran demi amaran untuk mengosongkan istana yang dikeluarkan oleh Cave tidak dihiraukan Sayyid Khalid, memaksa Cave memohon 2 buah lagi kapal iaitu HMS Racoon dan HMS St. George mendarat di Zanzibar sebagai tanda amaran.

Menyedari Khalid masih berdegil, Cave memberikan kata dua menggesa Khalid keluar meninggalkan istana pada 27 haribulan Ogos 1896, tepat pada jam 9 pagi sebagai tempoh terakhir.

Amaran itu tidak diendahkan.

Hanya pada jam 8 pagi 27 haribulan Ogos, barulah Khalid memberikan maklumbalas - dia dan askarnya yang berjumlah 3,000 orang tidak akan sama sekali meninggalkan kawasan istana kerana dia percaya kedudukannya sebagai pewaris takhta yang sah.

Mereka juga percaya tentera British yang ada, tidak akan mengambil tindakan menembak mereka di dalam istana. 

Dibedil meriam bertalu-talu

46 war perang great britain and zanzibar

Menepati janjinya, atas arahan Cave tepat pada jam 9.00 pagi - serangan ke atas istana yang menempatkan Sayyid Khalid menggunakan meriam dari atas kapal dimulakan. 2 minit dibedil bertalu-talu, majoriti kelengkapan perang milik Khalid musnah.

Bangunan istana yang diperbuat daripada kayu, rosak teruk menyebabkan tidak ak banyak kawasan untuk Khalid dan tenteranya berlindung. Ini menyebabkan Khalid mengambil keputusan menyelamatkan diri dan keluarganya, keluar daripada salah satu laluan belakang istana meninggalkan tenteranya dalam keadaan tidak terkawal.

Mereka berjaya diseludup keluar melalui salah satu kapal milik Jerman yang ada di situ.

zanzibar selepas dibedil

Ketiadaan pemimpin, tentera Khalid cuba mempertahankan kedudukan mereka namun jelas sekali, mereka tidak mampu bertahan lama. Dibedil dengan meriam dari jarak jauh dan dekat - £+sekitar jam 9.40 pagi, bendera kerajaan Khalid yang baru dinaikkan tak sampai dua hari berjaya diturunkan.

500 orang tentera Sultan Khalid terkorban dalam pertempuran tak sampai satu jam, yang secara rasminya direkodkan berlangsung 38 minit sahaja. Anggota tentera Khalid lain yang terselamat menyerah diri.

Pada hari yang sama selepas tamat perang yang kini dikenali sebagai perang Anglo-Zanzibar itu, Sayyid Hamoud al-Said yang sepatutnya menaiki takhta dua hari sebelum itu, naik menjadi Sultan ke 7 Zanzibar atas perkenan British.

Apa berlaku pada Sultan dua hari Zanzibar?

sayyid khalid

Walaupun naik secara tidak sah, rekod Khalid sebagai Sultan ke enam Zanzibar tetap diiktiraf dengan usia pemerintahan dicatatkan bermula pada 25 Ogos 1896 sehinggalah 27 Ogos 1896.

Selepas melarikan diri, Khalid dan beberapa orang pengikutnya berjaya mendapatkan suaka di bawah perlindungan konsulat Jerman, sebelum dibantu melarikan diri melalui jalan laut ke wilayah di bawah penguasaan Jerman yang terletak di Afrika timur (Tanzania kini).

Khalid berlindung di daerah Dar es Salaam, namun perlindungan Jerman itu tidak menghalang usaha kerajaan British untuk cuba mendapatkan perintah ekstradisi ke atas beliau. Hampir 20 tahun Khalid hidup di kawasan ladang di Dar es Salaaam, sempat membantu Jerman memerangi Britain dalam beberapa pertempuran yang berlaku.

Ketika perang dunia pertama pada tahun 1916, British berjaya merampas kawasan Dar es Salaam daripada tangan Jerman. Khalid tidak lagi mempunyai perlindungan yang membantu dirinya selama ini. Beliau dan ahli keluarganya ditangkap seterusnya dibuang ke Pulau Saint Helena yang terletak di bahagian selatan lautan Atlantik, tidak jauh daripada bahagian barat daya benua Afrika.

Dibuang sehingga tahun 1921, Khalid serta keluarganya kemudiannya diarahkan untuk dipindahkan ke Pulau Seychelles. Dalam perjalanannya ke Seychelles, Khalid sempat menghantar sepucuk surat kepada Sultan Zanzibar ketika itu, Sultan Khalifa bin Hareb memohon pengampunan seterusnya memujuk Sultan Khalifa menyokong agar dirinya dan keluarganya dapat hidup di Zanzibar atau setidak-tidaknya, di Dar es Salaam.

Malangnya, permintaan beliau tidak dilayan. Hanya pada tahun 1925 selepas menyatakan persetujuan melepaskan tuntutan takhta kesultanan Zanzibar sepenuhnya - Khalid, isteri serta ibunya dibenarkan menetap di Mombasa yang terletak di Kenya, di mana dia menghabiskan hidupnya.

Permintaan untuk pulang ke Zanzibar langsung tidak dipenuhi dan Sayyid Khalid meninggal dunia pada tahun 1927 semasa bulan Ramadan.

khalid bin barghash

Kisah keberanian Sultan Khalid bin Barghash walaupun melakukan percaturan yang salah, merupakan satu simbol penentangan terhadap penjajahan British. Usaha beliau mengembalikan kedaulatan Zanzibar sepenuhnya kembali kepada kesulatan Zanzibar walaupun gagal, merupakan langkah yang sepatutnya berani diambil mana-mana pihak yang berdepan tekanan penjajahan.

Cerita ini patut menjadi pengajaran kepada kita dalam meneliti mengapa sesetengah pemerintah terpaksa akur dengan tekanan British. Tentera Sultan Khalid hanya mampu bertahan selama 38 minit, menjadikan mereka pasukan perang yang paling cepat tewas dalam peperangan paling pendek dalam sejarah hidup manusia.

Adakah akur dengan kehendak British lebih baik atau berani mengambil tindakan seperti Khalid sehingga mengorbankan ratusan nyawa dalam masa terlalu singkat? Kami tinggalkan anda dengan persoalan itu untuk anda fikirkan buruk dan baiknya.



Hakcipta iluminasi.com (2017)