Oleh pada 16 Jul 2018 kategori

Apa yang kami ingin ceritakan kepada anda bukanlah satu kisah fiksyen.

Pada bulan November 2016, seorang bekas tentera laut Kanada bernama Todd Ross bertindak menyaman kerajaan Kanada, yang memecat beliau daripada perkhidmatan pada tahun 1990 selepas Todd diarahkan menjalani ujian poligraf, membuktikan dia terpaksa mengakui dirinya seorang homoseksual.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Saman itu dibuat melibatkan Todd serta ramai lagi individu yang telah mengalami penindasan akibat hilang pekerjaan kerana didakwa homoseksual atau pernah mengalami situasi yang dianggap kurang menyenangkan semasa bekerja. Jumlah tuntutan mereka bernilai $600 juta ringgit, yang akan dibahagikan kepada lebih 9,000 orang individu yang mengalami diskriminasi secara paksaan dalam tempoh 4 dekad lamanya sejak tahun 1950.

Sejak tahun 1950, tentera Kanada serta jabatan perkhidmatan awam mereka mengamalkan dasar rasmi tidak mengambil penjawat atau tentera yang berorientasikan LGBT ke dalam perkhidmatan dan amalan ini kekal diterapkan, walaupun pada pertengahan 1960-an, undang-undang jenayah melibatkan perlakuan homoseksual dimansuhkan. Amalan itu diteruskan secara tidak rasmi, dengan peluang golongan LGBT berkhidmat dalam tentera atau sektor awam dihadkan. Apakah cara yang digunakan oleh kerajaan Kanada dahulu dalam mengenalpasti siapa individu LGBT yang perlu digugurkan daripada perkhidmatan awam?

Mereka menggunakan sejenis mesin yang digelarkan 'Fruit Machine.'

Fruit Machine - mesin pengesan homoseksual

fruit machine mesin lgbt kanada

'Fruit Machine' bukanlah nama rasmi kepada mesin yang digunakan oleh kerajaan Kanada tetapi bagi memudahkan urusan terma itu digunakan, mengambil slanga 'fruits' yang secara menghina menjadi rujukan kepada golongan lelaki homoseksual.

Sekitar era 1950 sehingga awal 1970-an, mesin tersebut digunakan secara meluas bagi mengenalpasti kecenderungan seksualiti melibatkan penjawat awam kerajaan Kanada, pasukan askar Kanada serta pasukan polis mereka.

Langkah itu dilakukan kerajaan Kanada berikutan kegusaran mereka terhadap ancaman Kesatuan Soviet ketika itu dengan kedua-dua buah negara terlibat dalam Perang Dingin.

Kerajaan Kanada ketika itu berpendapat golongan individu homoseksual adalah lemah dari segi mentalnya, tidak mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan serta berkemungkinan besar akan mudah mengkhianati negara sekiranya ditangkap pihak musuh.

Kaedah ujian yang diperkenalkan bagi mengesan homoseksual

contoh gambar pada fruit machine

Dengan menggunakan sebuah kerusi yang mirip dengan kerusi doktor pergigian, sebuah skrin akan menayangkan visual di depan peserta. Sebuah lagi kamera pengesan akan difokuskan pada anak mata peserta.

Visual pemandangan-pemandangan biasa akan ditayangkan berselang-seli dengan gambar-gambar lelaki sasa dalam keadaan berpakaian ataupun sedang beraksi lucah. Contohnya seperti gambar di atas.

Mesin itu dibina oleh pihak Panel Sekuriti Kerajaan Kanada atas saranan seorang penyelidik bernama Frank Robert Wake. Frank dipanggil menyertai pasukan khas itu bagi mencari jalan bagaimana hendak menguji tahap seksualiti seseorang tanpa menimbulkan rasa takut atau bimbang, seperti yang dialami peserta dalam ujian poligraf.

Untuk membantu pembangunan siri ujian homoseksual itu, kerajaan Kanada menghantar Frank ke Amerika Syarikat bagi mengenalpasti kaedah yang sesuai. Dalam lawatannya, Frank menemui satu pasukan penyelidik yang melakukan eksperimen membandingkan saiz anak mata manusia dengan rangsangan produk di pasaraya, bagi mengetahui tahap minat pembeli.

Mengambil kaedah yang telah dibangunkan kumpulan penyelidik itu, Frank membawa pulang idea itu ke negara asalnya lalu membangunkan siri ujian bagi sistem 'Fruit Machine'. Peranti yang dibangunkan akan mengukur saiz anak mata peserta ujian semasa visual-visual homoseksual dipaparkan pada mereka, bagi menentukan adakah seseorang itu terangsang atau tidak dengan apa yang dipaparkan.

Kelemahan sistem 'Fruit Machine'

mata dibuka untuk uji sifat lgbt

Walaupun mesin itu berjaya dibangunkan Frank, terdapat banyak kelemahan pada mesin tersebut yang berkemungkinan tidak akan memberikan bacaan yang tepat serta diragui.

Perubahan pada saiz anak mata memang adalah salah satu petunjuk kepada rasa berahi dan wujudnya minat pada rangsangan visual homoseksual, namun Fruit Machine tidak mampu membezakan perubahan itu berlaku kerana emosi yang teruja atau pun perubahan pada jumlah cahaya yang masuk ke mata.

Perbezaan kecerahan gambar daripada cerah ke gelap atau sebaliknya semasa ujian dijalankan pun akan turut menyebabkan perubahan besar pada saiz anak mata peserta. Dua kelemahan ini sebenarnya sudah cukup untuk menidakkan keberkesanan Fruit Machine.

Bagaimanapun, hasil ujian ke atas penjawat-penjawat awam, askar serta polis tetap dijalankan dengan keputusannya yang tidak tepat, tetap diguna pakai bagi membuktikan keberkesanan mesin tersebut berikutan belanja besar yang telah dikeluarkan dalam membangunkannya.

Pada tahun pertama ujian itu diperkenalkan, beratus-ratus orang 'disahkan' mempunyai minat terhadap homoseksual dan sebahagian besarnya dipecat. Mereka yang dikekalkan pula walaupun dipercayai homoseksual, dihalang daripada sebarang bentuk kenaikan pangkat.

Mohon maaf atas kesilapan Fruit Machine pada 2017

justin trudeau melakukan permohonan maaf

Kerajaan Kanada menggunakan ujian Fruit Machine selama lebih 20 tahun, sebelum ujian itu ditamatkan sepenuhnya pada pertengahan 1970-an. Tiada laporan tepat dikeluarkan tentang jumlah sebenar pekerja sektor awam yang diberhentikan kerana keputusan mesin tersebut.

Ekoran sentimen orang ramai yang mendesak kerajaan Kanada supaya bertanggungjawab ke atas apa yang telah berlaku sebelum ini, pada tahun 2017 Perdana Menteri Kanada ketika ini, Justin Trudeau melakukan permohonan maaf secara rasmi kepada mana-mana individu serta pihak keluarga yang mengalami diskriminasi, ekoran amalan yang dipegang kerajaan Kanada terdahulu.

Bagi mana-mana individu yang mengalami kerugian akibat dijadikan mangsa pembuangan kerja, kerajaan Kanada menyediakan pampasan berjumlah RM35 juta yang akan diagihkan kepada pekerja yang telah dibuang, sebagai ganti rugi terhadap mereka yang telah dianiayai tanpa bukti yang kukuh serta sebab yang munasabah.Penulis berpegang teguh gerakan LGBT adalah sesuatu tabiat yang songsang. Walaupun begitu penulis berpandangan memburu serta menuduh seseorang itu tergolong dalam golongan LGBT tanpa apa-apa keperluan adalah sesuatu tindakan yang tidak patut. Kami setuju mereka yang secara terbuka mendokong dan mempopularkan budaya LGBT di negara kita harus dikenakan tindakan atau sekatan. Penulis percaya golongan LGBT perlu menghormati struktur masyarakat Malaysia yang majoritinya berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Hanya dengan memahami LGBT tidak akan diterima sebagai satu norma dalam kalangan masyarakat Malaysia, barulah keharmonian di negara kita akan terus terpelihara.




Hakcipta iluminasi.com (2017)