Perkataan 'taliban' sering diungkap sebagai satu gerakan yang membawa konotasi negatif serta dikaitkan dengan keganasan.

Istilah juga sering dijadikan istilah am tidak rasmi, digunapakai pada mana-mana pihak atau sesiapa saja yang kebiasaannya Muslim yang dilihat mempunyai pegangan keras terhadap perkara-perkara tertentu.

Sehinggakan istilah 'taliban' menjadi cacian banyak pihak yang sebenarnya kurang memahami apa yang mereka ucapkan. Persoalannya, benarkah Taliban selari dengan keganasan atau hanya sekadar satu kekeliruan yang sengaja diperbesarkan?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mari kita rungkaikan serba sedikit sejarah awal penubuhan gerakan Taliban agar anda lebih faham latar belakang pergerakan ini.

Apa itu Taliban?

kumpulan mujahidin

Banyak pihak menyebut nama Taliban tanpa memahami maknanya dari segi bahasa.

'Taliban' membawa maksud 'sekumpulan pelajar', hasil gabungan perkataan Arab 'talib' dengan imbuhan 'an' yang diambil daripada sistem dialek masyarakat Parsi/Pashtun.

Gerakan ini dinamakan sedemikian rupa kerana ketika peringkat awal permulaannya, selain daripada disertai kumpulan penentang Mujahid gerakan ini turut menerima sokongan ribuan 'pelajar-pelajar madrasah' yang terletak di sekitar Afghanistan dan Pakistan.

Jadi nama 'taliban' merujuk kepada pelajar menjadi sangat sinonim dalam menggambarkan perjuangan mereka.

Sejarah Afghanistan yang malang

mujahidin tentera

Berikutan pendudukan Kesatuan Soviet ke atas negara mereka, pejuang-pejuang kebebasan iaitu kumpulan-kumpulan Mujahid yang berhasrat membebaskan negara mereka mula mendapat dana bantuan daripada negara-negara anti Soviet dan juga Pakistan, bagi membolehkan agenda pemberontakan ke atas kerajaan Kesatuan Soviet.

Kesatuan Soviet berjaya menduduki Afghanistan selepas perang saudara di antara ahli-ahli Parti Demokratik Afghanistan atau PDPA, sebuah parti komunis yang sangat rapat dengan kerajaan Soviet.

PDPA membentuk kerajaan selepas insiden rampasan kuasa melalui taktik pembunuhan yang mengorbankan Presiden Afghanistan pertama, Daoud Khan pada tahun 1978.

Daoud Khan dibunuh oleh anggota PDPA selepas beliau mengumumkan pengharaman PDPA bagi menghapuskan terus ancaman terus ancaman parti itu ke atas kerajaan Afghanistan.

Ahli PDPA dengan bantuan anggota tentera pro PDPA membunuh Daoud, pengikut setianya serta ahli keluarganya. Ini membolehkan PDPA menguasai Kabul, ibu negara Afghanistan.

Bagaimanapun selepas memegang tampuk pemerintahan, pergelutan kuasa di antara ahli-ahli PDPA mula berlaku. Ini memberi peluang kepada kerajaan Soviet untuk masuk campur pada mulanya atas tujuan meredakan ketegangan.

Pemimpin tertinggi PDPA Hafizullah Amin digempur dan dibunuh dalam satu operasi pada bulan Disember 1979 digantikan dengan Babrak Karmal, salah seorang bekas pengasas PDPA yang mesra Soviet.

Babrak kemudiannya diangkat sebagai Presiden baru Afghanistan.

Pemberontakan melawan pengaruh Soviet

pejuang menaiki lori

Berikutan perlantikan Babrak yang didakwa  boneka Soviet, kerajaan Soviet mula dilihat mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk sistem kerajaan Afghanistan.

Situasi sedemikian menyebabkan negara-negara kuasa besar dunia yang anti Kesatuan Soviet mula mencari jalan mengurangkan pengaruh Kesatuan Soviet ke atas negara tersebut.

Gerakan mujahid memulakan perang jihad secara kecil-kecilan, melancarkan serangan ke atas kerajaan Babrak Kamal. Mendapat bantuan dana daripada Pakistan serta agensi perisikan CIA Amerika Syarikat, membolehkan kumpulan mujahid memperolehi kelengkapan perang yang lebih baik.

Babrak Kamal akhirnya dijatuhkan sendiri oleh Kesatuan Soviet selepas Soviet melihat Babrak gagal mentadbir negaranya dengan baik. Beliau digantikan Mohammad Najibullah, seorang lagi bekas pemimpin PDPA yang mempunyai reputasi tinggi di kalangan pemimpin kerajaan Soviet pada tahun 1986.

Selepas berjaya menyingkirkan pengaruh Babrak Kamal sepenuhnya daripada kerajaan, Najibullah mula menggerakkan siri rundingan bagi menghentikan pertempuran yang masih berlaku di antara kerajaan beliau dengan gerakan Mujahid.

Beberapa perubahan dasar mula diperkenalkan seperti reformasi ekonomi dan pengisytiharan Islam sebagai agama rasmi diperkenalkan, bagi melembutkan hati kumpulan mujahidin. Usaha rundingan dengan kumpulan Mujahid juga dimulakan dengan lebih kerap berbanding era Babrak Kamal.

Walau bagaimanapun kejatuhan Kesatuan Soviet menyebabkan Najibullah hilang sokongan negara berkuasa besar. Tanpa bantuan pihak luar, Najibullah yang mula bimbang keselamatan sendiri mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Presiden Afghanistan pada tahun 1992.

Keadaan ini menyebabkan Afghanistan tidak lagi mempunyai kerajaannya sendiri.

Kebangkitan Taliban sebagai pemerintah

mullah omar wajah taliban

Ekoran wujudnya vakum kuasa pemerintahan, kumpulan-kumpulan Mujahid yang sebelum ini bersatu menentang pencerobohan kuasa asing mula berkelahi sesama mereka dalam merebut kuasa dan wilayah.

Beberapa penambahbaikan reformasi ekonomi yang diperkenalkan Najibullah hancur selepas wilayah-wilayah di Afghanistan mula dikawal pelbagai kumpulan-kumpulan Mujahid yang saling bertelagah.

Ini menyebabkan sokongan dana luar seperti yang diperolehi dari pihak CIA dan Pakistan mula dihentikan, memaksa kumpulan Mujahid yang berpecah belah ini mencari sumber dana lain bagi membolehkan mereka kekal menguasai kawasan mereka.

Bagi mendapatkan dana, kumpulan-kumpulan kecil ini mula memperkenalkan peraturan ketat seperti melakukan sekatan ke atas jalan raya utama di dalam wilayah dikuasai mereka bagi mendapatkan bayaran tol. Beberapa pihak juga mula memeras ugut penduduk di kawasan mereka dengan ancaman sebagai usaha pengumpulan dana.

Kelompok Mujahid yang tidak bersetuju dengan apa yang telah berlaku kembali meneruskan pengajian mereka di madrasah, tidak mencampuri pertelagahan yang berlaku hampir dua tahun.

Sekitar tahun 1994, muncul satu gerakan yang diketuai Mohammad Omar yang lebih dikenali dengan nama Mullah Omar. Nama beliau mula menjadi terkenal di kalangan masyarakat Afghanistan kerana gerakan itu dikatakan mahu membawa perubahan dan menyatukan masyarakat Afghanistan yang berpecah-belah.

Mullah Omar adalah salah seorang anggota gerakan Mujahid yang terlibat dalam peperangan sejak bermulanya pendudukan Soviet lagi.

Beliau membawa hasrat mengembalikan keamanan kepada masyarakat mereka, melindungi kedudukan Islam di situ serta mahu memperkenalkan undang-undang syariah sebagai asas utama ikutan penduduk.

Taliban menguasai Afghanistan

mullah omar gambar

Tidak mahu terlibat dalam pergelutan yang berlaku di kalangan bekas rakan seperjuangannya, Mullah Omar memulakan gerakan yang akhirnya akan dikenali sebagai Taliban pada tahun 1994 - hanya disokong oleh kumpulan awal 50 orang pelajar yang mahukan perubahan.

Gerakan itu tidak perlu menunggu lama untuk mendapat sokongan kelompok pelajar lain. Jumlah keahlian mereka bertambah mendadak sehingga mencecah belasan ribu tidak sampai dalam tempoh sebulan.

Berikutan jumlah keanggotaan yang semakin ramai serta momentum pergerakan yang nyata makin kuat, Taliban memasuki Kandahar pada penghujung tahun 1994, berjaya membebaskan bandar tersebut daripada pergolakan.

Penguasaan Taliban ke atas Kandahar menjadi titik tolak serta memberikan keyakinan usaha mereka untuk mengambil alih sepenuhnya pemerintahan Afghanistan yang ketika itu huru-hara, mampu diteruskan.

Dua tahun kemudian, pada bulan September 1996 ibu negara Kabul berjaya diambil alih Taliban daripada pemerintahan Presiden Burhanuddin Rabbani.

Berikutan kejayaan menawan hampir 90 peratus wilayah di Afghanistan, Mullah Omar dan gerakan Taliban mula memperkenalkan beberapa undang-undang yang mengubah cara hidup mereka.

Muzik diharamkan dan golongan wanita tidak lagi dibenarkan berada di tempat awam. Sistem cukai dan zakat diperkenalkan. Kerajaan di bawah pimpinan Taliban ditubuhkan dan negara Afghanistan diberikan nama rasmi 'Emirat Islam Afghanistan'.

Mullah Omar memegang jawatan sebagai Amirul Mukminin, pemerintah tertinggi kerajaan tersebut.

Kerajaan Mullah Omar berjaya menstabilkan kawasan tersebut walaupun ketika pemerintahan mereka, hanya tiga buah negara mengiktiraf kerajaan baru itu iaitu Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan juga Pakistan.

Bagaimanapun, Mullah Omar tidak dapat bertahan lama memegang kuasa.

Melindungi Osama bin Laden

osama laden senyum

Kejatuhan Mullah Omar sangat berkait rapat dengan hubungan beliau dengan Osama bin Laden.

Osama ketika itu diburu kerajaan Amerika Syarikat berjaya mencapai perjanjian dengan Mullah Omar, membolehkan Osama mendapatkan perlindungan di Afghanistan.

Syarat yang ditetapkan Omar, Osama haruslah menghentikan sebarang bentuk serangan ke atas Amerika Syarikat.

Malangnya, insiden pengeboman kedutaan Amerika Syarikat di Afrika Timur yang didakwa didalangi Osama dan al-Qaeda pada tahun 1998 menimbulkan konflik di antara dua tokoh ini.

Walaupun begitu Afghanistan tetap meneruskan perlindungan kepada Osama, sehinggalah terjadinya insiden 11 September 2001 di mana al-Qaeda dituduh menyebabkan keruntuhan menara World Trade Centre, New York.

Osama bin Laden mula menjadi orang buruan nombor 1 kerajaan Amerika Syarikat dan Afghanistan mula merasai bahangnya.

Kerajaan Taliban Afghanistan memilih untuk tidak menyerahkan Osama bin Laden kepada Amerika Syarikat seperti yang diminta, terus membenarkan individu pemimpin Al-Qaeda itu berlindung di negara mereka.

Tindakan ini menyebabkan Presiden Amerika Syarikat ketika itu, George W. Bush mengisytiharkan Taliban yang menguasai Afghanistan sebagai musuh mereka.

Operation 'Enduring Freedom' dimulakan

operation enduring freedom

Sudah mempunyai alasan untuk menceroboh masuk, Amerika Syarikat mendesak PBB meluluskan kempen anti keganasan ke atas Afghanistan.

Desakan ini tetap diteruskan walaupun jurucakap Taliban menafikan penglibatan Osama bin Laden dalam serangan tersebut.

Kerajaan Afghanistan juga dituduh sengaja melindungi pengganas apabila mengenakan syarat sebarang perbicaraan yang mahu dilakukan ke atas Osama, perlu dilakukan di Afghanistan - sekiranya mahu mereka menyerahkan Osama bin Laden.

Tanggal 7 Oktober 2001 tidak sampai sebulan selepas insiden di World Trade Centre, Amerika Syarikat memulakan serangan ke atas Afghanistan dengan kerjasama United Kingdom, dalam operasi yang dilabelkan sebagai 'Enduring Freedom.'

Mendapat bantuan beberapa kumpulan militia anti Taliban yang berpusat di utara Afghanistan, kumpulan tentera pelbagai negara itu menawan Kabul tidak lama selepas operasi itu dimulakan.

Rumah Mullah Omar dibom peluru jarak jauh, mengorbankan anaknya yang berumur 10 tahun serta seorang pakciknya. Mullah Omar yang cedera teruk berjaya menyelamatkan diri, menghilangkan diri tidak dapat dipastikan di mana dia bersembunyi.

Pemerintahan Afghanistan mula berpindah tangan kepada kerajaan sementara, yang dituduh Mullah Omar sebagai kerajaan boneka Amerika Syarikat. Beliau mengaturkan beberapa siri peperangan secara gerila untuk beberapa tahun selepas itu, sebagai usaha merampas kembali kuasa.

Mullah Omar meninggal dunia pada tahun 2013 tetapi hanya dilaporkan kematiannya oleh kerajaan Afghanistan pada tahun 2015, dipercayai akibat penyakit tuberkulosis.

Terdapat banyak percanggahan serta khabar angin berkenaan kedudukan pusara Mullah Omar yang sebenar.  Selain itu masih ramai tertanya-tanya apakah yang berlaku pada beliau selama dia menyembunyikan diri dan di mana lokasi di mana dia bersembunyi.

Begitulah serba sedikit kisah bagaimana gerakan Taliban bermula - sebuah gerakan kecil yang dimulakan oleh Mullah Omar dengan sokongan 50 orang pelajar atau Taliban yang terus aktif cuba merampas semula wilayah yang didakwa sepatutnya milik mereka, tetapi telah dicuri kerajaan palsu yang disokong kuasa besar dunia. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)