Sistem demokrasi seringkali diletakkan sebagai pilihan terbaik kepada pembentukan sesebuah kerajaan dunia, kerana dikatakan mampu membawa suara setiap orang secara saksama.
Apa saja pandangan anda tentang demokrasi, kita semua harus mengakui sistem demokrasi itu sendiri ada kelemahan yang ketara dan besar kemungkinan tidak mungkin akan dapat diperbetulkan. Sebaliknya kita perlu terus hidup dengan kelemahan-kelemahan tersebut, kerana itu adalah pilihan yang telah ditetapkan.
BESARKAN TEKS A- A+
Seburuk-buruk sistem demokrasi sekalipun, sekurang-kurangnya perubahan tetap berjalan. Jauh berbeza dengan sistem nekrokrasi yang turut sama masih diamalkan.
Apa? Nekrokrasi? Mesti ramai tak pernah dengar kan?
Apa itu 'nekrokrasi'?
Dari segi istilah, 'nekrokrasi' adalah sebuah istilah yang jarang disebut, kerana situasinya sangat jarang berlaku.
'Nekrokrasi' merupakan gabungan perkataan 'necro' yang merujuk kepada golongan yang telah mati. Sementara 'cracy' (dalam bahasa Inggeris) merujuk kepada makna 'diperintah' atau 'ditadbir.'
Jadi 'nekrokrasi' adalah situasi di mana sesebuah badan itu, ditadbir oleh orang atau pemimpin yang telah meninggal dunia. Bunyinya macam tak logik kan? Ya.
Tetapi perkara ini benar-benar berlaku, beberapa kali dalam sejarah dunia.
Ada bermacam tafsiran tentang apa itu nekrokrasi. Beberapa pihak turut menyifatkan sistem demokrasi yang kita warisi pun turut merupakan sebuah sistem nekrokrasi tak langsung.
Bagaimanapun artikel ini bukan ditulis untuk membincangkan perkara tersebut. Kami ingin membincangkan tentang sistem nekrokrasi sebenar - di mana seseorang yang telah meninggal dunia, tetap dijulang dan dipatuhi masyarakat yang pernah dipimpinnya.
Korea Utara dan sistem nekrokrasi
Salah satu negara yang didakwa masih mengamalkan sistem nekrokrasi 'tulen' adalah Korea Utara.
Bermula daripada sumbangan Presiden Kim Il-Sung berjaya menubuhkan negara Republik Demokratik Korea Utara, setelah mengharungi pelbagai halangan.
Sistem perlembagaan yang diperkenalkan beliau, digelarkan sebagai sistem Juche membawa kepada pembentukan masyarakat yang Il-Sung rasakan ideal dengan identiti etnik Korea sendiri.
Selepas kerusi Presiden diwujudkan pada tahun 1972, Il-Sung naik sebagai Presiden sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1994. Digantikan anaknya, Kim Jong-il, jawatan Presiden yang dipegang ayahnya dimansuhkan.
Sebagai ganti, jawatan baru diwujudkan ke dalam perlembagaan negara Korea Utara secara rasmi di mana jawatan 'Presiden Selamanya' (Eternal President) dengan Kim Il-Sung naik menjawat jawatan tersebut pada tahun 1998 - empat tahun selepas dia meninggal dunia.
Anaknya Jong-il pula selepas meninggal dunia dinamakan pada awalnya sebagai 'Setiausaha Agung Parti Selamanya' dan juga 'Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Korea Utara Selamanya.'
Wujudkah Presiden Korea Utara?
Atas sebab itulah Kim Jong-un yang ketika ini memerintah Korea Utara, menggunakan gelaran 'Marshal' atau 'Wonsu'.
Dia tidak lagi menggunakan nama jawatan dan gelaran yang digunakan datuk dan ayahnya - kerana bagi negara mereka, kedua-duanya masih lagi merupakan sebahagian daripada kerajaan negara itu secara rasmi.
Tahukah anda apa gelaran penuh digunakan Kim Jong-un?
Gelarannya berbunyi "The Dear Respected Comrade Kim Jong Un, Chairman of the Workers' Party of Korea, Chairman of the State Affairs Commission of the Democratic People's Republic of Korea and Supreme Commander of the Korean People's Army."
Anda cubalah kira berapa jawatan akan dimansuhkan kelak, sekiranya dia meninggal dunia.
Kim Jong-un bukan Presiden Korea Utara ya!
Orang Peru menggunakan mayat pemimpin sebagai penasihat
Salah satu sejarah yang agak menggerunkan dan memang telah berlaku, melibatkan Empayar Inca yang kini terletak di Peru sekitar abad ke 16.
Kepercayaan orang Inca ketika itu adalah keturunan pemimpin berstatus bangsawan masih perlu dihormati seolah-olah mereka masih hidup, perlu diminta pandangan mereka terlebih dahulu dalam bermacam aspek kehidupan sebelum sesuatu keputusan yang besar dibuat.
Bagi mempertahankan susur galur keturunan pemimpin masyarakat mereka, orang Inca akan memastikan mayat pemimpin mereka diawet, dipakaikan pakaian dan perhiasan serta dibiarkan untuk terus 'tinggal' di istana mereka. Pekerja dan pembantu khas akan dilantik dari kalangan masyarakat untuk menguruskan keperluan mayat-mayat ini.
Mereka percaya raja mereka yang telah meninggal dunia sebenarnya masih hidup dan berhak ke atas semua harta yang ditinggalkan, manakala anak mereka yang mewarisi takhta, perlu mencari kekayaannya sendiri.
Oleh kerana masyarakat Inca percaya raja mereka merupakan penghubung utama mereka dengan Tuhan mereka, semua urusan pentadbiran yang bakal dijalankan perlulah dibentangkan terlebih dahulu di depan mayat-mayat ini - demi memastikan kesinambungan pemerintahan mereka tidak putus.
Begitulah dua bentuk nekrokrasi, sama ada pemerintah perlu bermesyuarat mendapatkan nasihat daripada mayat atau kerajaan perlu melantik seseorang pemimpin secara abadi ke jawatan yang dipegang, walaupun jelas individu itu tidak lagi dapat memainkan peranan yang datang dengan jawatan tersebut.
Anda ada contoh lain tentang nekrokrasi yang anda rasakan menarik? Nyatakan pandangan anda dalam ruangan komen.