Bagi seorang ahli politik, memperolehi undian yang memihak kepada mereka merupakan satu justifikasi kuasa yang tidak ternilai.

Namun apabila kita berada di kedudukan teratas, akan semakin ramai pihak yang mahu berusaha menjatuhkan kita. Satu cara mudah dalam sistem demokrasi adalah dengan mewujudkan kerjasama antara ahli dewan yang memegang kerusi untuk melakukan undian tidak percaya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tak terkira bilangan pemimpin dunia yang jatuh akibat undian tidak percaya. Bagaimanapun ada juga kategori pemimpin yang dijatuhkan tetapi masih mampu bangkit, sebelum dijatuhkan untuk kali kedua dengan cara yang sama.

Berikut adalah lima pemimpin dunia yang merasai pengalaman unik diundi tidak percaya untuk kali kedua.

1. Mirek Topolanek (Republik Czech)

topolanek czech undi tak percaya

Situasi parlimen tergantung akibat pembahagian kerusi 100 dengan 100 dalam pilihanraya 2006 negara Czech, memaksa Presiden Czech menggunakan kuasanya melantik Mirek Topolanek sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos 2006.

Namun pertikaian berterusan antara kedua-dua gabungan yang bertanding menggagalkan segala usaha pembentukan kabinet Topolanek. Pembentukan kabinet pertama Topolanek gagal selepas usul kabinet tidak dipersetujui kedua-dua pihak dalam usul undi tidak percaya, namun jawatan Perdana Menteri beliau kekal selamat akibat pengaruh Presiden.

Hanya selepas 230 hari, barulah barisan Kabinet baru Topolanek diterima pada 19 Januari 2007 selepas dua wakil pembangkang memilih untuk tidak mengundi, memberikan kemenangan 100-97 kepada Topolanek.

Topolanek berdepan undi tidak percaya untuk kali kedua selepas  2 tahun memegang kuasa, apabila situasi ekonomi yang meruncing mula menjadi sumber ketidakpuas hatian masyarakat.

Dalam undian tidak percaya kali ini, kerajaan Topolanek tumbang selepas 4 wakil kerajaan Topolanek sendiri mengundi menentang beliau.

2. Shigeru Yoshida (Jepun)

shigeru yoshida jepun undi tidak percaya

Salah seorang Perdana Menteri yang mentadbir Jepun paling lama, Shigeru Yoshida naik selepas Jepun dijajah Amerika Syarikat disebabkan dasar-dasar yang dipegang beliau agak pro-USA.

Yoshida mentadbir Jepun sebagai Perdana Menteri kali pertama pada tahun 1946 sebelum hilang jawatan setahun berikutnya namun kembali menjawat jawatan itu (dengan sokongan Amerika Syarikat) pada 15 Oktober 1948.

Bagaimanapun, kerajaan beliau berdepan undi tidak percaya pada 23 Disember tahun yang sama, memaksa Yoshida membubarkan kerajaan seterusnya diadakan pilihanraya semula pada Januari 1949. Pilihanraya itu mengubah nasib Yoshida apabila mandat  kembali kepadanya ekoran kemenangan 269 daripada 466 kerusi yang dipertandingkan.

Selepas beberapa sekutu beliau dalam kerajaan mula melompat parti disebabkan rasa kurang senang dengan tindak tanduk Yoshida semasa persidangan parlimen, usul undi tidak percaya yang cuba dibawa pihak lawan beliau gagal dijalankan undiannya - selepas Yoshida sendiri mengambil keputusan membubarkan kabinet takut tewas undian.

3. Romano Prodi (Itali)

romano prodi undi tidak percaya itali

Seorang profesor kewangan, Romano Prodi naik menjadi Perdana Menteri setelah memenangi pilihanraya 1996 Itali. Kemenangan itu bagaimanapun dibantu dengan kerjasama tidak kukuh parti beliau bersama parti Communist Refoundation Party (PRC) yang membolehkan kerajaan Prodi dibentuk.

Kerjasama itu jatuh selepas PRC menarik balik sokongan kepada Prodi dalam tahun 1998. Dalam krisis politik itu, Prodi diberikan peluang untuk membuktikan dia mampu mendapat sokongan majoriti seandainya berjaya memujuk gabungan baru menyertai kerajaannya dan mengekalkan jawatannya - namun usaha itu gagal.

Populariti Prodi sebagai seorang ahli akademik, membolehkan beliau kembali menyatukan beberapa parti politik di bawah satu payung seterusnya memenangi pilihanraya Itali tahun 2006 dengan kiraan 340 berbalas 277.

Akibat daripada pertukaran Presiden Itali yang sedang berlaku ketika itu, kabinet kedua Prodi hanya berjaya dibentuk pada bulan Mei 200, selepas hampir sebulan pilihanraya selesai. 

Isu penghantaran askar Itali ke Afghanistan yang diperkenalkan kabinet Prodi dicabar di parlimen Itali di dewan atas (mirip Dewan Negara kita). 161 pihak menentang beliau, sementara 156 menyokong. Prodi meletak jawatan ekoran kehilangan sokongan dewan penting itu menyebabkan pembubaran kabinet berlaku pada 5 Februari 2008.

4. Viktor Yuschenko (Ukraine)

viktor yuschenko ukraine non confidence vote

Dalam tahun 2001, Viktor Yuschenko terpaksa berhadapan dengan undi tidak percaya kepadanya selepas beberapa pihak didalangi 'taikun-taikun minyak' menggerakkan usaha menjatuhkan beliau di parlimen. Yuschenko didakwa gagal menstabilkan ekonomi Ukraine serta tidak mempunyai kemampuan yang baik dalam memacu negara tersebut.

Melalui undian yang dijalankan sebanyak dua kali, 263 wakil mengundi hilang kepercayaan kepada beliau daripada 450 orang, memaksa Yuschenko meletakkan jawatan selepas 16 bulan memegang jawatan Perdana Menteri. Hanya 69 wakil menyokong beliau dalam undian itu.

Yuschenko tidak berhenti daripada politik, menubuhkan parti baru sehinggalah dia berjaya memenangi pilihanraya Presiden Ukraine yang sangat sengit pada tahun 2004.

Dengan menggunakan kuasa beliau sebagai Presiden, Yuschenko membubarkan kabinet di bawah Perdana Menteri Yulia Tymoshenko atas dakwaan salah guna kuasa selepas dua orang menteri kanan melaporkan kes-kes salah laku melibatkan sekutu mereka sendiri.

Sebagai ganti, Yuschenko melantik Yuri Yekhanurov sebagai Pemangku Perdana Menteri dengan barisan kabinet baru pada bulan September 2005.

Pada bulan Januari tahun 2006, parlimen Ukraine meluluskan usul undi tidak percaya terhadap kabinet Ukraine, menjatuhkan kerajaan pilihan Yuschenko yang dipimpin Yekhanurov. Yuschenko kekal sebagai presiden sehingga 2010 walaupun kredibiliti beliau tercalar teruk.

5. Mario Soares (Portugal)

mario soares portugal prime minister no convidence undi tak percaya

Memegang jawatan Perdana Menteri Portugal selama dua penggal bermula 1976-1978 dan 1983-1985, pengaruh Mario Soares dalam arena politik Portugal tidak dapat dinafikan. u.

Usaha untuk mengembalikan Portugal yang hampir bankrap pada era 70-an memaksa kerajaan Portugal mengamalkan banyak pendekatan kurang digemari penduduk tempatan, termasuklah usaha Soares selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada bulan Julai 1976.

Salah satu usaha beliau adalah untuk meminjam dana daripada International Monetary Fund. Tindakan itu menyebabkan undi tak percaya dijalankan menjatuhkan kabinet Soares kali pertama pada bulan Disember 1977.

Sebulan kemudian Soares mengumumkan kejayaan beliau mendapat sokongan majoriti semula dengan kerjasama baru, membolehkan dia mengekalkan jawatan yang disandangnya.

Kerajaan baru itu bagaimanapun hanya kekal tujuh bulan, sebelum kegagalan mendapatkan kelulusan Parlimen bagi melaksanakan dasar ekonomi yang dirancang memaksa beliau meletakkan jawatan sepenuhnya selepas dianggap hilang kepercayaan dewan.

Soares kembali menerajui kerajaan Portugal selepas memenangi pilihanraya umum tahun 1983.

Bagaimanapun beberapa pihak dalam kerajaan Soares sendiri mula mengkritik dasar austeriti secara terbuka dalam parlimen, menandakan kabinet Soares pada ketika itu sudah mula kehilangan pengaruh.

Soares sekali lagi meletakkan jawatan pada bulan November 1985, sebelum memenangi pilihanraya Presiden Portugal pada tahun 1986 menjawat jawatan Presiden selama dua penggal.

Kerap berdepan tentangan sekutunya sendiri, sehingga kini jasa Soares pada Portugal tidak dilupakan. Dia dikenang sebagai 'Bapa Demokrasi Portugal' atas sumbangannya. Ketabahannya berhadapan kejatuhan, namun tetap bangkit setiap kali terus menjadi legenda masyarakat Portugal.




Hakcipta iluminasi.com (2017)