Oleh pada 08 Dec 2022 kategori

Kejatuhan bekas Perdana Menteri Britain, Liz Truss selepas 45 hari memegang tampuk kuasa mencetuskan banyak perbincangan berkenaan hala tuju negara itu.

Walaupun tempoh 45 hari itu kelihatan singkat dan agak memalukan, melayakkan beliau menjadi Perdana Menteri Britain paling singkat dalam sejarah Britain, situasi mirip sebenarnya juga berlaku melibatkan negara-negara lain juga khususnya di benua Asia Tenggara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda siapakah pemerintah tertinggi kerajaan Asia baik yang menjawat jawatan tertinggi sebagai Perdana Menteri atau Presiden, yang layak dikatakan singkat tempoh pemerintahannya?

1. Sergio Osmena (Filipina, 1 tahun 300 hari)

sergio osmena filipina

Sergino Osmena merupakan presiden Filipina ke 4, mentadbir dekad 1940-an ketika itu bergelar presiden paling tua naik ke jawatan tersebut.

Sumbangan beliau kepada politik Filipina cukup besar, kerana parti yang diasaskan beliau Nacionalista Party merupakan parti yang menggerakkan gerakan tuntutan penubuhan kerajaan sendiri daripada Amerika Syarikat sejak tahun 1902 sehinggalah tahun 1946.

Syarat kemerdekaan yang memerlukan Filipina membenarkan Amerika Syarikat membuka pengkalan di sana, menjadi titik tolak perpecahan politik Osmena bersama rakannya Manuel L. Quezon. Bagaimanapun kehadiran tentera Jepun memaksa Quezon dan Ospena melarikan diri ke Australia, menunggu agar tuntutan mereka dapat diteruskan.

Selepas berakhirnya era penjajahan Jepun, Quezon mula bertindak sebagai presiden, berjaya mengembalikan sepenuhnya kuasa pentadbiran ke tangan orang tempatan.  Dia meninggal dunia dalam kuasa pada tahun 1944. Ospena yang ketika itu bertindak sebagai Timbalan naik menggantikan Quezeon.

Bagaimanapun Ospena gagal bertahan lama, selepas tewas kepada Manuel Acuna Roxas.

Roxas bertindak berpecah keluar Nacionalista Party, menubuhkan sayap baru yang dinamakan Liberal Party. Kemenangan Roxas banyak dibantu pengaruh kerajaan Amerika Syarikat, disebabkan oleh pandangan Ospena yang kurang memihak kepada mereka.

Ospena tewas dalam pilihanraya presiden bagi memilih presiden pertama Filipina pasca zaman kolonial Amerika Syarikat, mendapat 45.72% jumlah undian. Dia meletakkan jawatan sebagai Presiden Filipina paling singkat dalam sejarah, memegang kuasa selama 1 tahun dan 300 hari sahaja.

2. Abdurrahman Wahid (Indonesia 1 tahun 276 hari)

abdurrahman wahud gus dur

Rakyat Indonesia telah menyaksikan dua orang presiden republik itu memegang kuasa dalam tempoh yang sangat panjang.

Sukarno kekal dalam kuasa dari tahun 1945 sehingga 1967. Pengganti beliau Suharto kekal lebih lama, bermula dari tahun 1967 sehinggalah tahun 1998. Selepas Presiden Suharto meletak jawatan, politik Indonesia bergolak dalam situasi kurang stabil.

B.J. Habibie yang sebelum itu bergelar Timbalan Presiden naik menggantikan Suhart, gagal mengawal perang saudara dalam parti sendiri, memaksa Habibie melepaskan kuasa kepada Abdurrahman Wahid.

Mempunyai reputasi tinggi dalam gerakan ulama', pemimpin yang terkenal dengan nama gelaran Gus Dur ini bagaimanapun melakukan banyak keputusan yang kontroversi, khasnya dalam isu hubungan dengan Israel, perlantikan kepimpinan tertinggi tentera dan juga lantikan dalam kabinet sendiri.

Usaha untuk mempertahankan kuasa melalui pengisytiharan dekri bagi membubarkan dewan perwakilan dan dewan legislatif Indonesia digagalkan seteru yang bersatu, Abdurrahman terpaksa melepaskan kuasa yang dipegang hanya selama 1 tahun 276 hari.

3. Ismail Sabri Yaakob (Malaysia, 1 tahun 51 hari)

ismail sabri pm malaysia paling singkat

Dalam tempoh tak sampai lima tahun, negara kita telah menyaksikan 4 orang Perdana Menteri naik turun silih berganti dalam menguasai tampuk kuasa.

Ketidakstabilan ini bermula selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional yang berlaku dalam tahun 2018, yang menyaksikan PM ke 4 kita Tun Mahathir naik menjadi sebagai Perdana Menteri ke 6 Malaysia. Bagaimanapun isu peralihan kuasa membawa kepada kejatuhan beliau selepas 1 tahun 291 hari.

Pada ketika itu, Tun Mahathir memegang gelaran PM paling singkat Malaysia.

Walau bagaimanapun, pengganti beliau TS Muhyiddin yang terpaksa menubuhkan kerajaan dalam gabungan yang kurang stabil hanya mampu bertahan 1 tahun 169 hari. Kita ingatkan setakat itu sajalah rekodnya.

Selepas perbincangan di antara gabungan yang sama dilakukan, DS Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 9.

Dilihat sejak awal hanya memegang jawatan itu untuk sementara, DS Ismail Sabri hilang kuasa selepas gabungan yang disertai beliau hanya mendapat 30 kerusi dalam pilihanraya umum ke 15 negara kita, menjadikan beliau PM Malaysia paling singkat dalam sejarah setakat ini.

Beliau memegang kuasa selama 1 tahun 51 hari.

4. Tsutomu Hata (Jepun, 64 hari)

hata pm jepun paling singkat

Jika lantikan Perdana Menteri dibuat melalui lantikan terus Maharaja, Putera Naruhiko Higashikuni yang naik menjawat jawatan itu pada 17 Ogos sehingga 9 Oktober 1945 layak bergelar PM Jepun paling singkat, hanya mentadbir selama 54 hari.

Namun seandainya kita mengambil kira pemegang jawatan tertinggi kerajaan Jepun paling singkat yang dipilih melalui sistem lantikan berteraskan pilihanraya Parlimen Jepun, Tsutomu Hata adalah individu paling kurang baik nasibnya.

Ekoran pergolakan politik, Morihiro Hosokawa naik sebagai Perdana Menteri Jepun ke 79 pada tahun 1003 selepas berjaya menyatukan gabungan pembangkang untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun masalah dalam identiti gabungan serta ketiadaan matlamat yang jelas, melahirkan sebuah kerajaan yang tidak stabil asasnya. Hosokawa kekal mentadbir 263 hari sebelum didesak meletak jawatan akibat tuduhan korupsi.

Perletakan jawatan yang dibuat secara mengejut itu memaksa gabungan yang ada berkompromi sesama mereka, melantik Tustomu Hata yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Luar Negara sebagai pengganti.

Malangnya Hata mencipta rekod apabila tewas dalam pemilihan pucuk pimpinan parti, terpaksa melepaskan kuasa hanya selepas 64 hari mentadbir.

Ekoran tewas, Hata berpecah keluar daripada gabungan yang disertai dengan menubuhkan parti baru namun usahanya selepas itu gagal membawa beliau kembali ke puncak kuasa.

5. Thawi Bunyaket (Thailand, 18 hari)

perdana menteri thailand paling singkat

Negara Thailand mempunyai sejarah yang unik, kerana pemimpin tertinggi kerajaan mereka sangat sering bertukar-tukar. Yang menakjubkan, kerajaan mereka juga sering ditukar melalui rampasan kuasa tentera.

Oleh kerana itu dalam sejarah Thailand, wujud ramai pemimpin tertinggi kerajaan yang mentadbir dengan kuasa bersifat sementara selepas kejayaan rampasan kuasa. 

Ketidak stabilan kerajaan sudah menjadi satu identiti biasa bagi orang Thailand. Perdana Menteri Thailand ketika ini iaitu Prayut Chan-o-cha, naik menggantikan Prawit Wongsuwan yang mentadbir hanya selama 37 hari.

Anda jangan ingat 37 hari itu adalah satu rekod! Secara rasmi tempoh pentadbiran paling singkat di Thailand adalah ketika Thawi Bunyaket memegang kuasa, yang berlaku pada 31 Ogos 1945.

Thawi naik menjawat itu kerana dia memang sejak mula diberikan tugas untuk memanaskan bangku, bagi membolehkan calon sebenar kegemaran ramai Seni Pramoj naik.

Membentuk kabinet kerajaan ke 12 dalam sejarah Thailand, Thawi Bunyaket meletak jawatan Perdana Menteri selepas 18 hari menang pilihanraya yang sah, bagi memberi laluan kepada orang lain sama ada dia suka atau tidak.




Hakcipta iluminasi.com (2017)