Pemimpin sesebuah kerajaan akan mempunyai satu kediaman rasmi, menjadi lokasi tempat tinggal dia dan keluarga sepanjang tempoh berkhidmat.

Di Malaysia, Perdana Menteri yang terpilih mendiami sebuah kediaman besar yang digelarkan Kompleks Seri Perdana, terletak di Presint 10, WP Putrajaya. Bagaimana pula dengan negara-negara Asia Tenggara lain?

Berikut adalah 5 kediaman rasmi pemimpin tertinggi kerajaan negara-negara pilihan di Asia Tenggara termasuklah di negara kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Kompleks Seri Perdana, Malaysia

seri perdana putrajaya

Sekiranya anda berpeluang ke Putrajaya, pastikan anda singgah di Persiaran Seri Perdana yang menempatkan kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia sejak tahun 1997.

Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pertama mendiami rumah agam yang dibina dengan menelan belanja RM24.17 juta ini.

Lebih menarik, beliau jugalah individu terakhir mendiami kediaman rasmi lama Perdana Menteri kita, yang terletak di Jalan Terengganu, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur.

Kini kediaman itu telah diubahsuai dan dijadikan Galeria Perdana, menempatkan barang-barang bersejarah berkait era pentadbiran Tun Mahathir yang diuruskan Arkib Negara Malaysia sejak tahun 2003.

Kompleks Seri Perdana di Putrajaya pula dibangunkan di atas tapak seluas 42.5 ekar, mempunyai dua ruang tamu utama, sebuah bilik mesyuarat, sebuah dewan jamuan 60 orang dan sebuah dewan banquet yang mampu menempatkan 200 orang.

Di dalamnya ada sebuah galeri bagi mempamerkan cenderamata atau hadiah yang diterima daripada pemimpin kerajaan luar lain, untuk dipamerkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

2. Rumah Agam Phitsanulok, Thailand

rumah agam phatnasihulok thailand

Sebuah bangunan klasik  dengan rekabentuk berdasarkan seni bina Gothic Venetia, Rumah Agam Phitsanulok atau Phitsanulok Mansion siap dibina pada tahun 1922.

Pada asalnya kawasan tersebut adalah hadiah Raja Rama ke VI kepada seorang pegawai tertinggi kerajaan bernama Phraya Aniruth-deva. Sebagai balasan, Raja Rama VI diberikan penghormatan menamakan kediaman yang bakal dibina.

Jadi Raja Rama menamakannya sebagai Baan Bantomsin, sempena ukiran Dewa Vishnu yang dipasang di perkarangan kediaman tersebut.

Selepas kerjasama di antara Thailand dan Jepun dimeterai menjadikan Thailand 'rakan' Jepun dalam gerakan Jepun menguasai Asia Tenggara, Baan Bantomsin disewakan kepada Jepun sebagai markas operasi kedua-dua kerajaan kerana kedudukannya di Bangkok yang sangat strategik.

Bimbang berlakunya tragedi akibat campur tangan Thailand dalam perang dunia kedua, pewaris Baan Bantomsin menjual rumah agam itu kepada kerajaan Thailand, yang membelinya pada harga hanya BHT500,000 (RM63,450).

Namanya ditukar kepada Baan Phitsanulok, sempena nama lorong di hadapan kediaman tersebut selepas pertukaran hak miliknya selesai.

Pada tahun 1979, kerajaan Thailand ketika di bawah pemerintahan Perdana Menteri Kriangsak Chamanan memperuntukkan bajet untuk mengubah Baan Phitsanulok, untuk dijadikan kediaman rasmi Perdana Menteri mereka dan kediaman itu kekal untuk kegunaan tersebut sehingga sekarang.

Bagaimanapun ramai Perdana Menteri Thailand enggan tinggal di sana kerana dikatakan bangunan itu agak berpuaka tempatnya.

3. Sri Temasek, Singapura

sri temasek singapura

Singapura memilih untuk menggabungkan ketiga-tiga elemen penting pentadbiran mereka iaitu kediaman Presiden Singapura, kediaman Perdana Menteri dan juga pejabat rasmi Perdana Menteri ke dalam satu kompleks besar dikenali sebagai 'The Istana.'

Kediaman rasmi Perdana Menteri Singapura pula dinamakan sebagai Sri Temasek, terletak dalam perkarangan The Istana, menjadi kediaman rasmi kesemua Perdana Menteri republik itu sejak era kolonial British membenarkan pemimpin Singapura mentadbir sendiri secara kerajaan tempatan.

Dibina oleh British, pembinaannya dimulakan Gabenor Negeri Selat, Harry St. George selepas kediaman yang diperuntukkan kepada pegawai kerajaan Britain perlu dirobohkan bagi pembinaan pelabuhan.

Pembangunan bangunan utama yang dikenali sebagai Government House itu disiapkan terlebih dahulu bagi membolehkan lawatan wakil Ratu Victoria ke Singapura diaturkan sebelum Sri Temasek dibina pada tahun 1869, pada mulanya untuk dijadikan kediaman rasmi setiausaha negeri.

Sri Temasek adalah sebuah rumah banglo dua tingkat yang mempunyai keluasan 17,000 kaki persegi, direka dengan gabungan elemen seni bina Eropah dan Asia. Bagaimanapun, tidak ada mana-mana pemegang jawatan Perdana Menteri benar-benar menetap di sana sehinggakan keadaannya tidak terjaga.

Proses membaik pulih Sri Temasek telah dijalankan pada tahun 2006, memperbaiki bahagian tiang struktur kayu yang telah rosak serta penggantian bahagian-bahagian peralatan seperti tingkap, pintu dan pemegang tangga yang telah dimamah usia.

4. Istana Merdeka, Indonesia

istana merdeka indonesia

Istana Merdeka adalah nama rasmi kediaman Presiden Indonesia yang dimulakan projek pembinaannya pada tahun 1873, semasa zaman kolonial Belanda di sana.

Uniknya - Istana Merdeka kini adalah salah satu daripada rangkaian 6 buah kompleks pentadbiran atau 'Istana Presiden' yang ada, dengan kediaman rasmi utamanya adalah Istana Merdeka yang terletak di Jakarta.

Lima lagi kompleks dengan fungsi serupa adalah Istana Negara di Jakarta, Istana Tampaksiring di Bali, Gedung Agung di Yogyakarta dan dua lagi di Jawa Barat iaitu Istana Bogor dan Istana Negara.

Kesemua kompleks dihubungkan antara satu sama lain bagi membolehkan mesyuarat dikendalikan Presiden Indonesia tak kira di mana dia berada, ekoran keluasan pentadbiran yang sangat luas.

Istana Merdeka pada asalnya dikenali sebagai Paleis van de Gouverneur Generaal atau 'Istana Gabenor Jeneral' bagi kegunaan Gabenor Jeneral Syarikat India Belanda Timur semasa mereka menjajah di sana.

Binaan itu dibangunkan bagi menggantikan Istana Negara di Jakarta yang sebelum itu memang digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan. Gabenor Johan van Lansberge menjadi individu pertama mendiami kediaman tersebut pada tahun 1875.

Penguasaan Belanda di sana berakhir selepas Jepun berjaya mengambil alih bangunan tersebut sekitar tahun 1942.

Ekoran revolusi orang ramai yang membawa kepada kemerdekaan Indonesia, bangunan itu dinamakan semula sebagai Istana Gambir.

Istana Gambir menjadi lokasi dimana pengisytiharan kemerdekaan Indonesia dibacakan, jadi namanya selepas itu ditukar kepada Istana Merdeka sempena laungan kemerdekaan yang bergema dalam hari bersejarah masyarakat Indonesia.

5. Istana Nurul Iman, Brunei

istana nurul iman brunei

Walaupun negara mereka kecil, Brunei adalah pemegang rekod rasmi kediaman pemimpin kerajaan tertinggi terbesar di dunia.

Terletak di Bandar Seri Begawan, Istana Nurul Iman adalah kediaman rasmi Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang turut bertindak selaku Perdana Menteri. Berikutan saiz kawasannya yang besar, kompleks istana ini juga menempatkan bermacam fasiliti lain.

Bangunan istana utama itu mempunyai 1,788 buah bilik dan 257 bilik air, mampu menempatkan dewan jamuan berkapasiti sehingga 5,000 orang. Di perkarangannya ada sebuah masjid, 200 kandang kuda, lima kolam renang dan juga garaj yang menyimpan lebih 110 buah kereta mewah.

Dibina dengan bantuan tenaga pakar dari Filipina dan United Kingdom, Istana Nurul Iman mempunyai elemen seni bina gabungan Islam dan tradisi Melayu dalam setiap rekaannya, diadun dengan pemasangan hiasan berasaskan batu marmar Itali, granit dari Shanghai dan gentian kaca dari England.

Pembinaannya dimulakan pada tahun 1981 dan siap sepenuhnya sekitar tahun 1983, mula beroperasi selepas Brunei mencapai persetujuan kemerdekaan dengan Britain pada 1 Januari 1984.

Selain menjadi kediaman rasmi, semua urusan pentadbiran kerajaan Brunei juga dilangsungkan di sini kerana kompleks kerajaannya juga terletak dalam kawasan yang sama.




Hakcipta iluminasi.com (2017)