Demokrasi kerap dipuji sebagai sistem pemilihan kerajaan paling adil. Hujahnya - semua orang mempunyai suara yang sama dan hak yang serupa dalam memilih siapa bakal jadi pemerintah atau kerajaan.
Disebalik banyak perbincangan berkenaan sistem demokrasi, apa yang jarang diperkatakan oleh kita adalah berkenaan keburukan sistem demokrasi itu. Harus kita ingatkan diri kita - dalam setiap perkara pasti ada baik dan buruknya termasuklah juga sistem demokrasi.
BESARKAN TEKS A- A+
Jadi apa keburukan sistem demokrasi ini?
1. Kita akan diajak berpolitik hari-hari
Salah satu kelemahan paling ketara dalam sistem demokrasi, adalah bagaimana usaha-usaha politiking dilakukan hari demi hari, demi 'mendedahkan' kelemahan kerajaan atau ketidak upayaan pihak pembangkang.
Semua perkara buruk yang boleh dijadikan isu, akan diperbesarkan dengan harapan agar persepsi negatif yang dibina dapat melekat dalam minda pengundi sehinggalah tiba pilihanraya berikutnya. Ini bermakna, pengundi kebiasaannya akan diajak untuk melihat sisi buruk setiap parti atau pihak dalam sistem demokrasi, bukan sisi yang baik.
Yang lebih menakutkan - kita juga seakan-akan dipujuk untuk menerima cemuhan, kritikan atau pendedahan yang berlaku merupakan bukti 'demokrasi' sedang berjalan dengan baik. Kita pun akhirnya akan turut sama terperangkap dalam jerat politik negatif sistem demokrasi.
2. Kita diminta supaya rasa tidak lengkap serba-serbi
Salah satu propaganda paling popular yang akan digunakan dalam mana-mana sistem demokrasi, adalah dengan menyuntik rasa tak cukup atau tak puas hati rakyat - bukan sekadar pada pihak lawan, malahan kepada kehidupan rakyat sendiri.
Rakyat diajar untuk merasakan mereka senantiasa layak diberikan bantuan lebih, mendapat gaji lebih, fasiliti yang lebih baik atau perkhidmatan yang lebih baik daripada ahli atau parti politik. Persepsi ini yang ditanam dalam tempoh jangka masa yang panjang hanya akan melahirkan masyarakat yang sentiasa bertelagah terhadap sesuatu, tanpa berusaha merasa syukur dengan apa yang mereka ada.
Pernahkah anda rasa sedemikian rupa? Hahaha. Penulis pun sama. Tak salah rasanya kalau penulis katakan majoriti rakyat Malaysia pun mempunyai pendapat serupa.
3. Media jadi berpuak-puak
Lihat sendiri media di negara kita - cuba anda sebutkan pihak media mana yang boleh dikatakan adil dan tidak berpihak atau bersikap berat sebelah. Cukup sukan bukan? Ini adalah hasil daripada sistem demokrasi yang diamalkan kita.
Amat sukar untuk kita mendapat liputan media yang tidak memilih sama ada pihak kerajaan atau pembangkang. Banyak laporan baik tentang dasar kerajaan tidak dilapor media pro pembangkang, sementara media pro kerajaan pula lebih sibuk memaparkan laporan berita yang menjaga imej mereka.
Ekoran daripada semangat politiking yang tinggi, kita sebagai masyarakat juga lebih gemar membaca sesuatu yang kita suka semata-mata. Jadi amat mudah untuk kita ditarik ke kiri dan ke kanan oleh pihak yang kita sokong kerana minda kita didoktrinkan untuk hanya menerima bahan bacaan yang selari dengan citarasa politik kita.
4. Demokrasi adalah proses yang perlahan
Berbeza dengan sistem-sistem pemerintahan lain, seperti monarki atau diktator - sistem demokrasi memerlukan masa yang sangat panjang dalam menentukan hasil sesuatu dasar.
Perjalanan pembentukan dasar di peringkat Parlimen misalnya, memerlukan tempoh waktu yang cukup panjang bermula daripada perbahasan sehinggalah kepada proses kelulusan oleh YDP Agong. Tempohnya pula bergantung kepada jumlah kerusi yang dimiliki oleh kerajaan.
Sekiranya kerajaan mempunyai 2/3 jumlah kerusi, cepatlah sikit prosesnya. Tetapi ada kalanya wujud situasi di mana beza kerusi kerajaan dan pembangkang tak jauh bezanya, memerlukan proses undian diulangi berkali-kali.
5. Tak semua yang baik kekal, tak semua yang elok akan diluluskan
Kita sudah melihat banyak kali situasi di mana hanya disebabkan perbezaan pendapat di antara kerajaan dan pembangkang, sesuatu dasar atau isu yang dibangkitkan diterima atau ditolak bukan disebabkan faktor isu itu, tetapi lebih kepada isu menyokong dan membantah.
Sistem demokrasi hanya akan berfungsi dengan baik sekiranya pihak kerajaan dan pembangkang bebas mengundi mana-mana dasar berdasarkan pendapat sendiri, bukan dikawal oleh parti atau pihak yang mereka wakili.
Sesuatu yang sepatutnya baik untuk pembangunan negara boleh dihalang hanya disebabkan kegagalan untuk mendapatkan sokongan di parlimen. Malangnya, sesuatu dasar yang tak semestinya membawa faedah kepada masyarakat dan hanya menguntungkan pihak tertentu, boleh pula diusul dan diluluskan, tanpa mengambil kira rasionaliti dan perancangan jangka masa panjang.
6. Kita sebagai rakyat boleh angkat siapa saja
Sistem demokrasi kerap kali dijulang sebagai saluran terbaik suara rakyat. Walau bagaimanapun, sistem demokrasi juga mempunyai satu kelemahan yang sangat ketara.
Ekoran daripada sistem pilihanraya yang membenarkan sesiapa saja jadi calon, ini bermakna individu-individu yang tidak layak untuk memimpin pun sebenarnya boleh dipilih untuk menjadi wakil rakyat.
Kami pernah menulis satu artikel berkenaan calon-calon pilihanraya pelik yang pernah bertanding sehingga ada yang menang pilihanraya. Walaupun lucu bila difikirkan, bukankah mengundi seseorang, seekor atau satu benda sebenarnya membuatkan segala usaha menjalankan proses pilihanraya itu sia-sia dan hanya membuang masa?
7. Demokrasi memerlukan kerjasama masyarakat yang sangat tinggi
Setiap orang boleh melaungkan 'demokrasi!' Walau bagaimanapun, sistem demokrasi memerlukan satu perkara untuk berlaku, sebelum sistem itu layak dikatakan baik. Apa keperluan itu?
Demokrasi hanya akan berjalan dengan baik sekiranya setiap ahli masyarakat ingin terlibat dengan sistem tersebut secara langsung. Ini bermakna, setiap pengundi yang akan mengundi dalam pilihanraya sedar dan tahu calon yang terbaik untuk dia sokong, parti politik mana yang baik untuk dia dan lebih penting, dasar, gagasan dan manifesto yang dibawa oleh calon-calon pilihan.
Hanya masyarakat yang benar-benar terlibat dalam sistem demokrasi, ingin tahu dan diberitahu secara terbuka informasi serta maklumat yang dia perlu tahu, akan membawa kepada kesan positif sistem demokrasi.
Tanpa penyertaan pada tahap sebegitu, ramai pengundi sebenarnya mengundi membabi buta; hanya mengundi disebabkan oleh sentimen atau dendam politik semata-mata. Ini adalah kelemahan terbesar sistem demokrasi.