Oleh pada 19 Oct 2022 kategori

Ahli politik yang berazam untuk naik memimpin masyarakat, biasanya mempunyai kerjaya dalam undang-undang atau pentadbiran awam, sebelum karier politik mereka bermula.

Bagaimanapun bagi sesetengah ahli politik, mereka bukan saja berjaya menceburi politik tanpa ada pengalaman mentadbir. Bahkan lebih dikenali orang sebagai anak seni yang tugasnya menghiburkan orang ramai. 

Tahukah anda siapakah pemimpin dunia yang duduk dalam kategori ini, berjaya naik menjadi pemimpin nombor 1 kerajaan negara mereka? Berikut lima penghibur yang naik menguasai tampuk pimpinan negara mereka.

1. Volodymyr Zelenskyy

vlodimir zelenskyy komedi seni

Pencerobohan Russia ke atas Ukraine memperkenalkan kita kepada Volodymyr Zelenskyy, Presiden Ukraine yang mengemudi negaranya berdepan ancaman ketenteraan Vladimir Putin serta krisis-krisis politik antarabangsa yang timbul akibatnya.

Lahir pada tahun 1978 di Ukraine USSR, Zelenskyy membesar di Mongolia sebelum kembali ke Ukraine meneruskan pengajian di sana. Dia menyertai Kyiv National Economic University dalam jurusan undang-undang, dalam masa sama aktif seni persembahan pentas.

Walaupun sudah bergelar graduan undang-undang, Zelenskyy memilih haluan berbeza. Dia menyertai kumpulan persembahan komedi spontan Kvartal 95, mendapat slot persembahan bersama stesen penyiaran dari tahun 1997 sehinggalah 2003.

Kejayaan itu membolehkan mereka membangunkan Studio Kvartal 95, sebuah rumah penerbitan komedi yang akhirnya menjadi antara studio paling berjaya di Ukraine. Zelenskyy mengorak langkah lebih luas selepas itu, mula muncul dalam filem hasil kerjasama beliau dengan stesen TV tempatan 1+1.

Pada tahun 2014, selepas pergolakan dan kejatuhan kerajaan Ukraine, filem 'Servant of the People' yang dibintangi Zelenskyy ditayangkan dalam saluran 1+1 meletup.

Kisah berkenaan seorang guru lakonan Zelenskyy yang bersifat anti korupsi serta banyak mengkritik pentadbiran kerajaan, mula menjadi inspirasi masyarakat sehinggakan ada pihak menyuarakan agar Zelenskyy dan Kvartal 95 bertanding pilihanraya.

Untuk itu mereka memulakan parti yang dinamakan 'Servant of the People' sempena filem yang menjulang nama Zelenskyy, mengorak percaturan dengan berkesan melalui pengaruh media sehingga beliau naik bergelar Presiden pada tahun 2019.

2. Silvio Berlusconi

berlusconi penyanyi pemuzik

Berlusconi terkenal di kalangan masyarakat dunia kerana dua sebab. Pertama, beliau pernah menjawat jawatan Perdana Menteri Itali selama 3 penggal.

Kedua, beliau adalah legenda dalam liga bola sepak Itali sebagai pemilik kelab AC Milan, selepas era pemilikan kelab itu dibawah Berlusconi membawa kepada banyak kejayaan domestik dan antarabangsa.

Silvio Berlusconi lahir pada tahun 1936 dalam sebuah keluarga sederhana, menamatkan pengajian undang-undang di University of Milan tetapi turut sama meminati bidang muzik.

Ketika pengajian di universiti, kebolehan muziknya berkembang sehingga Berlusconi dikenali sebagai seorang pemain bass berbakat bersama kumpulan kugiran universitinya.

Bakat muziknya mula dikenali lebih luas selepas kugiran disertai beliau diundang bermain di kelab-kelab, bar dan kapal pelayaran sebagai artis residen, menghiburkan penonton setiap malam.

Di sinilah Berlusconi mengasah kekuatan vokalnya sebagai seorang penyanyi sekitar dekad 1950 hingga 60-an. Dalam masa sama, dia berpeluang berkenalan dengan taikun-taikun besar yang boleh membantu kerjaya beliau.

Hasil kerja keras dan kerjasama dengan rakan kongsinya, akhirnya Berlusconi naik menjadi antara gergasi media penyiaran Itali.

Pada tahun 1993 ketika berlakunya pergolakan politik Itali, Berlusconi dan sekutunya memulakan parti Forza Italia; memanfaatkan sepenuhnya stesen TV yang beliau kuasai untuk berkempen. Dengan janji mahu mencipta 1 juta peluang pekerjaan sebagai kempen utama, Berlusconi yang mengepalai parti menang pilihanraya tersebut.

Dia diangkat sebagai Perdana Menteri Itali pertama yang bukan dari bidang pentadbiran awam, mengetuai kerajan pada tarikh 11 Mei 1994.

3. Joseph Estrada

joseph estrada fs

Presiden ke 13 Filipina, Joseph Estrada terus disebut sehingga kini kerana kisah kebangkitan beliau dalam politik adalah antara kisah menarik bagaimana seorang bidan terjun naik jadi pemimpin negara.

Estrada dari segi akademik gagal menamatkan pendidikan tertiari jurusan kejuruteraan sivil yang disertai, menggunakan wajah tampannya menjadi model sambilan sambil cuba menyertai industri hiburan, walaupun tidak direstui keluarganya.

Malu dengan pilihan anak sendiri, ayahnya memaksa anaknya itu menggunakan nama berbeza bagi melindungi maruah keluarga mereka. Jadi Jose Marcelo Ejercito menukarkan namanya kepada Joseph Estrada, memulakan karier bidang lakonan sebagai pelakon pembantu.

Nama Estrada meniti di bibir peminat filem selepas lakonannya dalam filem 'Asiong Salonga' terbitan tahun 1961.

Filem yang memaparkan kisah hidup seorang samseng dunia nyata bernama Asiong Salonga yang melindungi masyarakat setempat mendapat pujian dan sambutan ramai. Lakonan Estrada sebagai Asiong menjadi batu loncatan karier yang dicari-cari.

Estrada bersandarkan popularitinya sebagai seorang pelakon terkenal, menceburi politik pada usia 32 tahun selepas terpilih menjadi datuk bandar San Juan pada tahun 1969.

Dalam tahun sama ekoran prestasi baik mentadbir, Estrada dijulang sebagai antara 10 anak muda terbaik Filipina dalam bidang pentadbiran awam. Berdepan semua kesibukan, karier beliau sebagai pelakon terus berjalan.

Pada tahun 1986 Estrada digugurkan dari jawatan Datuk Bandar yang lama dipegang namun kembali bertanding dalam peringkat senat pada tahun 1987. Populariti yang dimiliki membantu Estrada naik menjawat jawatan Timbalan Presiden Filipina pada tahun 1992 sebelum dia naik sebagai Presiden negara itu pada tahun 1998.

Dia memegang jawatan itu sehingga bulan Januari tahun 2001, meletak jawatan selepas didesak hebat akibat skandal korupsi dan salah guna kuasa. 

iklan

Sepanjang karier beliau sebagai anak seni, Estrada telah melibatkan diri dalam lebih 100 filem, kali terakhir berlakon dalam sebuah filem terbitan tahun 2009.

4. Ronald Reagan

overview ronald reagan

Nama Reagan menjadi antara nama Presiden Amerika Syarikat yang jarang dibayangi titik hitam.

Lahir pada tahun 1911 di Illinois, Ronald Wilson Reagan menunjukkan pencapaian baik dalam bidang akademik sejak kecil, membawanya memasuki kolej dalam jurusan ekonomi dan sosiologi.

Di sini bakatnya dalam bidang seni dan sukan mula menjadi tumpuan. Reagan bermain sukan ragbi Amerika selain mula lebih aktif menyertai aktiviti teater dan seni lakonan sehingga pencapaian akademik beliau merosot.

Bagaimanapun populariti beliau di kalangan pelajar ekoran pencapaian kokurikulum yang baik, membolehkan Reagan menjawat jawatan presiden persatuan pelajar - memberi pendedahan awal kepada beliau tentang politik kampus.

Bakat seni beliau diteruskan selepas graduasi, bila Reagan menerima tawaran menjadi juruhebah radio serta juruacara komentari sukan di stadium. Dengan pengalaman yang diperolehi, Reagan memberanikan diri menyertai pencarian bakat bersama studio Warner Bros, terpilih dengan kontrak selama 7 tahun.

Pengaruhnya sebagai seorang pemimpin mula terbukti selepas dipilih sebagai presiden persatuan pelakon Hollywood, menjulang namanya sebagai orang kuat industri.

Ketika menjawat jawatan itu, Reagan perlu menangani krisis dan konflik yang tercetus di antara kerajaan dengan penggiat seni membuka peluang kepada beliau bertemu ahli politik di sana. Pendedahan ini membantu Reagan bertanding, sehingga menjawat jawatan Gabenor California pada tahun 1966.

Reagan bercita-cita besar cuba bertanding jawatan Presiden pada pemilihan tahun 1968 dan 1976, tewas kedua-duanya.

Dalam cubaan kali ketiga, Reagan gah dengan kemenangan besar dalam pemilihan tahun 1981. Pada usia 69, beliau naik sebagai Presiden Amerika Syarikat paling tua (ketika itu) menjawat jawatan tersebut.

Beberapa bulan selepas memegang jawatan, Reagan terselamat dalam cubaan bunuh yang dihadapi. Pulih dari kecederaan, dia kembali bertugas sehingga bulan Januari tahun 1989; menamatkan rekod sebagai antara Presiden dengan kadar kelulusan dan penerimaan paling tinggi dalam sejarah Amerika Syarikat.

5. Ignacy Jan Paderewski

paderewski polona 0 1

Nama beliau mungkin kurang kita kenali, tetapi Ignacy Jan Paderewski adalah wira kepada orang Poland yang jasanya tidak mungkin dapat dibalas mereka.

Paderewski anak kepada penjaga estet di Poland yang meminati permainan piano sejak kecil, dihantar belajar seni muzik bersama Warsaw Conservatory pada tahun 1872. Kemahiran pianonya mula berkembang selepas tamat pendidikan serta menyambung pengajian dengan guru piano terkenal di Poland, Theodor Leschetizky.

Berkat tunjuk ajar gurunya yang masyhur, Paderewski dijemput mempamerkan kemahiran di sekitar Eropah.

Paderewski terus aktif berkarya, menghasilkan melodi dan skrip teater sebelum kembali dilantik pengarah Warsaw Conservatory, lokasi di mana dia memulakan pendidikan seninya.

Sudah mempunyai kedudukan dan suara dalam masyarakat, Paderewski menggunakan pengaruh yang ada memberikan pandangan tentang kedudukan Poland dalam perang dunia pertama yang ketika itu sedang berlangsung.

Keberanian dan kemahiran beliau mengeluarkan hujah membolehkan Paderewski dilantik menjadi jurucakap rombongan pemimpin Poland ke Amerika Syarikat - sebagai usaha mendapatkan bantuan dalam tuntutan kemerdekaan Poland dari Jerman.

Penglibatan itu membawa Paderewski menjadi antara individu yang menandatangani Perjanjian Versailles di Perancis, sebagai usaha menyelesaikan kemelut penjajahan Jerman di Eropah serta mengabsahkan status Poland sebagai sebuah negara merdeka.

Selepas revolusi yang dicetuskan di Poland berjaya mendesak Jerman akur, pembentukan kerajaan bebas Poland mula digerakkan. Peranan Paderewski melobi kerajaan-kerajaan luar menyokong usaha masyarakat Poland, menjadikan beliau orang paling layak memangku jawatan Perdana Menteri Poland pertama.

Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pertama negara merdeka Poland pada 18 Januari 1919.

Bagaimanapun tugas pentadbiran bukanlah sesuatu yang Paderewski mahir. Dia kerap dikritik lemah kerana masih mengikut telunjuk kuasa besar dunia yang membantunya sebelum itu dalam mentadbir kerajaan baru mereka.

Paderewski memilih untuk melepaskan jawatan pada 27 November 1919, tidak sampai setahun menjawatnya.

Beliau mengumumkan mahu bersara sepenuhnya dari politik, kembali mengadakan persembahan piano di Eropah yang mendapat sambutan hangat sebelum berpindah ke Switzerland.

Bagaimanapun, khidmat beliau sebagai mediator kembali ditagih selepas Jerman mencerobohi Poland pada tahun 1939. Dia kembali dengan tugas lamanya - melobi kuasa dunia lain cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan bagi memastikan hak warga Poland terbela dan dilindungi.,

Kemahiran piano yang dimiliki dimanfaatkan sepenuhnya Paderewski, yang kerap menganjurkan konsert mengutip dana di negara-negara Eropah untuk disalurkan kepada orang Poland yang terperangkap di tanah air sendiri.




Hakcipta iluminasi.com (2017)