Perubahan politik dunia banyak membawa kepada keperluan untuk mewujudkan pelapis-pelapis pemimpin masyarakat, yang berusia lebih muda agar pentadbiran sesebuah negara dapat terus kekal relevan dengan masyarakat, khasnya golongan muda.
Gesaan untuk melatih lebih ramai wakil muda ke dalam kerajaan kita sering kedengaran, namun sehingga kini belum berlaku pembaharuan yang diharapkan dan muka-muka lama yang sudah berkecimpung dalam politik berpuluh tahun lamanya, diharapkan untuk terus memimpin masyarakat.
BESARKAN TEKS A- A+
Ketika ini, Malaysia mempunyai pemimpin no.1 negara yang paling berumur sedang berkhidmat, tetapi bagi lima negara - lain pula ceritanya. Mereka memilih untuk meletakkan hala tuju pada tangan generasi muda dan berikut, adalah lima pemimpin dunia paling muda memimpin kerajaan.
5. Fritz William Michel (23 Julai 1980)
Dilantik sebagai Perdana Menteri negara Haiti pada bulan Julai 2019, Fritz William Michel naik menjawat jawatan tersebut selepas perletakan jawatan penyandang jawatan tersebut, Jean Michel Lapin.
Bagaimanapun, ekoran krisis yang berlaku di Parlimen Haiti di antara pihak kerajaan dan pihak pembangkang, sehingga kini Michel masih memangku jawatan tersebut selepas proses ratifikasi gagal disempurnakan.
Sebelum naik menjadi Perdana Menteri, Michel adalah ketua akauntan negara di Kementerian Ekonomi Haiti, dikatakan bakal dilantik menjadi Menteri Pembangunan negara tersebut. Perletakan jawatan Lapin membolehkan Michel naik menjadi pemimpin nombor 1 pada usia 38 tahun. Michel lahir pada 23 Julai 1980. (President Nominates a New Prime Minister: Fritz-William Michel)
4. Jacinda Ardern (26 Julai 1980)
Wanita ini mempunyai ramai peminat di seluruh dunia, selepas kemahirannya menangani krisis tembakan yang berlaku di Christchurch, New Zealand. Lahir pada 26 Julai 1980, Ardern menjadi Perdana Menteri ke 40 New Zealand sejak tahun 2017.
Mempunyai pengalaman luas dalam bidang politik sejak zaman belajar lagi, Ardern mula mengasah ilmu politik selepas membantu makcik beliau berkempen sekitar tahun 1999 sebelum dilantik menjadi ahli pasukan penasihat polisi bersama Perdana Menteri Britain, Tony Blair.
Ketika dilantik, Ardern merupakan ketua kerajaan wanita termuda dunia walaupun partinya tidak mendapat kuasa majoriti dalam pilihanraya yang diadakan. Bagi mengelakkan berlakunya kerajaan tergantung, tiga parti yang mempunyai jumlah kerusi hampir seimbang bersetuju membentuk kerajaan dengan menamakan Ardern sebagai pemimpin tertinggi.
3. Nayib Bukele (24 Julai 1981)
Pilihanraya El Salvador yang diadakan pada bulan Februari 2019 menyaksikan parti Grand Alliance for National Unity atau GANA pimpinan datuk bandar San Salvador, Nayib Bukele berjaya memenangi majoriti kerusi. Perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri El Salvador mencatatkan sejarah, selepas Bukele menjadi pemimpin pertama parti tersebut menguasai tampuk kerajaan.
Lahir pada 24 Julai 1981, Nayib merupakan anak kepada seorang imam masjid, dengan ayahnya berketurunan Palestin. Keluarganya merupakan peniaga yang berjaya, menjadi pengimport dan pengedar barangan alat ganti motorsikal jenama Yamaha di negara tersebut.
Nayib dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1 Jun 2019, berdepan cabaran besar untuk memulihkan ekonomi serta berhadapan dengan Presiden Donald Trump yang mengiktiraf El Salvador sebagai sebuah negara 'sh*thole.' (Back to El Salvador: The Fallout of “Shithole Countries” Diplomacy)
2. Kim Jong-un (8 Januari 1983/1984)
Menjadi kutukan masyarakat dunia seringkali membuatkan kita lupa betapa muda tokoh nombor 1 Korea Utara ini. Digelarkan sebagai pemimpin agung Korea Utara, Jong-un memegang jawatan Ketua Negara Korea Utara sejak tahun 2011 serta pengerusi Parti Pekerja Korea Utara sejak tahun 2012.
Berbeza dengan pemimpin lain dalam senarai ini, Jong-un dinamakan sebagai pengganti ayahnya, Kim Jong-il dengan memakai gelaran 'Pengganti Agung'. Dikatakan sangat mirip dengan ayahnya bukan saja dari segi fizikal bahkan daripada cara memerintah, Jong-un dipalit beberapa kontroversi teruk.
Dia didakwa telah mengarahkan pembunuhan beberapa orang individu yang dirasakan mampu mencabar kedudukannya, seperti pakcik dan abangnya sendiri. Tidak jelas sebenarnya tarikh lahir sebenar Jong-un, kerana dia sendiri cuba merahsiakannya. Tarikhnya jatuh pada 8 Januari tetapi tahunnya mungkin 1983 atau 1984. Banyak pihak berpendapat 1984.
1. Oleksiy Honcharuk (7 Julai 1984)
Lahir semasa era Ukraine masih lagi sebahagian daripada kesatuan Soviet, Oleksiy Honcharuk mengambil alih usaha ayahnya mahu memasuki bidang politik, selepas ayahnya kemalangan yang mengorbankan nyawanya. Honcharuk memulakan kerjaya dalam bidang guaman sebelum mula mengorak langkah dalam politik.
Nasib Honcharuk mula berubah selepas dia dilantik menjadi timbalan kepada pejabat Presiden, di bawah Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky - presiden termuda Ukraine setakat ini yang baru berusia 41 tahun.
Karier politik Honcharuk sangat singkat sebelum diangkat naik. Dia menyertai parti Power of People pada tahun 2013, sebelum naik sebagai protege dan pembantu kepada menteri kewangan Ukraine, sekitar tahun 2014. Lahir pada 7 Julai 1984, Honcharuk menjadikan pembasmian kemiskinan sebagai perkara utama yang akan dilaksanakan, sepanjang mandat beliau.
Bagaimanapun, Honcharuk mungkin tidak kekal lama sebagai pemimpin no. 1 kerajaan paling muda dunia. Ini kerana penyandang asal gelaran ini sebelum Honcharuk adalah Sebastian Kurz, canselor kepada Austria pemimpin tertinggi kerajaan Austria. Beliau baru saja memenangi pilihanraya pada 29 September 2019 - diramalkan akan kembali memegang jawatan canselor Austria tidak lama lagi.
Sekiranya perubahan itu berlaku kelak, Kurz yang lahir pada 27 Ogos 1986 - akan memegang kembali gelaran pemimpin kerajaan paling muda, hanya pada usia 33 tahun.