Anda pasti akan mengeluh apabila mendengar perkataan 'cukai' disebutkan, apatah lagi apabila tiba masanya deklarasi cukai tahunan perlu dilakukan.

Hendak tak hendak, kita perlu menerima hakikat bahawa cukai adalah sumber utama kerajaan untuk menguruskan negara, dengan harapan mereka akan memanfaatkan kutipan cukai sebaik mungkin.

Ada cukai yang biasa kedengaran seperti cukai GST, SST, eksais dan sebagainya. Bagi sesetengah negara yang kreatif, mereka juga mewujudkan cukai-cukai yang layak dikatakan ganjil dan aneh dalam memaksimakan kantung kerajaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ini lima yang kami rasakan cukup aneh.

1. Cukai kayu sepit China

cukai kayu sepit chopstick china

Pada tahun 2006, sebagai usaha untuk merendahkan penggunaan kayu sepit makanan (chosptick) di kalangan rakyat China; kerajaan mereka memperkenalkan cukai 5% ke atas semua pengguna yang masih mahu menggunakan kayu sepit pakai buang yang diperbuat daripada kayu.

Langkah China memperkenalkan cukai ini disokong oleh kesedaran kerajaan mereka yang mahu menurunkan kadar pebengan pokok bagi penghasilan kayu sepit; dianggarkan sebanyak 1.3 juta kubik meter setiap tahun.

Usaha yang dimulakan sejak tahun 2006 kini masih berterusan, dengan beberapa inisiatif tambahan seperti pertukaran kepada kayu sepit plastik dan pelanggan tidak lagi diberikan kayu sepit secara automatik - diharap dapat memulihkan kembali kawasan hutan China yang terjejas sehingga tinggal hanya 3.34% daripada keseluruhan kawasan asal.

2. Cukai matahari di Sepanyol

cukai matahari sepanyol

Di Sepanyol, salah satu cukai yang sangat dibenci orang awam adalah cukai yang digelarkan "impuesto al sol" atau cukai matahari. Ini kerana cukai ini dikenakan ke atas individu yang memilih untuk menggunakan panel-panel solar sahaja.

Ramai rakyat Sepanyol yang berusaha untuk menjimatkan elektrik memasang panel solar bagi tujuan penjimatan wang, tetapi kerajaan Sepanyol melihat tindakan penjimatan itu bakal merugikan mereka - jadi mereka mencukaikan mana-mana pemilik panel solar yang kediaman/premis mereka masih berhubung dengan grid elektrik kebangsaan.

Setiap individu yang ingkar akan didenda EUR6,000. Peraturan cukai matahari ini diwartakan pada tahun 2015 namun telah pun ditarik semula pada tahun 2018, selepas kerajaan Sepanyol bertukar tangan.

3. Cukai buangan lembu ternakan di pelbagai negara

cukai lembu gas methane

Salah satu cukai ganjil yang seringkali dilaksanakan pelbagai kerajaan seluruh dunia, adalah cukai buangan lembu ternakan. Ini bermakna penternak lembu di negara terlibat perlu membayar cukai disebabkan oleh proses nyahtinja lembu.

Banyak negara percaya aktiviti penternakan lembu menyebabkan pencemaran pada alam akibat daripada gas methane yang terhasil semasa lembu menyahtinja dan penternak dimangsakan kerana 'mencemari alam sekitar.'

Antara negara yang sedang berusaha memperkenalkan peraturan cukai ini adalah Denmark, di mana pewartaan cukai tersebut diumum pada tahun 2009 dan undang-undang berkenaan cukai nyahtinja lembu ini, sedang digubal bagi memperketatkannya.

Di kalangan negara yang mengamalkan cukai ini, Denmark merupakan negara tertinggi kadar cukainya.

4. Cukai orang bujang

cukai orang bujang

Tahukah anda, dalam sejarah dunia - status sebagai seorang individu belum berkahwin pernah melayakkan anda dicukaikan? Begitulah kisahnya yang berlaku di banyak negara antaranya Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Jerman, Itali dan Kesatuan Soviet sebelum kejatuhan mereka.

Kadarnya juga berbeza-beza. Di negeri-negeri Amerika Syarikat misalnya, mereka mengenakan cukai di antara $1 ke $25 yang perlu dibayar setiap individu bujang, bagi menggalakkan mereka berkahwin segera. Bagaimanapun, cukai ini sudahpun dimansuhkan di sana, kali terakhir dikutip sekitar tahun 1920-an.

Lebih menarik di Kesatuan Soviet, cukai dikenakan kepada mana-mana individu berusia 25 ke 50 tahun bagi lelaki dan 25 ke 45 tahun bagi wanita, yang tidak mempunyai cahaya mata.

Untuk tempoh dari tahun 1941 sehinggalah 1990, kesemua individu bujang di Soviet dicukai sebanyak 6% daripada pendapatan bulanan mereka. Pewartaan cukai ini ditarik balik selepas kerajaan Soviet runtuh, membolehkan pindaan dasar cukai orang bujang ini dibuat.

5. Cukai mengepam tandas di Amerika Syarikat

cukai pam tandas amerika syarikat

Bagi penduduk Maryland di Amerika Syarikat - mereka boleh berbangga kerana menjadi satu-satunya penduduk Amerika Syarikat yang dikenakan cukai setiap kali mengepam tandas.

Berbeza dengan sistem pembentungan lain yang mengenakan caj ke atas perkhidmatan disediakan, penduduk Maryland turut perlu membayar cukai mengikut fasiliti yang ada. Kediaman atau premis yang dihubungkan kepada sistem pembentungan dikenakan caj $30 minima bermula tahun 2004.

Kadarnya akan meningkat bergantung kepada berapa jumlah buangan yang perlu diuruskan setiap bulan, sehinggakan ada keluarga perlu membayar sehingga $117 sebulan. Mana-mana kediaman yang mempunyai tangki septik mereka sendiri pula akan dikenakan bayaran tetap $60 setahun.

Kadar cukai yang dikenakan dilaporkan akan digunakan bagi tujuan menambah baik sistem pembentungan negeri tersebut. Hasilnya pada tahun 2017, fasiliti rawatan air di situ telah pun dipertingkatkan kapasiti dan teknologi di belakangnya, membolehkan bekalan air bersih disalurkan kepada pengguna dengan lebih efektif.




Hakcipta iluminasi.com (2017)